Wednesday 19 October 2011

UTUSAN MALAYSIA - BICARA AGAMA

ARKIB : 01/02/2002
Wanita hanya alat bagi Pas

Wanita hanya alat bagi Pas

Rencana Pilihan
Oleh Nihaz Mohd Yusoff
(nihaz@post.com)
Maka berbincanglah Pas sekali lagi tentang subjek kegemaran mereka iaitu wanita. Buat kesekian kalinya, wanita menjadi subjek perbincangan pemimpin-pemimpin PAS, dan kali ini, ianya mengenai wanita menjadi calon pilihanraya.
Suatu ketika dahulu mereka memberi alasan bahawa suasana pilihanraya yang agresif dan juga percampuran lelaki dan wanita dalam aktiviti-aktiviti pilihanraya tidak mewajarkan wanita menjadi calon. Bagaimanapun, wanita berkempen untuk mereka tidak pula tertakluk pada alasan-alasan ini. Walhal, kita tahu, untuk berkempen juga percampuran lelaki wanita terjadi dan tahap agresifnya sama sahaja dengan bertanding.
Contoh terkini ialah Pilihanraya Kecil Indera Kayangan di mana pak cik dan mak cik yang berserban, bertudung labuh malah ada yang berpurdah bersama-sama dalam kesesakan perayu undi di tepi jalan mengangkat poster, melaung-laung malah ada yang melekatkan gambar calon KeADILan tersebut di badan mereka. Tidak ada bezanya keadaan mereka dengan penyokong-penyokong UMNO dalam suasana pilihanraya.
Jadi, alasan bahawa bertanding dalam pilihanraya tak boleh tetapi berkempen dalam pilihanraya boleh, hanyalah alasan dangkal untuk mengabui mata wanita-wanita mereka. Padahal alasan sebenar mereka ialah mereka sememangnya meletakkan kaum wanita sebagai golongan sekunder yang tidak layak menjadi pemimpin dalam mana-mana peringkat pun.
Namun, secara tiba-tiba, minggu ini PAS membuat perubahan lagi di dalam pendirian mereka yang sememangnya selalu berubah-ubah. Mereka mengeluarkan kenyataan bahawa Muslimah mereka akan dicalonkan dalam pilihanraya akan datang. Tanpa segan silu, mereka juga mengakui bahawa keputusan ini perlu dibuat memandangkan pengundi wanita melebihi pengundi lelaki dan pengaruh wanita amat penting. Dalam ertikata lain, mereka mengakui bahawa dahulunya wanita ditolak ke belakang bukan kerana agama, tetapi semata-mata kerana keegoan lelaki mereka. Justeru, apabila kedudukan mereka boleh tergugat tanpa undi wanita, alasan agama tidak timbul lagi, yang timbul hanyalah soal bagaimana mengatur strategi untuk mendapat kuasa melalui pilihanraya.
Penulis tidak sampai hati melihat Muslimah PAS dijadikan alat politik kaum lelaki PAS. Mereka ditonjolkan ketika perlu atau terdesak, tetapi dibelakangkan di ketika yang lain. Mereka merelakan keegoan wanita dipijak-pijak dengan membiarkan nama wanita dieksploitasi untuk melariskan jualan slogan PAS.
Lebih malang lagi, Muslimah itu sendiri sememangnya sedia maklum bahawa sekiranya wanita tidak membentuk jumlah pengundi yang banyak, nescaya mereka hanya akan terus menjadi alat mengemas rumah, kalau tidakpun sebagai alat bantuan untuk berkempen pilihanraya. Dengan itu, PAS secara tak langsung telah menghina wanita secara keseluruhannya.
Kini terbuktilah bahawa PAS menganggap wanita hanya sebagai alat dalam apa jua topik perbincangan dan dalam apa jua keadaan sekalipun, sama ada di rumah atau di pejabat serta dari segi agama mahupun politik.
Di rumah, bukan sedikit puak PAS yang melihat wanita sebagai peralatan yang gunanya adalah untuk menguruskan makan pakai mereka. Bukan perkara ganjil lagi bila kita melihat penyokong-penyokong taksub PAS yang ke sana ke mari mengikuti ceramah di segenap ceruk rantau dan meninggalkan isteri untuk menguruskan anak-anak dan rumahtangga sendirian. Lebih teruk lagi, ada juga kes di mana wang untuk pergi mendengar ceramah juga diperoleh dari si isteri. Di Kelantan, rata-rata yang berniaga adalah wanita dan orang luar yang berkunjung ke sana pasti tertanya-tanya, di mana lelakinya? Mendengar ceramahkah? Bergebang di kedai kopikah? Atau yang paling baik ialah adakah mereka semua berhijrah mencari makan di negeri-negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional? Melihat pada trend punca pendapatan di Kelantan yang rata-ratanya datang dari wanita, maka saranan PAS supaya mengahwini ibu tunggal agar nasib mereka terbela ditakuti tidak mencapai objektifnya dan sebaliknya ibu-ibu tunggal itu mungkin terpaksa membela lelaki yang mengahwininya pula.
PAS sememangnya tidak pernah menilai wanita sebagai manusia dan setiap perkara yang dibangkitkan mengenai wanita pastilah berkisar perihal nafsu semata-mata. Ini dapat disaksikan melalui kenyataan mereka mengenai suara wanita yang mana jika mengaji al-Quran juga boleh merangsang nafsu mereka. Kalau suara juga boleh memberi impak yang sebegitu hebat kepada nafsu mereka, apatah lagi rupa paras. Kerana itulah PAS tidak membenarkan wanita cantik bekerja. Sedangkan kecantikan itu adalah tertakluk kepada mata yang melihat, maka bagaimanakah dan mata siapakah yang layak memastikan sama ada seseorang wanita itu tergolong dalam wanita yang cantik atau tidak? Di sinilah agaknya peranan besar Tok Guru Nik Aziz dalam membela wanita Kelantan, iaitu menentukan sama ada seseorang wanita itu cantik atau tidak di matanya, sebelum diambil bekerja oleh mana-mana syarikat di sana.
Dari segi agama pula, PAS sering menganggap wanita sebagai bahan penyebab berlakunya maksiat dan kemungkaran. Di situlah timbul kenyataan yang menyalahkan wanita sekiranya berlaku kes-kes rogol atau zina. Mereka tidak pula mengambil pusing kenapa si penjenayah tersebut begitu tipis imannya. Jauh sekali mereka ingin memikirkan bagaimana untuk mendidik lelaki supaya meningkatkan iman, menghormati wanita sekaligus bersopan dan berhemah.
Ini mungkin kerana bagi mereka, lelaki bukan satu topik yang menarik untuk difikir atau dibincangkan. Lebih dari itu, mereka juga mungkin merasakan bahawa lelaki-lelaki seperti mereka sudah cukup sempurna dan tak perlu diperbaiki lagi sifat dan sikapnya.
Selama ini, PAS telah memutarbelit tafsiran mengenai memuliakan wanita. Bagi PAS, memuliakan wanita bermaksud membiarkan wanita menjadi alat untuk memudahkan dan menyenangkan hidup lelaki. Amatlah menyedihkan apabila wanita-wanita mereka pula menelan putarbelit ini tanpa banyak soal.
Adalah ditegaskan, bahawa dalam Islam, memuliakan wanita bermaksud menerima mereka sebagai manusia biasa yang punya kelebihan dan kelemahan. Ini sekaligus bermaksud, menerima bahawa ada wanita yang punya sifat kepimpinan dan kebolehan menjadi ketua yang baik dan ada juga wanita yang sebaliknya seperti juga lelaki.
Hari ini, PAS terpaksa menggunapakai tafsiran sebenar yang sebelumnya diketepikan ini, demi kepentingan politik mereka. Walaupun begitu, PAS sudah ketinggalan kerana UMNO telah melangkah jauh dalam memuliakan wanita mereka semenjak awal penubuhan lagi. Manakala wanita PAS pula terpaksa berjuang bagaikan zaman permulaan kedatangan Islam untuk menuntut hak mereka sebagai manusia.
PAS mula mengiktiraf hak wanita mereka hari ini kerana tuntutan politik, sementara, UMNO telah lama mengiktiraf hak wanita mereka kerana tuntutan agama.

No comments:

Post a Comment