Wednesday, 19 October 2011

UTUSAN MALAYSIA - BICARA AGAMA

ARKIB : 04/10/2002
Ulama rabbani terpelihara tutur kata

Ulama rabbani terpelihara tutur kata

Oleh Nihaz Mohd. Yusoff
(nihaz@post.com)
Seorang ulama rabbani, seorang yang bertaraf wali, atau seorang mursyid adalah antara manusia yang mendapat kelebihan-kelebihan dan sentiasa dalam perlindungan Allah s.w.t. Manusia sebegini kadangkala mengungkapkan kata-kata yang begitu luas maknanya dan kadangkala juga tidak tercapai oleh minda manusia biasa yang jahil. Walau bagaimanapun, setiap tutur kata mereka sentiasa dalam peliharaan Allah terutama ketika menyampaikan dakwah (dalam konteks sempit bangsa Melayu ialah ceramah).
Wali-wali, ulama rabbani atau mursyid sentiasa terpelihara tutur kata dan hati mereka daripada merendah-rendahkan, membenci atau menghina orang lain atas apa sebab sekalipun dan walau betapa jahilnya atau buruknya seseorang itu.
Hati nurani seorang wali, ulama rabbani atau seorang mursyid adalah sentiasa terdorong ke arah mengasihani, memaafkan, menyayangi dan mendoakan kesejahteraan manusia sejagat. Itulah pantulan nur daripada zat Allah s.w.t ke dalam hati mereka. Mereka juga akan hanya mengeluarkan kata-kata yang baik, indah dan sedap didengar walau bagaimana tidak setuju pun mereka dengan sesuatu perkara.
Seorang wali, ulama rabbani atau mursyid tidak mungkin ada sedikit pun kecenderungan atau menunjukkan sokongan terhadap keganasan mahupun kesamsengan jauh sekali membiarkan anaknya sendiri dan pengikut-pengikutnya cenderung ke arah itu. Marah, dendam, benci dan iri hati serta mengugut untuk mencari seseorang hingga ke lubang cacing bukanlah sifat seorang wali, ulama rabbani atau mursyid.
Manusia-manusia yang tinggi darjatnya ini juga sentiasa dikurniakan kekuatan dan kesihatan yang menggalakkan. Hadirnya seorang wali, ulama rabbani atau mursyid di sesuatu tempat membawa kesejahteraan dan keamanan kepada masyarakat setempat. Doa mereka dan keberkatan mereka mampu memelihara sesuatu kawasan daripada huru-hara, kejadian tidak diingini dan kesusahan.
Malaysia bumi bertuah, satu-satunya negara Islam yang secara amnya sejahtera dan berjaya membuktikan bahawa Islam sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Namun, ada di sesetengah tempat di Malaysia, di mana rakyat masih hidup dalam kedaifan dan disusuli pula dengan jenayah-jenayah yang mengaibkan seperti sumbang mahram, buang bayi dan lain-lain yang kadangkala tidak masuk akal.
Yang menghairankan masyarakat di tempat itu diterajui oleh seorang yang bukan sahaja menggelar diri sendiri sebagai ulama, tetapi diangkat oleh para pengikut sebagai mursyid seterusnya dijulang sebagai ulama rabbani oleh ahli-ahli persatuan yang menggelarkan diri mereka sendiri sebagai ulama juga. Tetapi inilah yang berlaku di Kelantan yang dipimpin oleh manusia yang dinobatkan dengan gelaran-gelaran ini, iaitu Nik Aziz.
Memang benar, jenayah dan maksiat ada di mana-mana tetapi bukankah ia sesuatu yang pelik jika berlaku dengan kadar yang tinggi di tempat yang diterajui oleh bukan sebarangan ulama, malah seorang ulama rabbani atau seorang mursyid?
Lebih menghairankan, Nik Aziz juga sering tersilap cakap dan tersasul malah beliau juga mengaku pernah berceramah dalam keadaan separuh sedar.
Sedarkah beliau akan bahayanya berceramah atau menyampaikan dakwah dalam keadaan separuh sedar? Dakwah yang ingin disampaikan boleh bertukar menjadi dakyah.
Sesungguhnya sekali lagi ditegaskan bahawa seorang mursyid atau seorang ulama rabbani diterangkan mata hatinya dan pemikirannya terutama ketika beliau sedang bertugas memikul amanah menyeru manusia kepada Islam sebenar dan beliau akan dipelihara daripada kesilapan yang mengaibkan, apatah lagi daripada kata-kata yang menjurus kepada umpatan, sindiran atau penghinaan terhadap orang lain. Allah tidak akan sekali-kali membiarkan manusia yang dekat dengan-Nya keluar menyampaikan dakwah dalam keadaan separuh sedar.
Sememangnya, sakit demam adalah ketentuan Allah, tetapi seorang yang bertaraf begitu tinggi sebagaimana gelaran-gelaran yang diberikan kepada Nik Aziz, beliau sudah seharusnya mempunyai kelebihan-kelebihan dari segi kekuatan fizikal dan mental.
Jika Nik Aziz merasakan beliau tidak tertanding oleh mana-mana ulama zaman sekarang, maka ayuh kita cuba bandingkan beliau dengan ulama zaman dahulu, zaman kegemilangan Islam. Di manakah kehebatan Nik Aziz jika dibanding dengan ulama zaman dahulu yang terdiri daripada ilmuwan sains, matematik, perubatan, ekonomi dan bermacam-macam bidang lagi?
Ini orang-orang Pas perlu fikir. Kajilah riwayat hidup wali-wali terdahulu, terutama dari segi kehebatan dan kelebihan yang mampu menyentuh minda manusia jahil seperti kita.
Tidak ada apa-apa yang boleh dilihat sebagai hebat dalam diri Nik Aziz selain daripada keberaniannya menghina Allah s.w.t. Tidak ada apa-apa kelebihan dalam diri Nik Aziz selain daripada keceluparannya dan kesilapan-kesilapan mulut yang tidak kunjung henti.
Bukan niat penulis merendah-rendahkan Nik Aziz kerana walau apa pun yang ditulis di sini, penulis tetap yakin bahawa penulis lebih rendah lagi dari segi ilmu Islam berbanding beliau. Kerana kerendahan ilmu inilah penulis suka meneliti sikap mereka yang berilmu untuk dijadikan pedoman dan pelajari sesuatu.
Namun begitu, sehingga kini Nik Aziz dan negeri pimpinan beliau tidak dapat memberi gambaran Islam yang sebenar kepada penulis yang jahil ini, jauh sekali menarik bukan Islam mendekati Islam. Nik Aziz sendiri sudah pasti setuju bahawa Islam itu mudah, Islam tidak menghalang kemajuan, Islam itu kebersihan, Islam itu kesejahteraan dan keamanan tetapi sehingga kini Nik Aziz tidak mampu membuktikan satu pun dari semua perkara ini melalui keperibadian mahupun kepimpinannya.
Malah gambaran mengenai Islam itu lebih sesuai jika dilihat kepada keperibadian yang intelek, lemah lembut kurang bercakap tapi banyak berfikir dan sederhana seperti mana beberapa ulama Malaysia yang lain seperti Datuk Dr. Ismail Ibrahim, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman, Datuk Nakhaie Ahmad dan beberapa ulama lain yang tidak terkenal. Kehadiran ulama-ulama ini di Malaysia membantu menghuraikan permasalahan dalam pemikiran Islam bukan sebaliknya

No comments:

Post a Comment