ARKIB : 05/04/2002
Beza ulama dahulu dan sekarang
Rencana PilihanOleh Nihaz Mohd Yusoff
(nihaz@post.com)
Baru-baru ini penulis membelek-belek buku salasilah ringkas ulama yang bertanggungjawab mengasaskan pusat pendidikan pondok Kampung Pulau Pisang, Kedah pada tahun 1771 iaitu Haji Ishak bin Muhammad Hashim. Di sini, penulis ingin berkongsi kisah hidup ringkas dan cara hidup ulama dahulu kala ini dengan seluruh masyarakat Islam di Malaysia.
Haji Ishak bin Muhammad Hashim mendapat pendidikan agama di Mekah selama 20 tahun dan menguasai ilmu Tauhid, Fiqah, Usuluddin, Tasawuf, Hadis, Tafsir, Saraf dan Nahu. Sekolah pondok yang beliau dirikan tersebut diwariskan kepada anak dan kemudiannya cucu dan cicit beliau untuk ditadbirkan pada tahun-tahun seterusnya. Cicit beliau, seperti juga beliau dan anak cucu beliau, melanjutkan pelajaran ke Mekah dan beberapa orang dari mereka, ada yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar.
Perlu dimaklumkan bahawa antara kelayakan yang perlu bagi seseorang melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar dalam jurusan agama pada suatu ketika dahulu adalah keputusan cemerlang dalam subjek-subjek sains seperti fizik selain daripada matematik.
Sekolah pondok pada tahun itu dilihat sebagai satu kemajuan kerana ia didirikan dengan sistematik. Pada tahun 1864 - 1940-an, sekolah tersebut semakin lama semakin dimajukan oleh waris-waris beliau, jalan raya dibina dan dimodenkan sistemnya. Sistem pentadbiran di sekolah tersebut bolehlah dianggap tercanggih di Kedah pada zaman itu. Sekolah pondok sebenarnya berada di hadapan dari segi kemajuan.
Malangnya, di zaman ini, kemajuan sekolah pondok telah menjadi statik. Ia juga dianggap sebagai tidak harus maju, malah ia adalah tempat bagi mana-mana umat Islam yang ingin belajar dalam keadaan ketinggalan zaman. Padahal, sekolah untuk belajar agama tidak seharusnya berada dalam keadaan ketinggalan, ia patut berada di hadapan dari segi kemudahan dan sistem, lebih canggih sekolahnya adalah lebih baik.
Sekembali cucu-cucu dan cicit-cicit ulama ini dari Al-Azhar, mereka membawa perubahan dari segi kemajuan di mana rumah mereka direka dengan arktitektur yang moden seperti loceng untuk memanggil orang gaji di dapur, membina bilik air di dalam rumah (di mana adalah sesuatu yang begitu moden sekali ketika itu).
Adab sopan dalam bertutur kata begitu ditekankan terhadap orang tua serta wanita. Beberapa orang cucu dan cicit ulama ini dilantik memegang jawatan tinggi dalam tahun 1930 - 1940-an dalam bidang agama di Kedah. Sepanjang hidup mereka juga, banyak masa dihabiskan untuk mengislamkan Orang Asli yang diambil sebagai orang gaji atau anak angkat lalu diberi pendidikan Islam dan kemudiannya menjalani kehidupan sebagai Muslim dan berkahwin.
Anak-anak angkat mereka berpuluh-puluh termasuk Arab Habshi yang dibawa balik sebagai khadam pada mulanya, Orang Asli di segenap pelosok utara Semenanjung sehinggalah seorang askar British yang memeluk Islam, iaitu salah seorang anak angkat mereka yang masih berhubung dengan keluarga penulis dan yang bertanggungjawab menceritakan sebahagian kisah hidup ulama zaman dahulu ini kepada penulis.
Beliau juga sering mengikut ulama ini menjelajah perkampungan Orang Asli untuk melakukan kerja-kerja dakwah secara tidak langsung, tersurat atau tersirat.
Meniti perjalanan hidup mereka, penulis dapati apa yang ditekankan oleh ulama zaman dahulu adalah dakwah melalui kebajikan.
Mereka juga hidup dalam kesenangan dan kemajuan mendahului masyarakat sekeliling. Membaca riwayat mereka dan mengorek cerita mereka yang kebetulannya adalah darah daging penulis juga membuka satu dimensi pemahaman yang jelas terhadap apa yang dipanggil Islam adalah cara hidup.
Umat Islam perlu punya kesenangan untuk membolehkan mereka berbuat lebih banyak kebajikan. Kerana itu, penulis masih ingat bagaimana datuk penulis bukan sahaja dihormati oleh orang Melayu tetapi juga dihormati dan disegani oleh orang bukan Melayu walaupun mereka tidak pernah menggelar diri mereka sebagai ulama.
Taraf ulama begitu disegani apabila ulama dilihat sebagai orang yang mempelopori kemajuan sekali gus punya kesenangan. Penampilan keluarga mereka pada waktu itu juga, amatlah bersederhana. Anak-anak cucu mereka kebanyakannya dihantar ke sekolah Inggeris dan kemudiannya dihantar belajar perubatan, perniagaan serta berbagai-bagai bidang untuk menguasai ilmu duniawi yang mana sebenarnya adalah juga terangkum dalam ajaran Islam.
Berdasarkan gambar-gambar lama, penulis melihat penampilan mereka tidaklah pula memakai serban kecuali ketika menjalankan tugas.
Mereka juga tidak berjanggut. Wanita-wanita mereka pula sederhana dan selesa hanya dengan berselendang dan berkebaya, pakaian Melayu asli.
Ulama-ulama dahulu juga suka membaca, mengkaji atau menulis buku-buku. Antara karya yang dihasilkan oleh moyang penulis ialah Sirajulhuda (1344H), Tanbihul Awam listiqadzil (1350H) dan Nasihatuddin Azzakiyah.
Pada saat-saat akhir riwayat datuk penulis sendiri, beliau dalam proses menghabiskan penulisan sebuah buku. Begitu juga dengan Allahyarham bapa penulis sendiri.
Melalui perjalanan hidup mereka, jelas terlihat apa yang digambarkan dalam al-Quran mengenai keindahan Islam sekali gus dapat menghayati sejarah Islam di zaman kegemilangan iaitu tentang bagaimana orang Islam disegani kerana akhlak, ilmu dan kemajuan mereka.
Kemajuan yang dibawa, kesederhanaan yang ditonjolkan serta kebajikan yang dicurahkan menjadi pemangkin kedaulatan Islam. Lebih daripada itu, ia memberi semacam semangat untuk memajukan diri agar memperoleh kesenangan di dunia bagi membolehkan diri berbuat lebih banyak kebajikan demi akhirat.
Penulis tidak dapat tidak, telah membandingkan cara hidup Islam bagi pandangan ulama dan masyarakat Islam terdahulu dengan cara hidup Islam mengikut pemikiran dan pandangan umat Islam di Malaysia sekarang. Ia bagai langit dan bumi di mana kebajikan tidak disenaraikan sebagai sebahagian perjuangan Islam lagi. Erti dakwah disempitkan iaitu berceramah semata-mata. Ilmu dan akhlak bukan lagi menjadi perkara utama.
Yang diutamakan kini ialah hudud, bagi sesetengah golongan tetapi golongan ini mungkin keliru sekarang setelah Hadi Awang menyatakan yang hudud hanya 0.0001 dari tuntutan Islam. Yang diutamakan kini ialah janggut dan pemakaian.
Yang diutamakan kini ialah mendengar ceramah atau memberi ceramah. Yang diutamakan kini ialah tema Negara Islam dan kononnya selagi ada maksiat, arak dan judi, selagi itulah kerajaan perlu ditentang kerana tidak Islam.
No comments:
Post a Comment