Wednesday, 19 October 2011

UTUSAN MALAYSIA - BICARA AGAMA

ARKIB : 09/03/2001
Islam Pas tiada berjiwa

Islam Pas tiada berjiwa

Oleh: NIHAZ MOHD. YUSOFF (nihaz@post.com)
Penulis pernah menaruh harapan terhadap pertemuan UMNO-Pas suatu waktu dulu walaupun jauh di sudut hati penulis dapat merasakan yang Pas tidak akan membiarkan sesuatu perkara baik terjadi dengan semudah itu. Pembangkang di Malaysia sememangnya suka kepada perkara-perkara yang tidak baik sahaja.

Penangguhan malah mungkin pembatalan terus pertemuan ini sebenarnya telah diduga oleh ramai orang. Yang menjadi persoalannya hanyalah alasan apakah yang akan dipakai oleh Pas untuk menangguhkannya atau mungkin membatalkannya terus nanti.

Mungkin juga mereka akan berdalih sehingga UMNO sendiri terpaksa membatalkannya.
UMNO usah terpedaya. Pas sememangnya tidak ingin duduk semeja dan tidak sedikit pun bercita-cita ke arah kebaikan seperti perpaduan dan sebagainya. Pas hanya ingin berpolitik tetapi mereka sendiri tidak tahu tujuannya. Mereka mungkin inginkan kuasa dan suka menggunakan kuasa walaupun mereka tidak tahu untuk apakah kuasa itu dikurniakan. Kerana itulah mereka bermaharajalela memecat sesiapa saja yang tidak sehaluan dengan mereka.

Ini menunjukkan bahawa Pas bukanlah perunding yang boleh diharapkan. Maka UMNO tidak perlu merayu-rayu untuk duduk semeja dengan orang-orang yang tidak punya pemikiran, tidak punya hala tuju, tidak punya jiwa dan tidak punya perasaan ini.

Bagaimana Pas hendak bertemu dengan UMNO jika Pas tidak tahu apa yang perlu dibincangkan atau bagaimana untuk berbincang? Tidak keterlaluan rasanya jika dikatakan yang Pas mungkin juga tidak tahu apa itu perbincangan?

Keupayaan Presiden Pas dan Presiden UMNO bagaikan perbezaan langit ketujuh dengan bumi. Apa yang boleh Presiden Pas kemukakan untuk menyatupadukan Melayu?

Apa yang boleh Pas kemukakan demi kebaikan bangsa Melayu? Paling hebat pun, Presiden Pas hanya mampu mengulangi maki hamunnya terhadap Perdana Menteri sebagaimana dilakukannya dalam ceramah-ceramahnya. Itu sahaja.

Selain daripada itu, sesuatu perbincangan hanya akan berhasil jika kedua-dua pihak mempunyai objektif yang sama, iaitu mencari satu titik kompromi mengenai perpaduan dan kebaikan umat Melayu. Sedangkan Pas selama ini tidak pernah cuba atau ingin membuat sesuatu untuk kebaikan rakyat khususnya bangsa Melayu. Kelantan adalah buktinya. Habis rakyat Kelantan bertebaran di segenap ceruk rantau negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN) demi untuk mempertingkatkan taraf hidup mereka atau demi untuk mencari sesuap nasi.

Bercakap dengan Pas mengenai apa yang terbaik untuk Melayu adalah umpama mencurah air ke daun keladi. Itu bukan objektif Pas, itu bukan agenda Pas.

Persetankan dengan bangsa Melayu yang berpecah, bertelagah, terpaksa merempat dan terus terkebelakang berbanding dengan bangsa lain. Itu bukan masalah Pas.

Masalah Pas adalah negara ini terlalu aman dan makmur sehingga tiada alasan konkrit untuk rakyat memilih mereka. Masalah Mahfuz pula adalah Datuk Seri Dr. Mahathir masih nampak begitu segak, tenang dan yakin walau apa pun digelar kepadanya.

Satu lagi masalah yang dihadapi oleh Pas ialah Fadzil Noor, Mohd Sabu, Mahfuz dan beberapa pemimpin dan penceramah Pas telah kehabisan kata-kata umpat dan carut terhadap Perdana Menteri, maka mereka tidak dapat menerima hakikat malah mungkin malu kerana Per-dana Menteri masih sanggup berunding dan berbincang dengan mereka. Mereka sangkakan politik adalah berceramah, membangkang dan mengumpat semata-mata. Tidak pernah mereka terfikir yang politik itu termasuklah berbincang dengan parti lawan.

Apa yang mereka perlu tahu adalah, bagi Perdana Menteri, kesejahteraan dan perpaduan ummah adalah lebih penting daripada hatinya yang terluka.

Jika Pas menafikan yang mereka menghadapi masalah takut atau malu ini, maka benarlah bahawa pemimpin-pemimpin dan penceramah-penceramah Pas ini sebenarnya tiada berjiwa dan tiada berperasaan. Segala umpat keji dan maki hamun adalah perkara biasa bagi mereka walaupun dibuat atas nama agama Islam dan nama Allah.

Pas sudah terlalu jauh daripada Islam. Kita harap agar Pas kembalilah pada ajaran Islam yang sebenar-benarnya, yang mementingkan perpaduan ummah, akhlak dan tutur kata yang baik serta hormat-menghormati sesama manusia.

Wajib kepada kita untuk menyambut seruan ke arah perpaduan dan mengelakkan sebarang prasangka serta tipu muslihat yang boleh menghalang usaha itu.

Sebaliknya, apa yang boleh dilihat, Pas sebenarnya berbangga kerana dapat menangguhkan pertemuan ini dan mengikut laporan akhbar Harakah, seolah-olah Perdana Menteri pula yang sengaja membuntukan keadaan.

Mengenakan syarat-syarat yang tidak ada kena-mengena dengan perpaduan atau kebaikan bangsa Melayu hanya menyerlahkan kejahilan Pas mengenai perpaduan dalam Islam.

Tidak wajar sebuah parti yang bertemakan Islam mengenakan syarat untuk bertemu demi kebaikan. Sepatutnya, parti yang bertemakan Islam inilah yang menjemput UMNO untuk duduk semeja, bukan sebaliknya. Apakah Pas tidak pernah terfikir?

Islam apakah yang dilaungkan jika perbincangan sihat tidak diutamakan? Pas sepatutnya membuka pintu seluas-luasnya dan menadah tangan penuh kesyukuran apabila UMNO mula-mula mencadangkan pertemuan ini. Itulah sikap pemimpin Islam yang sebenar dalam soal perpaduan dan kebaikan ummah.

Kepada Pas, hentikanlah sandiwara ini, walaupun untuk seketika cuma. Ingatlah kepada Allah s.w.t dan janganlah anda semua tenggelam dalam pencarian dunia

No comments:

Post a Comment