Tuesday, 13 December 2011

Wanita (Terjemahan dari post asal di bawah)

Baru-baru ini penulis melayari laman web Kelab Isteri Taat atas rasa ingin tahu dan tatkala membaca tulisan-tulisan dan pautan-pautan berkaitan, penulis mengaku yang penulis telah terdiam dan tergamam.
Penulis cuba menulis sesuatu mengenainya tetapi tidak mampu.  Kerana penulis meragui penulis mampu membincangkan perkara-perkara yang disebut di sana tanpa kedengaran seolah-olah merendahkan martabat wanita keseluruhannya.
Satu perkara yang pasti ialah, semua wanita yang terhormat dan bermaruah tidak akan bercakap mengenai hubungan intim mereka, apalagi secara terperinci dengan begitu terbuka.  Itu saja respon yang mampu penulis tuliskan terhadap Kelab Isteri Gila S**s ini, iaitu nama yang lebih tepat bagi kelab tersebut.
Abaikanlah wanita-wanita dari kelab itu.  Jika mereka merasakan bahawa meletakkan diri sebagai hamba dan merendahkan kedudukan sendiri boleh membawa ke syurga yang paling tinggi maka, biarkanlah mereka. 
Tetapi satu soalan yang perlu direnungkan ialah:  Kenapa ‘wanita’ sering dijadikan subjek kalaupun bukan objek perbincangan?  Kenapa begitu banyak buku mengenai ‘Menjadi Wanita Solehah’ atau ‘Ciri-ciri Isteri Mithali’ tetapi terlalu sedikit atau hampir tiada buku mengenai ‘Menjadi Suami Soleh’ atau ‘Ciri-ciri Suami Mithali’?
Apakah lelaki secara semulajadinya sempurna dan bijak sehingga tidak memerlukan bimbingan mengenai bagaimana untuk memimpin keluarganya, bagaimana untuk menyayangi iserinya dan bagaimana untuk mengurus rumahtangganya?  Apakah wanita terlalu lemah dan lembab sehingga perlu dibimbing sepanjang masa mengenai segala-galanya?
Jika ini benar, kenapakah begitu ramai lelaki di Pusat Serenti dan terlalu ramai wanita di Universiti?  Kenapa begitu ramai suami yang mencari hiburan di seberang sempadan sedangkan begitu ramai isteri yang ditinggalkan menyara anak-anak sendirian?  Apakah ini hasil dari kekurangan buku-buku berkenaan bagaimana untuk menjadi lelaki yang baik berbanding buku berkenaan bagaimana untuk menjadi wanita yang baik?
Jika wanita begitu lemah dan lelaki begitu kuat kenapa kita melihat wanita yang sibuk bekerjaya masih mampu untuk memasak dan mengurus keluarga dan rumahtangga, manakala lelaki yang sibuk bekerjaya tidak mampu melakukan apa-apa yang lain lagi?
Lelaki dijadikan dengan otot-otot dan tulang yang kuat manakala wanita pula dengan tisu-tisu lembut dan emosi tetapi suka atau tidak, segala otot dan tulang lelaki itu tidak lagi berguna hari ini.  Lelaki tidak lagi perlu berburu untuk makanan atau melindungi keluarganya dari binatang buas. 
Namun, lelaki masih perlu dihormati sebagai ketua keluarga kerana lelaki sepatutnya memikul tanggungjawab  yang lebih.  Secara teorinya, ini adalah benar.  Tetapi, secara praktikalnya lelaki hanya perlu menyara keluarga, itu saja. 
Wanita pula, bagaimanapun, dalam kebanyakan kes juga membantu menyara keluarga bagi mengurangkan beban suami dan lebih dari itu, juga perlu mengetahui sama ada anak-anak punya kelas tambahan, atau aktiviti sukan dan apakah sarapan, makan tengahari dan makan malam keluarga setiap hari dan apakah pakaian seragam sekolah dan pakaian pejabat suami tersedia setiap hari serta apakah bilik air perlu dicuci dan lantai perlu dimop minggu ini. 
Oleh yang demikian, di manakah yang dikatakan lelaki punya lebih banyak tanggungjawab?  Jika otot dan tulang yang keras ini tidak digunakan untuk mencuci dan mengemas rumah, menggosok pakaian serta melakukan kerja-kerja mengambil dan menghantar anak ke sana ke mari selepas kerja, apakah gunanya seorang lelaki di rumah selain menjadi beban kepada isteri?
Fikirkan, kenapa lelaki perlu berehat selepas seharian bekerja di pejabat tetapi tidak wanita?  Wanita akan terus ke dapur dan bekerja sebaik saja pulang dari pejabat tetapi lelaki akan terus ke sofa dan tidak mampu lagi berbuat apa-apa walaupun untuk membancuh kopi untuk diri sendiri. 
Dan kenapa lelaki perlu menghabiskan masa dengan tidur di hari minggu bagi melepaskan lelah bekerja selama seminggu tetapi wanita yang juga lelah bekerja seminggu mampu menghabiskan hari minggunya dengan mengemas dan mencuci rumah?
Kita sering mendengar lelaki mengumumkan dengan bangga sekali bahawa ‘budak lelaki akan kekal menjadi budak lelaki’ apabila mereka ingin keluar bermain (bersukan) atau melepak di kedai mamak dengan rakan-rakan.  Oleh itu, biar penulis katakan sesuatu di sini:  Jika anda hanya seorang budak, jangan sekali-kali mengharap keluarga anda menghormati anda seperti seorang lelaki dewasa.
Dan bagaimana seorang budak layak diangkat menjadi ketua keluarga?
Penulis bukan anti lelaki tetapi penulis merasa mual dengan wanita-wanita yang tidak tahu di mana kedudukan mereka di samping lelaki.  Penulis mual dengan wanita yang menyerah dan menghambakan diri kepada lelaki kerana menyangka bahawa Allah menjadikan wanita semata-mata untuk tujuan itu. 
Ingatlah bahawa wanita bukan dijadikan untuk melayan lelaki tetapi untuk menyempurnakan lelaki. 
Wanita juga manusia sepertimana lelaki, bukannya sebuah objek atau subjek yang perlu dibincang dan diperdebatkan.  Wanita dijadikan dengan pandangan, pendapat, karakter, sikap, kelebihan dan kelemahan tersendiri seperti juga lelaki.  Wanita bukan untuk dijinakkan dan diarah-arah seolah-olah dia tidak mempunyai akal sendiri.  Jika Allah ingin wanita menjadi begitu, maka pastilah wanita dijadikan sebagai binatang dan bukan manusia.
Justeru, semua wanita di luar sana, bangunlah dan letakkan diri anda di tempat yang tinggi.  Ingat, lelaki dijadikan untuk ‘menjaga’ wanita dan bukan sebaliknya.  ‘Menjaga’ bukan hanya bermakna membayar harga rumah yang diduduki kerana mana-mana wanita bekerja juga boleh melakukannya sendiri tetapi lelaki perlu bersedia membancuhkan kopi dan memasak untuk anda apabila anda perlukan rehat.  Lebih dari itu lelaki perlu mampu dan bersedia menjaga diri dan mengurus makan pakai sendiri sebelum mendabik dada sebagai ketua yang konon menjaga keluarganya.  Apalah maknanya ketua jika tidak dapat berfungsi sendiri tanpa bantuan ibu atau isteri?
Perkahwinan yang bahagia ialah apabila isteri berada di samping suami, bukannya di belakang atau di bawah tapak kakinya sepertimana yang disarankan oleh Kelab isteri Taat.    

No comments:

Post a Comment