ARKIB : 01/12/2000
Lunas mangsa keselesaan BN
Penulis turut percaya seperti yang dipercayai golongan ahli politik UMNO dan menolak pandangan sukarelawannya.Untuk menolak pandangan golongan sukarelawan berkenaan, penulis berhujah bahawa calon BN, S Anthonysamy memerlu 10 peratus saja undi orang Melayu kerana beliau akan mendapat lebih 30 peratus dari pengundi Cina dan lebih 20 peratus dari pengundi India.
Tetapi apa yang menjadi kenyataan tidak diduga sama sekali kerana ramai pengundi Cina mengundi calon Parti Keadilan Nasional, Saifuddin Nasution Ismail.
Ulasan terperinci penulis mengenai pilihan raya kecil Lunas dari sudut agama akan dapat dibaca dalam ruangan Bicara Agama pada Ahad ini.
Berikut penulis menyiarkan ulasan Nihaz Mohd Yusoff (nihaz@post.com) bertajuk 'Lunas mangsa keselesaan BN'.
Setelah dua kali menang dalam pilihanraya di Sanggang dan Teluk Kemang, BN nampaknya berasa selesa dan puas hati. Lalu tidak bekerja keras di Lunas seperti yang dilakukan oleh BA. Akibatnya kecundang.
Nihaz yang merupakan anak tempatan cuba menguraikan kenapa perkara itu berlaku.
Nihaz menulis, Lunas sebuah pekan kecil yang menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia beberapa minggu hangat dek kerana isu kaum dan agama yang dimainkan pembangkang saban hari semenjak 4 November lepas.
Pembangkang yang sentiasa peka dengan peluang untuk memburukkan kerajaan nampaknya betul-betul keterlaluan dalam usaha untuk meraih sokongan sehinggakan sanggup memainkan isu sensitif tanpa mengambil kira akan akibat yang mungkin diterima oleh rakyat.
Isu Sekolah Wawasan dan agama dimanipulasi untuk menimbulkan prasangka buruk antara kaum.
Keamanan, keselamatan dan perpaduan rakyat sanggup digadaikan dalam keghairahan mereka ingin menggugat keselesaan majoriti 2/3 Barisan Nasional (BN) di Kedah.
Ceramah-ceramah begitu galak diadakan di segenap pelosok dan di sekitar daerah kecil ini. Walaupun isu yang dimainkan tidak dijelaskan dengan terperinci oleh penceramah mereka, penyokong mereka nampaknya berpuas hati walaupun tidak memahami langsung apa itu Sekolah Wawasan dan walaupun ketiadaan bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan berkenaan isu agama tersebut.
Penyokong pembangkang tidak perlukan bukti atau penjelasan, mereka akan menerima apa sahaja yang disogokkan oleh penceramah mereka, walaupun penceramah mereka membela seorang pengkhianat yang menjemput kuasa besar mengenakan tekanan ekonomi terhadap negara, tanpa menyedari yang tindakan pengkhianat itu akan mengakibatkan penderitaan rakyat termasuklah diri mereka sendiri.
Penyokong pembangkang bukan hanya menerima apa sahaja yang disogok penceramah, malah akan menerima siapa sahaja sebagai penceramah walaupun seorang penyanyi yang punya latarbelakang yang tidak baik ataupun seorang kartunis biasa.
Amatlah dikesalkan jika sikap tidak perlukan penjelasan ini bukan sahaja melanda penyokong pembangkang malah pemimpin bawahan BN sendiri.
Ada pemimpin bawahan di sini yang langsung tidak tahu bagaimana untuk menangkis isu-isu yang dimainkan pembangkang. Oleh kerana ketiadaan maklumat, dan malas untuk mencari maklumat, mereka yang telah sedia menunggu untuk diserang pembangkang itu, tidak dapat menyerang balas mahupun mempertahankan diri. Apakah isu sebegini perlu ditangkis oleh Menteri Besar, Timbalan Perdana Menteri atau Perdana Menteri sendiri?
Mereka yang di peringkat cawangan atau bahagian, sepatutnya mampu memberi ceramah dan dialog tanpa perlu bergantung kepada pemimpin atasan ataupun penceramah jemputan.
Ini tidak bermakna yang BN tidak langsung memberi penerangan, tetapi, program penerangan yang dibuat hambar, tidak bersungguh-sungguh, tiada publisiti ceramah dan penceramah, malah sebahagian besar pasukan gerakan BN itu sendiri tidak mengetahui tentang ceramah-ceramah yang telah, akan, mahupun yang sedang diadakan.
Penerangan perlu diberi kepada semua khasnya penyokong pembangkang dan golongan atas pagar. Ceramah perlu dibuat secara terbuka, lantang dan besar-besaran dengan poster dan banner serta risalah perlu diedarkan untuk menjemput dan menarik orang ramai. Ceramah tertutup yang diberi sesama ahli UMNO dan BN tidak akan mengubah apa-apa, sekadar untuk menambah maklumat dan pengetahuan serta mengukuhkan semangat ahli semata-mata.
Adalah mustahil jika pemimpin bawahan UMNO/BN menunggu agar setiap maklumat disuap ke mulut mereka oleh pemimpin atasan. Mereka perlu punya inisiatif sendiri untuk berfikir tentang strategi pembangkang, membaca dan meneliti maklumat serta bertindak agresif setiap kali berhadapan dengan sesuatu isu. Namun, bagaimana mereka dapat bertindak jika mereka langsung tidak tahu menahu tentang isu yang ditimbulkan pembangkang?
Akhir-akhir ini, semakin ramai penyokong UMNO/BN yang menyuarakan ketidakpuasan dan memberi kritikan membina di dalam akhbar-akhbar perdana demi masa depan parti sekali gus agama, bangsa dan negara.
Sekali lagi, bagaimana kritikan ini boleh ditangani dan diperbaiki jika orang yang dikritik itu langsung tidak membacanya dan tidak tahu yang dia dikritik?
Kedah telah menghadapi situasi yang hampir sama ketika pilihan raya 1999 yang lepas. Pemimpin-pemimpin BN seolah-olah terlalu yakin akan kemenangan kerana mereka diyakinkan oleh orang-orang di sekeliling mereka.
Gambaran sebenar pemikiran rakyat tidak akan dapat dilihat melalui orang-orang yang mengelilingi mereka ini. Keyakinan yang tidak kena tempat inilah yang menjadi punca kemenangan tipis BN di Kedah pada pilihan raya yang lepas, lalu menjadikan pilihan raya kecil Lunas ini dilihat sebagai pilihan raya yang besar.
Rakyat cemas melihat perjuangan BN yang suci ini dicemari oleh pejuang-pejuang palsu di dalam parti. Tidak menghayati perjuangan menyebabkan pejuang-pejuang palsu ini malas untuk mencari maklumat bagi mematahkan tohmahan pembangkang. Malas untuk mencari maklumat pula menyebabkan pejuang-pejuang palsu ini tiada keyakinan untuk berdepan dengan rakyat. Dari satu segi, tidak dapat dinafikan, pembangkang memang pandai bermain politik, manakala pemimpin-pemimpin bawahan BN pula sebenarnya tidak ada minat langsung untuk bermain politik walaupun mereka begitu berminat untuk menjadi politikus. Rakyat dapat melihat bagaimana pemimpin-pemimpin pembangkang turun berjumpa rakyat di majlis-majlis ceramah yang besar, kemudiannya bagaimana pemimpin pembangkang bersama-sama dengan rakyat berarak ke tempat penamaan calon.
Jika tidak tahu berpolitik, janganlah berpolitik kerana ia akan merosakkan parti. Dan jika sifat hipokrit itu terlalu susah untuk dibuang, sekurang-kurangnya gunakan sifat itu pada tempat, masa dan keadaan yang sesuai.
Walaubagaimana jijik sekalipun seorang politikus memandang rakyat, beliau perlu tunjukkan kemesraan pada rakyat kerana ia adalah karakter wajib yang mesti dilakonkan oleh seorang politikus.
Perjuangan sebenar, kebimbangan terhadap masa depan parti seolah-olah hanya dirasai dan dipikul oleh orang-orang yang ikhlas yang menyokong perjuangan parti. Mereka ini bagaimanapun, kekurangan upaya untuk membantu parti kerana pemimpin-pemimpin bawahan parti sendiri tidak ingin dibantu. Pemimpin-pemimpin bawahan ini masih bersantai sambil mencongak-congak keuntungan projek dan tender yang diperoleh melalui nama parti. Habis mencongak, masa mereka dihabiskan dengan berbual politik sesama mereka sambil memandang sinis pada ahli biasa parti yang datang untuk membantu mereka.
Demi perpaduan rakyat, keselamatan rakyat dan keamanan serta masa depan negara, setiap lapisan pimpinan parti harus korbankan keselesaan, masa bersantai dan masa bermegah dengan jawatan mereka. Berpolitiklah dengan ikhlas untuk rakyat bukan untuk diri sendiri. Perjuangan yang tidak ikhlas, bukanlah satu perjuangan. Kemenangan yang bermakna hanya boleh dicapai dengan keikhlasan.
Apakah keikhlasan itu sesuatu yang amat susah dan payah untuk diamalkan?
No comments:
Post a Comment