ARKIB : 08/03/2002
Antara pengkritik dengan pencaci
Rencana PilihanOleh Nihaz Mohd Yusoff
(nihaz@post.com)
Penulis tidak ingin berbincang panjang tentang kritikan Harakah terhadap PUM, cukuplah sekadar menyatakan bahawa apa yang ditulis oleh akhbar itu adalah ulangan dari apa yang dihujahkan oleh pihak kerajaan dan UMNO terutama Perdana Menteri sendiri sebelum ini. Tajuk Siapa Ulama? juga telah berkali-kali menjadi tajuk ceramah pihak UMNO terutama oleh saudara Astora Jabat. Hujah-hujah berkenaannya adalah sepertimana yang dipaparkan oleh Harakah itu juga.
Hujah-hujah tersebut merupakan lanjutan daripada sikap pemimpin Pas yang suka mengaku diri sendiri ulama dan dengan takburnya menyatakan bahawa hanya ulamalah yang layak memerintah lalu mereka merujuk kepada Gus Dur yang ketika itu baru sahaja mendapat takhta. Sudah tentulah, selepas Gus Dur jatuh, mereka pun senyap. Hujah pihak kerajaan tersebut juga adalah tindakbalas terhadap sikap beberapa pemimpin Pas yang punya sikap yang kurang sesuai bagi seorang yang sepatutnya bergelar ulama atau yang mengangkat diri sendiri sebagai ulama.
Amat menghairankan apabila Harakah mengulangi apa yang dihujahkan oleh UMNO ini. Padahal sekian lama, sudah menjadi tugas rasmi Harakah untuk menghentam para penulis dan pemimpin UMNO kerana kononnya mengkritik ulama. Bagi mereka, siapa yang mengkritik ulama (mereka) akan dianggap sebagai menghina Islam.
Mengulas perkara ini, Nik Aziz cuba menepis dengan berkata, ulama boleh dikritik tetapi tidak boleh dicaci. Apakah definisi kritik dalam kamus Pas dan apa pula definisi caci bagi mereka? Apakah perbuatan pemimpin Pas menggelar ulama kerajaan sebagai ular dalam semak atau ulama terompah kayu serta berbagai-bagai gelaran kesat di dalam ceramah mereka adalah satu kritikan atau cacian? Itu belum lagi dikira carutan penyokong mereka terhadap ulama-ulama kerajaan. Penulis tahu jawapannya, iaitu Nik Aziz dan para pemimpin Pas tidak terlibat dan tidak mahu terlibat dengan akhlak buruk penyokongnya yang mencarut-carut kepada ulama kerajaan itu walaupun Nik Aziz sendiri mengharuskan mencarut.
Maka setelah para ulama Pas membaca definisi ulama oleh akhbar Harakah, kita ingin tahu di manakah mereka meletakkan kedudukan mereka sebagai ulama dari segi definisi itu? Apakah mereka masih lagi merasa dan mengangkat diri sendiri sebagai ulama? Kita biarkan ulama Pas menjawab soalan ini.
Sehubungan dengan itu, eloklah kita berbincang mengenai ulama atau graduan agama dalam realiti masyarakat Malaysia.
Di Malaysia, terdapat graduan agama yang menjadi pelesit tidak bertuan apabila gagal mendapat pekerjaan memandangkan peluang pekerjaan dalam bidang agama tidaklah begitu menggalakkan. Mereka yang kecewa ini bagaimanapun, terus mencanangkan kelulusan agama mereka dan berupaya berkahwin lebih dari satu walaupun pekerjaan tidak menentu, lalu secara langsung atau tidak langsung menganiayai wanita-wanita yang mereka kahwini. Apakah mereka ini juga ulama? Di Malaysia juga graduan agama ada juga yang terlibat dalam jenayah seks, jenayah penipuan dan lain-lain. Ada juga di antara mereka yang sekadar ke hulu ke hilir, menjadi penceramah tidak rasmi di kedai-kedai kopi dan sesekali diberi peluang di surau-surau untuk menghentam atau memaki pemimpin UMNO. Apakah mereka ini juga ulama? Sebagaimana yang dipersetujui oleh pengarang Harakah secara tidak semena-mena tersebut, jawapannya adalah tidak.
Tidak mungkin orang yang kurang baik akhlaknya dan suka mencarut dan memaki dalam ceramah digelar ulama walaupun dia punya ijazah dari Al-Azhar. Tidak mungkin orang yang merambu ke sana ke mari, bergebang di kedai kopi dan hidup tidak menentu digelar ulama hanya kerana mereka berserban dan berjanggut serta punya sekeping kertas menandakan mereka telah tamat belajar dalam bidang agama.
Kita membayangkan seorang ulama itu sudah pasti penyabar dan lemah lembut serta suka berbuat kebajikan. Jika mendiang Mother Theresa dihormati dan dipandang tinggi atas akhlak dan kebajikannya di dunia, kenapa pula tidak ada ulama Islam di zaman sekarang yang dapat menandingi beliau? Rasulullah pernah bersabda maksudnya: Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya? (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Melihat dari permasalahan ini, penulis mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan definisi akhlak oleh masyarakat Melayu kerana bagaimana mungkin sebuah masyarakat Islam boleh terpedaya dan tetap berdegil menganggap seorang yang buruk akhlaknya sebagai ulama hanya kerana ijazah dan pakaiannya?
Akhlak dalam masyarakat Melayu seringkali dihuraikan dalam konteks yang sempit iaitu soal kehidupan sosial semata-mata. Keruntuhan akhlak misalnya, difokuskan kepada cara berpakaian, gejala bohsia, buang anak, mat motor, dadah dan lain-lain. Jarang sekali akhlak dilihat dan dibincangkan dalam konteks asasnya iaitu budi bahasa dan tutur kata yang lembut dan baik, kesopanan, merendah diri serta hormat-menghormati. Penekanan mengenai sifat belas kasihan dan kasih sayang juga tidak begitu diambil pusing dalam masyarakat Melayu akhir-akhir ini. Kerana itu, kita melihat ada anak-anak Melayu yang berlumba-lumba berpakaian apa yang mereka panggil pakaian Islam, tetapi punya sikap dan sifat yang lebih buruk daripada mereka yang tidak berpakaian Islam hatta mereka yang bukan Islam sekali pun.
Akhlak yang asas inilah yang membentuk jiwa dan minda seorang Muslim yang baik. Pembentukan jiwa yang baik adalah lebih berkesan untuk menghalang gejala-gejala sosial di atas berbanding tindakan undang-undang. Ia juga dapat menghalang sesebuah masyarakat itu daripada terpedaya dengan ulama atas kertas.
Sebuah bangunan tidak mungkin tertegak tanpa asas yang kukuh begitu jugalah dengan keimanan kita. Tidak guna berlumba menghafal al-Quran, berjuang demi hudud atau berselubung litup jika kita mengabaikan asas Islam iaitu kemurnian akhlak dalam erti kata yang sebenar.
Permasalahan Melayu dalam agama sedikit sebanyak bersangkut-paut dengan ketidakupayaan mereka memahami sesetengah definisi perkataan yang disebut oleh pemimpin politik mereka. Oleh itu, masyarakat Melayu perlu benar-benar faham bahawa caci bermaksud mencerca peribadi seseorang dengan kata-kata atau gelaran tidak baik, tidak kira dalam ceramah atau secara bertulis.
Contohnya memanggil atau mengejek Perdana Menteri dengan gelaran hidung besar, Firaun, perompak dan lain-lain dengan niat untuk mencerca. Perbuatan mencaci menandakan akhlak si pencaci yang kurang baik. Manakala akhlak bermaksud sifat dan sikap seseorang yang diperlihatkan dari segi perlakuan dan tutur kata.
Ulama adalah ilmuwan atau para bijaksana yang mengkaji, menganalisis, memikir, dan berupaya membincang dan mengupas sesuatu bidang ilmu secara mendalam. Seorang ulama tidak mungkin mempunyai akhlak yang kurang baik, sesuai dengan taraf pemikiran mereka yang tinggi.
Kritik pula adalah teguran yang selalunya membina atau sekurang-kurangnya bertujuan untuk membina, dan perbuatan mengkritik tidak sekali-kali menjejaskan akhlak si pengkritik itu seperti mana perbuatan mencaci
No comments:
Post a Comment