Tuesday, 6 December 2011

Siapa Ulama?

Setelah menyanjung malah menyamakan Nik Aziz setaraf Nabi, Ustaz Budak atau nama sebenarnya Shamsul Zaman Sukri kini bersendirian membela diri.   Orang-orang PAS yang pada mulanya membela kenyataannya sebagai salah faham dialek, kini senyap sunyi apabila Nik Aziz sendiri enggan bertanggungjawab malah menyuruh Ustaz tersebut fikir sendiri akibat menyamakan dirinya dengan Nabi yang hukumnya kufur.
Tidak cukup dengan itu, dalam kenyataannya, Nik Aziz cuba pula menukar topik dengan menyentuh mengenai orang Islam yang menolak Islam yang mana dirujukkan kepada UMNO.  Sedaya upaya Nik Aziz cuba lari dari topik sebenar dengan cuba mengalih isu kepada orang lain. 
Soalan penulis, apakah ini sikap seorang Ulama, Mursyid atau Pewaris Nabi?  
Penulis mengharapkan jawapan yang merendah diri dan kesal dari Nik Aziz yang dinobatkan oleh pengikutnya dan dirinya sendiri sebagai Ulama tersohor, keramat lagi wali agung.   Penulis mengharapkan teguran dari Nik Aziz terhadap Ustaz Budak agar berhati-hati ketika berceramah dan  mengingatkan beliau serta semua pengikut bahawa dirinya adalah manusia biasa yang ada kelemahan dan membuat kesilapan.  Seterusnya, Nik Aziz wajar meminta Ustaz Budak memohon ampun dari Allah S.W.T andainya terlalu taksub terhadap dirinya sehingga menjadi kufur.  
Namun, seperti yang dijangkakan semua ini tidak berlaku.  Nik Aziz terus angkuh, bongkak, takbur dan menolak mentah-mentah untuk bertanggungjawab atas ketaksuban keterlaluan pengikutnya.  
Kenapa?  Kerana Nik Aziz bukanlah seorang Ulama, apatah lagi Pewaris Nabi dan mustahil sekali seorang Nabi. 
Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. hersabda; "Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat darIpada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat).
Daripada Ali Bin Abi Talib r.a berkata, telah bersabda Rasulullah s.a.w ," Sudah hampir sampai suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam ini kecuali hanya namanya dan tidak tinggal lagi daripada Al-Quran itu kecuali hanya tulisannya.Masjid-masjid tersergam indah tetapi ia kosong dari Hidayah.Ulama-ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit.Dari mereka berpuncanya fitnah dan kepada mereka fitnah ini akan kembali ". Hadis Riwayat Al-Baihaqi
Allah mengurniakan pancaindera dan akal untuk kita melihat, mendengar dan berfikir bukannya melihat dan mendengar sahaja.  Kita tidak harus mempercayai sesiapa saja yang mengangkat diri sendiri sebagai Ulama hanya kerana penampilannya.  Gunakanlah akal fikiran untuk menilai sesuatu yang dilihat dan didengar walaupun datangnya dari seorang yang mengaku Ulama dan berpenampilan warak.  Ini kerana tidak semua yang kelihatan dan kedengaran seperti Ulama itu adalah Ulama sebenar dan kerana itulah Rasulullah saw bersabda seperti di atas. 
Apa yang menyebabkan seseorang yang berilmu agama itu terpesong ialah apabila sifat takbur menguasai diri di mana sampai pada satu tahap, mereka merasakan ilmu mereka sudah cukup dan mereka berhenti belajar.  Sedangkan ilmu Al-Quran adalah infiniti sepertimana juga sifat Allah S.W.T itu yang infiniti dari segala segi serta tidak tertakluk dalam ruang masa.  Matematik dan sains juga adalah ilmu yang diperturunkan melalui Al-Quran di mana Ulama-ulama kita jarang sekali mengupasnya mungkin kerana ia terlalu kompleks untuk difahami oleh mereka sendiri yang tidak punya rasa ingin tahu dan tahap keintelektualan yang tinggi.   Kerana itu, ayat mengenai bayi di dalam rahim dan kejadian manusia tidak mungkin dapat dikupas oleh Ulama masakini melainkan mereka benar-benar mengkajinya sehingga menjadi saintis atau doktor sepertimana Ulama di zaman kegemilangan Islam. 
Janganlah kita menyekat minda kita bahawa taraf Ulama itu adalah terhad kepada orang-orang yang belajar agama iaitu hukum-hakam, dosa pahala, ibadah dan hafaz Al-Quran semata-mata kerana Islam adalah jauh lebih luas dari itu.  Manusia yang paling tinggi darjatnya ialah mereka yang berakhlak mulia, berilmu dan mampu memberi sumbangan untuk memperbaiki kehidupan manusia keseluruhannya.  Oleh itu, seorang doktor, saintis dan ahli matematik yang mencipta alat-alat dan menemui ubat-ubatan untuk kebaikan manusia sejagat kemungkinannya jauh lebih tinggi darjatnya dari seorang yang hanya berceramah agama setiap hari. 
Sekali lagi ditegaskan, penulis bukan menghina Ulama tetapi penulis ingin mengajak kita semua membuka minda dan mendefinasikan semula siapa itu Ulama.  Ini kerana, terpesongnya para Ulama, maka terpesonglah ummah keseluruhannya.   Akal yang ada wajib digunakan untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum mempercayai atau mengangkat seseorang sebagai Ulama agar ummah tidak terpesong selamanya.   Apa gunanya akal kurniaan Allah jika enggan menggunakannya dan hanya bergantung kepada pancaindera semata-mata?

1 comment:

  1. Ulama is someone with ilmu... ilmu sains juga ilmu Allah juga dipanggil ulama.. ilmu agama yang kebanyakkan orang tanggap itu adalah ilmu syariah macam ilmu fardu ain (solat puasa, zakat) ada lagi ilmu lain dalam agama seprti ilmu akidah akhlak.. ilmu alam (ilmu sains) mampu menguatkan akhlak dan akidah seseorang bilamana dia memerhatikan ciptaan Allah dan faham kejadiaan alam ini.. asalkan dia percaya dan pegang kepada kenyata LAA ILAHAILALLAH... Tanpa pegangan tu apa jenis ilmu akan bawa kita jauh ke dasar atheism

    ReplyDelete