ARKIB : 09/06/2000
Umat Islam dan cabaran globalisasi
Oleh: NIHAZ MOHD. YUSOFF (NMYUS@catcha.com)Isu globalisasi atau dunia tanpa sempadan sedang hangat dibincang dan dibahaskan di seluruh dunia. Apa yang kita faham mengenai dunia tanpa sempadan ini adalah negara-negara lemah akan dengan mudah dilemahkan lagi kerana ketiadaan daya saing terutamanya dalam pasaran terbuka.
Umat Islam, yang rata-ratanya mewakili bahagian dunia yang lemah harus mula memikirkan di manakah kita dan bagaimanakah kita akan menempuh arus globalisasi ini. Reaksi yang berbagai mengenai arus ini dapat kita saksikan di pelbagai media massa. Ada yang menunjuk perasaan menentangnya, ada yang beria-ia mempertahankannya. Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad telah memilih untuk berhujah secara diplomasi di mana-mana kesempatan yang diberikan di arena antarabangsa mengenai keburukan globalisasi yang jelas menandingi kebaikan.
Nampaknya, hanya Malaysialah satu-satunya negara Islam yang lantang mempertahankan kepentingan rakyatnya sekali gus rakyat di negara membangun dan miskin di seluruh dunia.
Kelantangan Perdana Menteri itu pasti sedikit sebanyak mampu menentukan arah tuju negara-negara membangun khususnya negara Islam di masa depan.
Ke manakah arah Iran yang baru mula menerima keterbukaan, atau Indonesia yang bagaikan menuju kehancuran, dan Iraq yang terpaksa menanggung kebencian Amerika terhadap pemimpin mereka dan juga ke manakah arah Malaysia sebuah negara Islam yang seolah-olah merupakan harapan untuk memberi panduan kepada negara Islam lain?
Di waktu orang lain bergelut dengan pandangan masing-masing mengenai globalisasi, umat Islam pula masih terpaksa bergelut dengan nama agamanya yang masih lagi dianggap sebagai punca kelemahan serta dicemari dengan keganasan, kemiskinan, kemunduran dan kecelaruan fikiran.
Semuanya kerana umat Islam sendiri seolah-olah membuktikan yang tuduhan ini benar. Melabelkan perjuangan ke arah kesaksamaan ekonomi, pendidikan dan segala asas keduniaan sebagai perjuangan demi Islam atau jihad seperti yang dilakukan oleh Abu Sayyaf mahupun pejuang Islam di Acheh, telah memberi peluang bagi musuh Islam membuktikan tuduhan mereka. Memanggil peserta demonstrasi sebagai pejuang Islam atau menggelar negeri paling mundur di Malaysia sebagai Serambi Mekah juga menjurus ke arah akibat yang sama. Ini membuktikan bahawa keseluruhannya negara-negara Islam masih jauh dari bersedia untuk mengharungi arus globalisasi.
Kita tidak akan dapat mengharungi cabaran ini dengan meneruskan jihad untuk menubuhkan wilayah Islam berasingan ataupun dengan melaungkan slogan-slogan Islam semata-mata. Peperangan dan keganasan tidak akan menguatkan kita malah akan melemahkan kita. Tafsiran kekuatan kini bukan lagi senjata. Kekuatan sebenar terletak pada keperibadian yang mantap dan pemikiran yang betul. Tanpa keperibadian yang teguh dan mantap, umat Islam tidak akan mampu menguatkan ekonomi bagi menangani cabaran globalisasi.
Sedangkan tafsiran perang di zaman globalisasi ini pula, adalah ekonomi itu sendiri. Dengan itu, jika kita ingin berjihad atau sekadar ingin mempertahankan diri, kita perlulah menggunakan senjata yang sesuai dengannya iaitu kebijaksanaan.
Kita bertuah kerana Dr. Mahathir telah bertindak melontar kita jauh ke hadapan daripada negara-negara Islam lain dengan mencetus idea multimedia koridor raya. Ini sebenarnya adalah senjata untuk kita menangkis serangan yang bakal kita hadapi. Universiti Multimedia, di samping pusat-pusat pengajian tinggi lain ditubuhkan bagi melahirkan perajurit-perajurit untuk memikul senjata tersebut.
Manakala, golongan profesional yang sedia ada pula adalah perajurit-perajurit yang telah pun memikul senjata masing-masing.
Malaysia secara logiknya sepatutnya sudah memulakan langkah persediaan mengharungi arus globalisasi. Tetapi, Malaysia punya masalah yang bukan kecil, iaitu perajurit-perajurit kita masih belum memahami tugas mereka yang sebenar. Perajurit-perajurit ini bukan sahaja tidak faham akan peranan mereka, tetapi juga tidak dapat mengenal pasti musuh sebenar mereka. Mereka masih bergelut dengan masalah yang sama yang dihadapi oleh kebanyakan umat Islam dan negara-negara Islam lain iaitu pemikiran dan keperibadian yang bercelaru. Kebijaksanaan tanpa kekuatan keperibadian juga tidak akan dapat membantu kita mengharungi cabaran ini.
Keperibadian yang lemah inilah yang memudahkan mereka terpedaya dengan segala macam tipu helah yang bertopengkan agama yang akhirnya akan memecah belah dan melemahkan lagi umat Islam.
Perajurit-perajurit ini perlu punya pengetahuan dan pemahaman supaya mereka dapat menghalakan senjata mereka dengan tepat. Melalui pengetahuan dan pemahaman, mereka akan punya pendapat dan pemikiran sendiri dan tidak lagi mudah terpedaya oleh segala macam tipu helah yang boleh memesongkan mereka dari perjuangan mereka. Dengan memiliki pemikiran yang berasaskan pemahaman, barulah mereka dapat berdiri teguh dan megah di atas apa yang mereka perjuangkan dan tidak lagi berdiri dengan sebelah kaki sedangkan sebelah kaki lagi bersedia untuk berlari andainya berlaku sesuatu yang tidak diingini.
Amatlah malang jika perajurit-perajurit ini terus menghunus senjata mereka kepada ketua mereka dan bukannya pada musuh mereka. Akibatnya kita bukan sahaja akan hanyut dalam arus globalisasi tetapi juga akan tenggelam dan lemas di dalamnya
No comments:
Post a Comment