Wednesday, 19 October 2011

UTUSAN MALAYSIA - BICARA AGAMA

ARKIB : 04/05/2001
Penyokong pembangkang tidak berani muzakarah

Penyokong pembangkang tidak berani muzakarah

Rencana Pilihan
Oleh NIHAZ MOHD YUSOFF
(nihaz@post.com)
Penulis telah beberapa kali menghadiri majlis dialog atau muzakarah yang melibatkan pemimpin kerajaan ataupun penceramah kerajaan. Bagaimanapun, penulis tidak mempunyai pengalaman menyaksikan dialog atau muzakarah dengan pemimpin atau penceramah pembangkang kerana setakat ini, ceramah pembangkang yang penulis hadiri, tidak pernah disusuli dengan sessi dialog atau muzakarah.
Baru-baru ini, penulis menghadiri satu lagi Majlis Dialog Bersama Pemimpin yang diadakan di Kulim, Kedah pada 29 April yang lalu. Di majlis yang tertutup itu, hampir separuh daripada peserta merupakan penyokong-penyokong pembangkang.
Di sini, penulis ingin meluahkan perasaan kecewa dengan majlis dialog tersebut, bukanlah kerana ia tidak berjaya tetapi kerana dialog yang dijangka hangat dengan soalan-soalan daripada puak pembangkang nampaknya tidak berlaku. Sebaliknya, penyokong UMNO termasuk penulis sendiri, terpaksa bertanya bagi pihak pembangkang dengan mengemukakan isu-isu yang sering dimainkan oleh pembangkang untuk menyerang kerajaan.
Pembangkang, seperti biasa membisu, menarik muka atau merungut dan mengejek hujah-hujah pemimpin kerajaan dengan berbisik-bisik sesama mereka.
Penerangan yang diberikan oleh pemimpin kerajaan terhadap sesuatu isu, disambut sinis secara diam-diam dan sembunyi-sembunyi seperti pengecut.
Sekiranya penyokong-penyokong pembangkang ini benar-benar ingin mencari kebenaran, di majlis dialog seperti inilah tempatnya untuk berbuat demikian bukannya di jalan-jalan raya melalui demonstrasi. Dalam majlis seperti inilah, pejuang-pejuang Islam dan pejuang-pejuang keadilan itu dapat meluahkan segala kemusykilan, kritikan mahupun serangan secara langsung. Seperti kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Rosnah Majid yang menjadi pemimpin pertama untuk berdialog pada hari itu, ``tanyalah apa saja walaupun isu-isu yang sensitif''. Sepatutnya, kata-kata itu disambut dengan gembira dan peluang untuk bertanya ini direbut sebaik mungkin oleh para penyokong pembangkang. Tetapi, itu sama sekali tidak berlaku. Di sinilah kita boleh menilai ketulenan perjuangan para pejuang Islam dan pejuang keadilan ini. Jika Islam yang mereka cari dan jika keadilan yang mereka kehendaki, maka perjuangkanlah secara berhadapan dengan musuh mereka bukannya di belakang musuh mereka. Mana mungkin pejuang yang berani mati di medan demonstrasi, tidak berani bergelut dalam majlis yang aman?
Sebenarnya, menjemput pembangkang ke majlis seperti ini bolehlah diumpamakan sebagai jemputan untuk menyerang. Namun, keislaman yang mereka perjuangkan dan keadilan yang mereka ragukan tidaklah sampai ke mana kerana mereka tidak pula bersungguh-sungguh memenuhi jemputan untuk menyerang ini.
Mereka yang bersungguh-sungguh ingin mencari kebenaran dan mereka yang merasakan bahawa mereka lebih pandai mentadbir negara daripada kerajaan yang ada, sepatutnya sanggup mengetepikan segala urusan lain demi menghadiri majlis seumpama ini untuk mengambil kesempatan ``mengajar'' pemimpin kerajaan bagaimana untuk memerintah negara, bagaimana untuk mengendalikan ekonomi termasuk wang KWSP dan bagaimana untuk mengatasi masalah sosial. Jika mereka merasakan yang kerajaan yang ada kurang berkeupayaan, maka, inilah masanya untuk mereka menunjuk ajar atau memberikan idea untuk meningkatkan keupayaan kerajaan.
Mereka ini juga yang sering melaung bahawa suara mereka tidak didengar, tidak pula ingin bersuara bila diberi peluang untuk bersuara. Mereka nampaknya tidak pandai bersuara dalam keadaan aman dan sopan. Mereka hanya pandai bersuara dengan melaung-laung dan menjerit-jerit di tepi jalan dengan harapan dapat menginap sehari dua di penjara supaya boleh mendapat gelaran Wira Islam atau Wira Keadilan.
Majlis Dialog tersebut telah menyentuh hampir semua isu yang dimainkan pembangkang iaitu isu lesen judi, Suqiu, penyelewengan agama, pendidikan, sekularisme, Anwar Ibrahim dan lain-lain. Apa yang menarik ialah, penyokong-penyokong UMNO juga telah mengambil kesempatan mengemukakan kritikan terhadap UMNO sendiri. Ini adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku dalam majlis-majlis pembangkang. Penyokong pembangkang hampir tidak pernah mengkritik pemimpin mereka. Akhbar pembangkang tidak pernah menegur kepimpinan pemimpin mereka. Dalam UMNO, penyokong-penyokongnya bersifat rasional seperti juga pemimpin mereka. Penyokong dan pemimpin UMNO tidak pernah menyifatkan UMNO sebagai maksum. Berbeza dengan pembangkang yang melihat pemimpin dan parti mereka sebagai satu keindahan dari syurga. Perlulah diingat, jika sesuatu itu terlalu indah untuk menjadi kenyataan, kemungkinan besar ia bukan kenyataan.
Sikap penyokong pembangkang yang tidak berani menyerang di dalam majlis seumpama ini sebenarnya menyerlahkan ketidakyakinan mereka dengan apa yang mereka fahami, ketahui dan perjuangkan. Rungutan dan sindiran secara diam-diam hanyalah sebagai menutup malu sendiri apabila akal mereka disentak dengan penjelasan yang boleh menyedarkan mereka daripada tidur.
Kita dapati bahawa penyokong pembangkang sebenarnya takut pada kebenaran. Sedangkan bagi orang yang berjihad, tidak akan ada perkataan takut dalam kamus perjuangan mereka. Kerana takut, mereka memilih untuk menidakkan segala penerangan kerana tidak sanggup menerima hakikat bahawa mereka adalah di pihak yang salah. Mereka lebih rela menutup telinga sekiranya penjelasan dan penerangan yang bakal mereka dengar tidak akan memihak kepada pendapat dan kehendak mereka. Bagi mereka, lebih baik tidak mengetahui apa-apa daripada mengetahui bahawa mereka berada di pihak yang salah. Suka penulis mengingatkan mereka bahawa kebenaran itu selalunya pahit, tetapi yang pahit itu juga adalah ubat. Dan seperti ubat, walaupun pahit, ia perlu ditelan juga, untuk kebaikan.
Penulis berharap lebih banyak majlis dialog seumpama ini diadakan di segenap pelosok negara untuk memberi penerangan dengan lebih berkesan dan semoga pembangkang yang membaca rencana ini akan menerima jemputan bukan sekadar untuk menghadiri, tetapi juga untuk melibatkan diri dalam sesi dialog yang diadakan dalam majlis-majlis seumpama ini pada masa-masa hadapan

No comments:

Post a Comment