ARKIB : 16/06/2000
Wanita dalam Islam lawan wanita dalam Pas
Oleh: NIHAZ MOHD. YUSOFF (nihaz@post.com)Di kala Umat Islam masih lagi berhadapan dengan kemelut perpecahan dan kemiskinan yang tak berkesudahan, ''wanita dalam Islam'' masih lagi menjadi topik kegemaran bagi sesetengah golongan masyarakat Islam.
Dalam perselisihan politik di Malaysia, ''wanita'' turut menjadi isu untuk diperdebatkan. Di negara-negara Islam yang konservatif, contohnya Afghanistan, pendidikan wanita masih menjadi isu dan wanita hanya dibenarkan mendapat pendidikan sehingga mencecah usia 12 tahun.
Dalam melaksanakan undang-undang di setengah-setengah negara Islam pula, soal wanita memandu kenderaan, wanita keluar berjalan-jalan dan wanita bekerja juga masih lagi menjadi isu untuk dibahaskan.
''Wanita'' kadangkala dibincangkan seolah-olah mereka bukannya manusia tetapi satu benda atau sistem yang perlu ditentukan dan dibentuk mengikut pendapat dan pandangan para peserta perbincangan.
Dalam masa yang sama, setiap perbahasan mahupun perdebatan itu, menegaskan pula betapa Islam memuliakan wanita.
Kejadian manusia, selain fizikal, termasuklah pemikiran, perasaan dan minat.
Faktor-faktor ini berbeza antara setiap manusia tak mengira lelaki atau wanita. Dan setiap manusia mempunyai hak yang sama terhadap pemikiran, perasaan dan minatnya asalkan ia tidak bertentangan dengan undang-undang dan tuntutan agama.
Wanita, seperti juga lelaki mempunyai pemikiran dan idea sendiri dalam menentukan kerjaya dan hala tuju hidupnya. Sudah semestinyalah Islam juga menghormati wanita yang berjaya, sama seperti menghormati lelaki yang berjaya.
Wanita di Malaysia, di bawah pemerintahan kerajaan UMNO dari dahulu sehingga kini, amat bertuah kerana mereka tidak pernah dibelakangkan dalam kehidupan sehari-hari selaras dengan ajaran Islam.
Kerajaan Pas di Terengganu dan Kelantan, bagaimanapun, masih lagi serba salah mengenai kedudukan wanita mereka walaupun topik ''wanita dalam Islam'' sentiasa menjadi topik utama malah lebih utama dari topik ''pembangunan dalam Islam'' atau ''kesejahteraan rakyat dalam Islam''.
Bermula dari pakaian wanita, rupa paras wanita, pekerjaan wanita sehinggalah ke jodoh ibu-ibu tunggal mereka sentiasa menarik minat para pemimpin Pas. Kelantangan Muslimat Pas menegur kelalaian pimpinan tertinggi parti itu mengenai soal akhlak dalam Islam pada Muktamar Pas baru-baru ini merupakan tamparan yang maha hebat bagi Pas.
Dengan itu, Pas bukan sahaja serba salah sekarang, malah haru biru jadinya. Dan seperti yang telah dijangka, pemimpin Pas bangun, bukan untuk mengakui kebenaran pendapat Muslimatnya, tetapi mempertahankan kelalaian Pas dalam soal akhlak mereka.
Tindakan Muslimat Pas itu membuktikan bahawa wanita, tak mengira kaum, bangsa, agama atau parti-parti politik, semuanya mempunyai pemikiran dan idea sendiri yang setara ataupun lebih baik dari lelaki. Pas tidak akan dapat memaksa pemikiran Muslimatnya kerana mereka (Muslimat) telah mendapat pendidikan yang baik dalam pemerintahan kerajaan UMNO selama ini.
Menyedari hakikat ini, Pas seharusnya menentukan hala tuju Muslimat mereka dari sekarang. Dunia sudah pun berganjak ke hadapan dan Malaysia telah pun berganjak dari negara pertanian ke negara industri dan dari industri ke teknologi maklumat. Dengan itu, bukan masanya lagi kita berbahas mengenai ''wanita''. Sudah sampai masanya kita menerima wanita sebagai sebahagian dari kita, manusia biasa, bukannya golongan sekunder dalam masyarakat yang perlu diawasi serta ditentukan arah pemikiran, kerjaya dan kehidupannya.
Di samping itu juga, wanita sendiri perlulah mengganjakkan pemikiran mereka seiring dengan kemajuan dunia. Di alaf baru ini, wanita perlu merenung jauh ke dalam diri mereka sendiri untuk bersaing dan terus memartabatkan maruah mereka di mata masyarakat.
Wanita yang sering kali dikaitkan dengan keremehan seperti perhiasan, hiburan, masakan atau fesyen, kini perlu mengatur langkah meluaskan pemikiran mereka ke arah teknologi dan pembangunan negara tanpa perlu mengetepikan minat dan kegemaran semula jadi mereka itu. Lebih dari itu, wanita Islam di Malaysia perlu memainkan peranan membuktikan pada dunia bahawa sesungguhnya benarlah Islam memuliakan wanita-wanitanya dan Islam adalah agama yang saksama dan tidak menindas sesiapa.
Dalam soal memuliakan wanita, umat Islam sering kali terpengaruh dengan adat.
Kita tidak dapat menafikan bahawa adat Melayu meletakkan wanita sebagai golongan kedua. Bagi Melayu, lelaki perlu diutamakan dalam apa jua segi baik di dalam majlis atau di dalam rumah tangga. Berlainan dengan adat di Barat di mana wanita diberi keutamaan di dalam majlis-majlis.
Sedikit sebanyak adat Melayu ini sebenarnya perlu dinilai semula dari segi agama.
Adatlah yang mengongkong wanita dan adat juga yang menyebabkan wanita Melayu serba salah dalam melahirkan pemikiran dan pendirian mereka, adatlah yang membelakangkan mereka, bukannya agama.
Namun begitu, bukan semua mengenai adat itu tidak baik, cuma janganlah kita berpegang pada adat melebihi pegangan kita pada agama. Benar bahawa Allah menjadikan lelaki sebagai pemimpin dan ketua rumah tangga. Kerana itulah juga, seorang pemimpin dan ketua yang baik harus bijaksana dalam menilai peranan golongan manusia yang dipimpinnya.
Apatah lagi di zaman ini, wanita sama-sama memikul tugas menyara kehidupan keluarga mereka. Walaupun di akhirat nanti, tanggungjawab itu diletakkan di bahu lelaki, tetapi realiti di dunia kini, tanggungjawab itu telah terbahagi hampir sama rata.
Ibu, isteri dan saudara-saudara perempuan kita bukan makhluk yang dijadikan hanya untuk menguruskan makan, pakai dan kehidupan kita. Mereka sebenarnya dijadikan Allah sebagai pelengkap dan penyeri di samping memainkan peranan yang sama dengan lelaki dalam membina ketamadunan manusia di dunia.
Sekali lagi ditegaskan bahawa wanita di Malaysia amat bertuah kerana berada di bawah kerajaan yang benar-benar menghayati Islam. Kita tidak dapat membayangkan betapa tertekannya wanita-wanita yang dihalang dari mendapat pendidikan, mempunyai pemikiran sendiri dan dihalang dari melahirkan minat mereka dalam aktiviti-aktiviti tertentu.
Jika Pas benar-benar menghayati Islam, mereka sepatutnya tidak mempunyai masalah dalam menentukan kedudukan mahupun hala tuju Muslimat mereka. Tetapi Pas masih buntu dan keliru antara adat dan agama. Bagi Pas, wanita hanyalah sebagai ''pak turut'' bagi apa saja yang diputuskan oleh kaum lelaki. Sedangkan UMNO lebih memuliakan wanita kerana UMNO menghayati ajaran Islam yang sebenar.
Ungkapan bahawa adanya seorang wanita di sebalik kejayaan setiap lelaki perlu difikirkan semula. Pandangan kepimpinan UMNO mengenai wanita amatlah jelas, dengan bersandarkan kata-kata Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengenai isteri beliau dalam buku Mahathir: Statesman and Leader: ''Isteri saya tidak pernah berdiri di belakang saya, tetapi dia sentiasa berdiri di samping saya''.
No comments:
Post a Comment