Thursday, 20 October 2011

Ikhlas

Perkataan ‘ikhlas’ bolehlah dikatakan ‘dipopularkan’ oleh Pak Lah di era pemerintahannya.  Beliau gemar sekali memberitahu rakyat tentang betapa ikhlasnya beliau dalam berkhidmat kepada rakyat dan negara.   Rakyat ternyata tidak termakan dengan kenyataan ikhlas beliau, sebaliknya telah bertindak memberontak dengan cara menunjuk protes melalui peti undi.  Akibatnya, Pak Lah terpaksa ‘mengikhlaskan’ hatinya untuk berundur secara terhormat.

Hari ini, terdapat ramai pejuang-pejuang cyber yang juga mengaku berjuang dengan ikhlas.  Benar, ramai di antara kita yang ikhlas berjuang untuk agama, bangsa dan negara. 
Namun, dalam keikhlasan itu jika tiba-tiba diberi pula penghormatan atau ganjaran, maka kita tetap ikhlas menerimanya.  Ini fakta atau hakikat dunia atau UMNO hari ini yang sukar sekali untuk dinafikan.  Tidak ada salahnya bagi pihak yang dibantu untuk  menunjuk atau memberi penghargaan atas keikhlasan orang yang membantunya.  Dan tidak ada salahnya juga untuk yang membantu menerima pemberian itu kerana itu mungkin rezeki yang Allah kurniakan atas keikhlasannya. 

Bagaimanapun, oleh kerana begitu ramai orang-orang yang ‘ikhlas’, kadangkala berlaku terlepas pandang atau keciciran dalam pemberian penghargaan ataupun ganjaran.  

Lalu terdengarlah rungutan dari orang-orang yang ikhlas itu bahawa keikhlasannya tidak didendang, usahanya tidak dihargai atau dirinya tidak dikenali.   Pernah makan semeja, mengatur program untuk ahli politik itu dan ini tetapi kemudiannya ahli politik itu atau ini terlupa nama orang yang ikhlas tersebut.  Maka, kedengaranlah pula cemuhan malah ada yang menyimpan dendam terhadap ahli politik terbabit.

Marah benar mereka kerana keikhlasan mereka tidak dihargai.

Justeru, penulis tertanya-tanya, apa yang mereka mahu sebagai balasan kepada ‘keikhlasan’ mereka sebenarnya?

Kata mereka, bukan wang, bukan material, cuma hargailah jasa mereka.

Bagaimana untuk menghargai jasa mereka?  Dengan senyuman, ucapan terima kasih dan berjabat tangan setiap kali bertembung?  Jelas, ini saja tidak cukup kerana rata-rata kedengaran rungutan “takkan tak ada apa-apa, setelah bertungkus lumus bekerja dan membantu dengan ‘ikhlas’?”. 

Mungkin penulis yang kurang faham akan erti sebenar perkataan ‘ikhlas’.  Kerana mengikut pemahaman penulis, jika kita ikhlas kita tidak akan memikirkan sama ada bantuan yang kita hulurkan akan dihargai atau diingati oleh sesiapapun.  Jika kita ikhlas, kita tidak akan mempersoalkan habuan yang diterima oleh orang lain atas khidmat yang sama seperti yang kita berikan.  Dan jika kita ikhlas, kita tidak akan merungut, marah, dendam dan mengungkit-ngungkit kebaikan yang kita lakukan terhadap orang lain.  Sebaliknya kita akan redha dengan rezeki masing-masing.

Oleh itu, melihat senario hari ini, penulis tertanya-tanya apakah perkataan ‘ikhlas’ perlu ditafsir semula? 

No comments:

Post a Comment