ARKIB : 28/04/2002
Jangan gelabah dengan tuduhan kafir
Oleh Nihaz Mohd Yusoff(nihaz@post.com)
PARA pemimpin Pas sekali lagi memainkan isu kafir dengan menuduh bekas Ahli Parlimen Machang, Kelantan, Datuk Shukri Mohamad sebagai kafir.
Dengan tuduhan terbaru itu, maka penjelasan pemimpin Pas sebelum ini bahawa mereka hanya menuduh UMNO sebagai kafir dan bukan orang UMNO yang kafir, sudah tidak relevan lagi.
Ini kerana terang-terangan seorang ahli UMNO telah dituduh kafir di dalam sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu oleh Exco Kerajaan Pas Terengganu baru-baru ini, akibat membincangkan perihal hudud Pas yang dianggap sebagai zalim.
Pas sudah tentu sekali lebih arif tentang hukum Islam dan tidak perlulah kita berkali-kali mengingatkan mereka bahawa tuduhan kafir terhadap seorang Muslim lain boleh berbalik kepada yang menuduh.
Oleh itu, apabila mereka dengan berani dan lantangnya membuat tuduhan itu, sudah pastilah mereka melakukannya dengan penuh keyakinan bahawa orang itu sememangnya kafir. Keyakinan mereka pula sudah pastilah begitu tinggi sehingga mereka bersedia menghadapi apa sahaja hukuman Allah terhadap mereka, andainya mereka tersalah tuduh.
Datuk Shukri telah menjelaskan bahawa beliau hanya mempertikaikan hudud Pas yang dianggapnya zalim dan beliau sama sekali tidak menyatakan yang hudud Allah itu zalim.
Pas sebenarnya faham perkara ini, kerana itulah Pas juga masih belum berani melaksanakan hudud mereka di Terengganu hatta di Kelantan sekalipun. Lebih daripada itu, Pas juga berhujah bahawa hukum hudud hanyalah 0.0001 daripada tuntutan Islam.
Ini kerana Pas sendiri tidak yakin dengan hudud buatan mereka terutama apabila UMNO dapat menunjukkan beberapa kelemahan dalam deraf hudud Pas tersebut. Antaranya adalah kedudukan orang kafir yang agak kabur dan beberapa kelemahan lain dalam menentukan pembelaan terhadap wanita di dalam deraf hukum hudud mereka itu.
Perihal mengkafir orang Islam lain adalah tertakluk di bawah hukum Allah dan sebarang hukuman terhadap kesalahan menuduh orang Islam lain sebagai kafir tidak mungkin dapat diterjemahkan dalam undang-undang manusia.
Oleh itu, biarpun orang yang membuat tuduhan kafir itu ditangkap, didenda atau dibunuh sekalipun, ia tidak mungkin dapat menarik balik tuduhan kafir yang telah berbalik kepadanya akibat menuduh orang Islam lain sebagai kafir.
Inilah yang UMNO perlu faham dan Pas juga, kita agak, sudah tentu lebih faham lagi. Pas tidak takut menuduh orang Islam lain sebagai kafir, dan ini bermakna Pas telah bersedia menanggung sebarang risiko yang mungkin diterima di akhirat nanti.
Sebaliknya tidak ada apa yang perlu digusarkan oleh pihak UMNO atau Datuk Shukri mengenai hal ini. Dengan penuh keyakinan atas hujah dan perbincangan yang telah diadakan dalam Forum Hudud Pas tersebut, berpeganglah bahawa Allah lebih mengetahui iman dan ketakwaan hamba-Nya.
Jika ada penjelasan yang perlu dibuat, ia hanyalah kepada orang ramai yang mungkin termakan strategi politik Pas yang berani ini. Namun begitu, kita yakin walaupun mungkin ada yang termakan strategi ini, tidak akan ada seorang pun penyokong dan pemimpin Pas yang berani mengulangi tuduhan itu dengan tegas dan jelas hatta Abu Bakar Chik sekalipun.
Kita memang akui keberanian Pas. Mereka memang berani bermain dengan hukum Allah kerana bagi mereka, darjat mereka adalah tinggi di sisi Allah berbanding orang UMNO. Mereka yakin dengan apa yang mereka lakukan bermula dari menyeru ke arah jihad dan mati syahid kerana menentang UMNO, mengkafirkan UMNO dan orang UMNO, berdoa agar saudara seagama mereka di dalam UMNO dibinasakan, menuduh Allah mencarut, mengumpamakan sifat Allah dengan manusia yang samseng dan lain-lain lagi.
Mereka juga yakin bahawa Perdana Menteri dan penyokong serta penulis-penulis UMNO akan ditempatkan di neraka sementara mereka pula di syurga.
Keyakinan mereka tentang ketinggian darjat mereka ini tidak dapat digoyahkan lagi. Mengingatkan mereka agar takutkan Allah dan merendah diri dengan Allah hanyalah perbuatan mencurah air ke daun keladi.
Mereka sama sekali tidak tahu bahawa keyakinan mereka itu adalah tergolong daripada sifat takbur, riak dan sombong walaupun di masa yang sama mereka mungkin mengaku mengetahui tentang sabda Rasulullah yang bermaksud: Tidak akan masuk neraka orang yang di dalam hatinya ada sebesar biji sawi keimanan dan tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya ada sebesar biji sawi dari sifat sombong (hadis riwayat Muslim dan Abu Daud).
Dalam menghadapi perang psikologi antara keyakinan Pas dengan kebenaran yang dibawa UMNO, UMNO tidak boleh gelabah. Berdirilah di atas kebenaran dengan keyakinan. Tidak perlu mengheret Pas ke dalam undang-undang manusia dalam menangani masalah kafir-mengkafir ini. Iman dan takwa kita bukan diadili oleh manusia.
Jika benar Pas itu parti yang berkiblatkan Islam, sedikit sebanyak mereka pasti bimbang dan hati mereka bergetar juga atas keterlanjuran strategi mereka. Sampai bila mereka akan terus yakin akan kekafiran orang Islam lain, terserahlah pada mereka kerana itu adalah masalah mereka dengan Allah, bukan kita.
Jadi, abaikan tuduhan kafir Pas itu kerana tuduhan tersebut juga sebenarnya dibuat oleh mereka kerana mereka gelabah.
No comments:
Post a Comment