ARKIB : 17/02/2002
Telinga pemimpin Pas panas kerana ucapan Dr. Mahathir
Oleh Nihaz Mohd Yusoff (nihaz@post.com)KALAU ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas dianggap boleh mengalih gunung, maka ucapan beliau di Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada 3 Februari 2002 lalu mungkin dianggap sebagai boleh memusing dunia.
Dalam kelembutan tetapi lantang, rendah diri tetapi yakin, wira Islam tulen ini berdiri gagah di pentas dunia bersaksikan umat Islam dan musuh-musuh Islam yang selama ini berselindung di sebalik kata-kata diplomasi.
Lalu dengan penuh tawakal beliau menjalankan kewajipan sebagai pemimpin sebuah negara Islam iaitu membetulkan fahaman Barat terhadap Islam serta menegur dan memberi pandangan kepada Barat mengenai masalah yang telah, sedang dan mungkin akan dicetuskan mereka kepada umat Islam.
Beliau tidak menyatakan bantahan kepada Barat membuta tuli, beliau mengakui kesalahan umat Islam sendiri, lalu membentangkan kepada Barat kesalahan mereka juga. Beliau kemudiannya secara terang-terangan menyarankan jalan penyelesaian.
Perdana Menteri sedang melakukan segala yang terdaya untuk memulihkan imej Islam dan ini bukan sahaja dilakukan secara langsung melalui ucapan tersebut tetapi imej Islam sebenar telah dengan sendirinya terserlah melalui keperibadian dan pemikiran beliau yang matang, tenang dan intelektual.
Beliau diketahui bukan sahaja mampu bercakap soal ekonomi dan teknologi tetapi juga agama. Kupasan dan analisis mengenai Islam serta fakta-fakta sejarah yang dikemukakannya tidak mungkin dapat dinafikan lagi oleh musuh Islam sekali gus musuh peribadi beliau.
Apa yang tidak mungkin dijangka oleh para pemimpin Barat ialah Perdana Menteri tidak pula merujuk kepada sejarah Islam sebagai fokus penghujahan untuk memahamkan Barat, sebaliknya merujuk kepada sejarah mereka sendiri iaitu sejarah Kristian untuk mendapatkan kesan yang terus kepada minda mereka.
Bagaimanapun, entah kenapa ucapan Dr. Mahathir yang sepatutnya memberi kesan kepanasan pada telinga musuh Islam, nampaknya turut memanaskan telinga Pas.
Pas lalu menuduh Perdana Menteri menghina ulama melalui ucapan itu. Ayat mana, dan baris mana di dalam ucapan Perdana Menteri yang begitu mengguris hati ulama angkat bakul ini?
Ayat mengenai pengganas Ortodoks Kristiankah, atau ayat mengenai golongan yang ingin menggulingkan kerajaan? Atau ayat mengenai melanggar undang-undang?
Apakah mereka terlibat dengan salah satu ayat ini? Atau apakah fakta-fakta ini salah?
Jika mereka berasa terhina, ia adalah kerana mereka tergolong dalam golongan yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam merosakkan imej Islam di mata dunia.
Merekalah yang terlibat dalam membentuk pemikiran umat Islam ke arah jumud, mundur dan miskin dan seterusnya mampu menjurus ke arah keganasan.
Andainya mereka tidak terlibat dengan golongan yang disebut oleh Perdana Menteri tersebut, sudah tentu mereka tidak akan berasa terhina.
Kerana itu, kita melihat ulama-ulama kerajaan, ulama-ulama berkecuali malah ulama-ulama dunia serta pemimpin-pemimpin Arab dan negara Islam lain langsung tidak berasa terhina malah berasa bangga dan kagum serta terharu dengan ucapan Dr. Mahathir sehingga ada yang meminta agar ia diterjemahkan untuk mereka.
Nampaknya pandangan ulama-ulama Pas begitu terasing dengan pandangan ulama-ulama dunia. Mungkinkah Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang atau Fadzil Nor dapat terangkan kenapa?
Jika apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri tidak dipersetujui oleh mereka, maka apakah yang akan diperkatakan mereka sekiranya mereka berada di tempat Perdana Menteri di ketika itu?
Sehingga kini, tidak ada satu pun hujah bernas Pas yang boleh dianggap berguna bagi menangani setiap isu yang melibatkan umat Islam sejagat.
Pas hanya pandai bercakap tentang hukum dan hukum-hukum itu pula diringankan atau diberatkan mengikut cita rasa mereka.
Oleh itu, kita dapat bayangkan sekiranya salah seorang daripada tiga pemimpin tertinggi Pas ini berada di pentas dunia, mereka tetap akan bercakap mengenai hukum juga.
Mereka mungkin akan bercakap mengenai aurat, mengenai wanita, mengenai arak dan judi serta mengenai betapa Islamnya mereka dan tidak Islamnya orang UMNO.
Mereka kemudian mungkin akan membuat kenyataan bercelaru antara menyokong jihad ala Taliban atau tidak kerana takut kehilangan penyokong yang terdiri daripada Melayu jumud dan juga takut kepada tindakan Barat terhadap negara.
Soal membela imej Islam kerana takutkan Allah tidak timbul kerana bagi mereka darjat mereka terlalu tinggi di sisi Allah dan mereka tidak perlu takutkan Allah lagi.
Pas mungkin melabelkan Perdana Menteri sebagai kononnya menghina ulama, tetapi Pas tidak akan dapat berhujah kenapa mereka berkata demikian. Bagi Pas, membela Islam adalah dengan mengangkat sepanduk menghalang kemasukan pemain kriket, atau mengangkat kain rentang membela Taliban dan kain rentang yang mengutuk Amerika.
Bagi Pas juga membela Islam mungkin dengan menceritakan masalah rumah tangga negara kepada Australia, iaitu rakan Israel. Pas juga membela Islam dengan cara mengutuk peribadi pemimpin-pemimpin dan penulis-penulis UMNO.
Tak cukup dengan itu, Pas membela Islam dengan cara menyeru pengikut supaya melanggar undang-undang negara.
Idea dan tindak-tanduk Pas mengenai membela Islam tidak akan sampai ke mana, kerana ia tidak mungkin dapat menguatkan Islam, tetapi akan terus melemahkan Islam sehingga akhirnya menghancurkan sebuah negara Islam lalu menyebabkan umat Islam terpaksa menjadi melukut di tepi gantang atau memohon bantuan daripada musuh Islam.
Islam perlu dilihat gagah agar dihormati. Islam perlu dilihat kemas dan bersih. Islam itu intelektualiti. Islam itu kesopanan dan kebijaksanaan.
Islam itu adalah agama keamanan. Tiada siapa akan menghormati Islam jika melihat kepada keadaan Kelantan.
Tiada siapa yang akan menghormati Islam jika melihat kepada trak polis yang terbakar di Baling. Dan tiada siapa yang akan menghormati Islam jika mendengar apa yang Tok Guru katakan mengenai Allah dan mencarut dalam Islam.
Pemimpin Islam tulen sudah semestinya dibenci oleh musuh Islam tetapi beliau juga sebenarnya dikagumi dan digeruni dalam diam.
Apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri tidak mungkin dapat dilakukan tanpa keyakinan dirinya yang tinggi pada Allah s.w.t.
Perdana Menteri telah mengorak langkah membetulkan fahaman dunia terhadap Islam, maka sudah menjadi tanggungjawab kita seluruh umat Islam di Malaysia untuk meneruskan perjalanan yang telah beliau mulakan itu.
Perjalanan kita masih jauh untuk memulihkan imej Islam yang dicemarkan oleh Pas dan golongan ekstremis agama. Jangan sia-siakan usaha Perdana Menteri, kerana perjuangan beliau adalah juga perjuangan kita.
Dan perjuangan kita ini amatlah jauh lagi daripada selesai
No comments:
Post a Comment