Wednesday, 19 October 2011

UTUSAN MALAYSIA - BICARA AGAMA

ARKIB : 26/07/2002
Kurang penghayatan agama dalam kempen pilihan raya

Kurang penghayatan agama dalam kempen pilihan raya

Oleh Nihaz Mohd Yusoff
(nihaz@post.com)
Keputusan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri Anak Bukit dan Parlimen Pendang agak mengejutkan walaupun tidak mengecewakan. Ramai yang menyangka bahawa Anak Bukit lebih mudah ditembusi Barisan Nasional (BN) berbanding dengan kawasan hitam-legam atau hijau-pekat Pendang. Keputusan seri bagi BN-PAS ini sekaligus merupakan petanda bahawa kedua-dua parti perlu melipat-gandakan usaha memperkuatkan pengaruh masing-masing.
Seperti yang kita tahu, PAS Kedah tidak pernah berhenti dari bekerja. Kerja cara PAS adalah mudah, iaitu berceramah, menyebar fitnah melalui risalah dan internet serta kempen tak rasmi di kedai-kedai kopi. Kerja mereka tidak memerlukan penggunaan otak mahupun kudrat yang banyak. Mereka hanya perlu meluahkan kebencian dan mereka-reka cerita yang menimbulkan keraguan atau membuat tuduhan terus terhadap kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan tanpa mengambil kira bukti dan fakta untuk menyokong cerita mereka.
Andainya cerita mereka disangkal, mereka hanya perlu melenting dan memaki orang yang menyangkalnya. Itu saja. Apabila menang dikatakan pertolongan Allah dan apabila kalah pula dikatakan Allah menangguh kemenangan mereka.
Apabila rakyat didedahkan dengan sifat keji mereka yang menyelak kain dan memaki melalui kaca TV, penyokong mereka masing-masing mencari-cari alasan untuk menyedapkan hati sendiri dan untuk membela diri sekiranya terpaksa berdepan dengan soalan penyokong BN mengenai sikap keji tersebut. Maka keluarlah beberapa alasan yang berlainan daripada penyokong PAS yang berlainan. Contohnya, orang sebelah rumah penulis memberi alasan bahawa Puteri yang menyelak baju dahulu??? Pemimpin PAS pula ternyata ada yang menyangkal terus. Penyokong PAS kawan penulis pula berkata, UMNO yang selak kain dan sengaja menyalahkan PAS.
Pendekata, macam-macam versi pembelaan diri mereka. Apabila timbul macam-macam versi, fahamlah kita yang mereka sebenarnya terperangkap.
Kita mungkin ketawa dengan kenaifan penyokong PAS menunjuk-nunjuk apa yang tak patut ditunjuk itu, tetapi pada waktu yang sama kita juga menggeleng-geleng kepala dengan kejijikan dan kekejian sifat mereka.
Lebih dari itu, kita sedih kerana ramai orang Melayu masih lagi mengtidak-apakan segala karenah jijik ini dan tetap memilih PAS.
Pilihanraya Kecil di Anak Bukit dan Pendang, menyaksikan sebuah parti pimpinan kerajaan yang sedang menjulang martabatnya di mata dunia, beradu kekuatan pengaruh dengan sebuah parti pembangkang yang ketiadaan isu langsung untuk diketengahkan.
Dari kacamata yang waras, peraduan ini tidak sepatutnya merupakan satu persaingan yang sengit.
UMNO membawa bersamanya rekod kemajuan, keamanan, keupayaan mentadbir ekonomi dan kejayaan demi kejayaan. Sedangkan PAS hanya membawa bersama mereka maki hamun, potret fitnah terhadap Perdana Menteri, kain rentang fitnah terhadap Azalina, rekod kemunduran Kelantan, hukum hudud PAS yang berbelit dan zalim dan paling hebat ialah menyelak kain.
Apa yang dapat kita simpulkan dari keadaan ini ialah keputusan seri antara kedua parti tersebut sebenarnya satu tamparan hebat terhadap penghayatan Islam di kalangan umat Islam, khasnya di Kedah.
Apakah Umat Islam di Kedah masih perlu diterangkan bahawa memaki itu salah, mencarut itu jijik, dan menyelak kain itu keji? Apakah perlu diberitahu bahawa memfitnah dan mencela orang lain (Perdana Menteri dan Ketua Puteri) itu adalah dosa besar?
Apakah semua asas Islam ini masih perlu diajar kepada golongan yang rata-ratanya berserban, bertudung labuh malah bersekolah agama? Perlukah mereka ini diajar tentang akhlak sedangkan mereka seharusnya sudah lebih awal mempelajari akan sifat-sifat mulia Rasulullah? Kita faham bahawa Mat Sabu tidak memahami asas Islam ini atas alasan politik, tetapi rakyat yang menyokong beliau perlu faham bahawa jika pemimpin begini diberi kemenangan, dapatkah mereka membangunkan kawasan atau negeri mereka dengan carutan dan makian itu? Dapatkah fitnah dan celaan terhadap Perdana Menteri itu membantu hidup mereka, menaikkan taraf ekonomi keluarga dan memajukan negara?
Kita dapati masih ramai yang menyatakan bahawa pembangunan dan kemajuan yang diwar-warkan UMNO tidak penting, kerana yang penting adalah agama. Pun begitu, apakah benar mereka merasakan sifat-sifat ganas, samseng dan jijik PAS itu adalah terangkum dalam tuntutan agama? Agama bagaimanakah yang mereka maksudkan?
Dengan itu, kita berbalik kepada persoalan awal iaitu tentang kerja PAS, di mana di sinilah terletaknya kerja UMNO. UMNO perlu memperluaskan definisi kerja mereka iaitu selain dari pembangunan dan prihatin terhadap masalah rakyat, UMNO juga perlu mula mengatasi kerja-kerja PAS dari segi ceramah, risalah dan internet. Kerja-kerja ini perlu dipikul oleh setiap wakil rakyat dan bukannya UMNO Pusat semata-mata. Jika benar sebahagian rakyat Kedah tidak faham mengenai akhlak, maka perluaskanlah pengajaran akhlak Islam melalui ceramah-ceramah dan program-program agama. Penceramah-penceramah sendiri perlu dipastikan mencontohi sifat Rasulullah yang lemah lembut dalam tutur kata. Inilah jihad UMNO Kedah demi memperbetulkan fahaman rakyat Kedah terhadap agama, dan bukan hanya satu pendekatan politik semata-mata.
Sesungguhnya pengaruh PAS yang masih kuat walaupun ketiadaan isu juga menunjukkan satu masalah pemikiran Melayu yang parah. UMNO perlu berbuat sesuatu demi menyelamatkan bangsa kita dari terus melahirkan generasi bersifat keji dan samseng, dan UMNO perlu berbuat sesuatu dengan tegas dan segera

No comments:

Post a Comment