Wednesday, 19 October 2011

UTUSAN MALAYSIA - BICARA AGAMA

ARKIB : 16/02/2001
Segala-galanya berlaku dengan kehendak Allah
Segala-galanya berlaku dengan kehendak Allah
 
Oleh: Nihaz Mohd Yusoff (nihaz@post.com)

ISLAM mengajar kita mengambil sikap rasional dalam apa jua perkara yang mahu dilakukan.
Banyak sekali ayat al-Quran yang menyebut tentang kelebihan mengguna akal.

Bagaimanapun, ramai di kalangan kita mengetepikan akal dan mengutamakan emosi. Dan itulah yang dilakukan oleh sesetengah orang dalam Perhimpunan Barisan Bertindak Melayu pada 4 Februari lalu.
Perhimpunan berkenaan telah mengecewakan banyak pihak. Nampaknya ramai yang entah kenapa begitu seronok mengkritik Perdana Menteri. Mungkin mereka merasakan merekalah wira kerana berani mengkritik seorang perdana menteri. Kata mereka, Perdana Menteri tidak mendengar suara mereka, suara orang bawahan.

Apakah yang mereka suarakan yang tidak didengari oleh Perdana Menteri itu? Apakah mereka pernah mengemukakan usul-usul bernas bagi mengatasi segala permasalahan yang mereka kemukakan?
Atau mungkin bila berhadapan dengan Perdana Menteri mereka semua membisu, diam, memuji dan membodek tak habis-habis dengan harapan Perdana Menteri akan memuji mereka kembali. Atau mereka mungkin hanya mengkritik dan memberi pandangan di belakang sahaja atau lebih tepat lagi, mereka hanya pandai mengumpat.

Perhimpunan seperti ini sepatutnya dimanfaatkan dengan ucapan membina dan disusuli dengan dialog untuk membincangkan masalah sebenar yang dihadapi oleh bangsa Melayu. Masalah sosial, ekonomi, budaya, pendidikan, agama dan perpaduan sepatutnya digariskan sebagai topik perhimpunan. Dalam perhimpunan itu, diharapkan agar punca masalah dapat ditemui dan cara penyelesaian dapat dicari.

Sifat menuding jari menyalahkan orang lain dan menganggap diri sendiri lebih pandai adalah masalah sebenar yang ada dalam diri bangsa Melayu. Selagi golongan yang menuding jari ini tidak menuding jari pada diri sendiri, maka selagi itulah masalah Melayu tidak akan selesai. Sifat iri hati, dengki dan buruk sangka adalah masalah sebenar bangsa Melayu. Dengan semua sifat ini diterjemahkan dalam ucapan-ucapan sesetengah pemimpin dalam perhimpunan tersebut, maka perhimpunan tersebut sebenarnya dengan sendirinya mempertontonkan masalah sebenar bangsa Melayu secara langsung.

Antara yang disebut dalam perhimpunan tersebut adalah soal kontrak kerajaan yang tidak diberi kepada orang lain, atau dalam erti kata lain, tidak diberi kepada orang yang dikehendaki oleh mereka.
Sebahagian besar daripada mereka sebenarnya adalah orang-orang yang kecewa kerana tidak punya kebolehan untuk menjadi seperti Tajuddin Ramli atau Tun Daim. Kerana kecewa mereka menuduh orang-orang yang berjaya sebagai kroni Perdana Menteri. Mereka menyangka, mereka juga boleh menjadi ahli korporat cemerlang jika dipilih oleh Perdana Menteri. Mereka juga bercakap seolah-olah mereka boleh menjadi ``Tun Daim'' yang lebih baik atau Perdana Menteri yang lebih baik daripada Perdana Menteri yang ada sekarang ini.

Kepada orang-orang yang kecewa, orang-orang yang tidak dapat menerima takdir dan tidak suka melihat Melayu lain mendapat apa yang mereka tidak dapat, ingin saya ingatkan bahawa Perdana Menteri yang sedia ada ini telah berjasa bukan sahaja kepada umat Melayu tetapi juga pada umat Islam sejagat melalui visi-visinya, melalui ilmunya, melalui keikhlasannya, melalui kelantangan dan keberaniannya serta melalui semangat juangnya.

Jika mereka merasa mereka lebih baik daripada beliau, sekurang-kurangnya bentangkan visi mereka pula mengenai hala tuju umat Melayu di Malaysia jika pun tidak dapat menggariskan visi bagi umat Islam sejagat. Sekurang-kurangnya, mereka yang merasa mereka lebih baik daripada Perdana Menteri haruslah mempunyai kemampuan yang sama ataupun lebih baik daripada Perdana Menteri yang telah membawa Malaysia ke tahap sekarang, yang telah berjaya menangkis serangan ekonomi, mendidik Melayu sehingga punya keyakinan diri dan meletakkan kembali maruah bangsa dan negara yang sebelumnya ditindas dan dihina.

Renungkanlah kembali, apakah mereka benar-benar yakin yang mereka boleh membuat lebih baik daripada Perdana Menteri? Kasihan sekali, melihat daripada cara mereka melepaskan kekecewaan, kita tahu, mereka sebenarnya tidak sedikit pun dapat menandingi cara pemikiran dan keupayaan Perdana Menteri.

Walau apa pun, sekadar untuk menjaga air muka sendiri daripada dilihat sebagai orang-orang yang kecewa, apa yang boleh mereka lakukan adalah sekurang-kurangnya, lepaskanlah kekecewaan itu tanpa menggunakan cara yang kotor dengan menggunakan pentas agenda Melayu.

Kepada wira-wira dan pemimpin-pemimpin yang cita-cita tidak kesampaian ini, saya ingin sampaikan rasa kasihan melihat anda semua yang penuh dengan dendam dan iri hati atas kejayaan dan kecemerlangan anak bangsa sendiri. Mungkin, jika semua Melayu menjadi miskin dan hina, dan tidak ada langsung di antara kita yang berjaya, maka hati anda semua akan lebih tenang dan tenteram.

Sesungguhnya, Perdana Menteri berada di tempatnya atas kehendak Allah. Kejayaan anak-anak bangsa kita yang lain juga adalah kehendak Allah. Anda semua tidak begitu berjaya juga adalah atas kehendak Allah. Allah lebih tahu apa yang Dia tetapkan ke atas kita semua.

Malaysia makmur selama ini juga adalah kehendak Allah. Kemakmuran dikurniakan melalui kerajaan yang diterajui oleh orang berkebolehan dan berkemampuan mentadbir. Dan jika di kemudian hari, kita bertelagah dan tidak makmur lagi, itu juga adalah kehendak Allah yang mungkin diturunkan kepada kita atas kesilapan kita memilih pemimpin atau kerajaan yang tidak berkebolehan dan tidak berupaya

No comments:

Post a Comment