Thursday, 22 December 2011

Antara Bertudung dan Bersopan

Penulis meletakkan artikel dari Syed Akbar Ali mengenai “Aurat Di Dalam Quran” di bawah bukanlah untuk mengundang perdebatan.  Tetapi, ia adalah sebagai asakan agar minda kita berfikir dan berfikir dan berfikir berkali-kali mengenai Islam dan ajaranNya.  Sungguhpun begitu, penulis bukan orang yang sesuai untuk berdebat tentang agama pun. 
Apa yang penulis ingin ketengahkan ialah sikap orang-orang kita terhadap sesuatu isu agama di mana kebanyakan kita dengan pantas akan menganggap diri sendiri betul dan orang lain salah berdasarkan pendapat mana-mana Ulama pilihan kita. 
Seperti yang dikupas oleh Tuan Syed Akbar Ali, tidak ada satu pun ayat yang  menyentuh mengenai ‘rambut’.  Ya, ada ayat yang menyebut mengenai menutup tubuh isteri dan anak-anak perempuan ketika keluar rumah tetapi tidak menyebut ‘rambut’ secara khas:
[O Prophet! Tell thy wives and thy daughters and the women of the believers to draw their cloaks close round them (when they go abroad). That will be better, that so they may be recognized and not annoyed. Allah is ever Forgiving, Merciful] (Al-Ahzab 33:59).
Kita tidak boleh menafikan yang terdapat berbagai tafsiran mengenai aurat dari Ulama-ulama dahulu dan juga sekarang.  Antara tafsiran-tafsiran yang berbeza termasuklah:   
Dari ayat: [ And say to the believing women that they should lower their gaze and guard their modesty; that they should not display their zeenah (charms, or beauty and ornaments) except what (must ordinarily) appear thereof] (An-Nur 24:31).
1.    Ibn Mas`ud was reported to have said while commenting on this verse, "[Except what (must ordinarily) appear thereof] here refers to the clothes and cloaks (women are wearing)." This means the outer garments that cannot be hidden.
2.    Ibn `Abbas was also reported to have said while explaining this verse, "[Except what (must ordinarily) appear thereof] refers to kohl and rings." A similar view was also reported to have been adopted by
3.    Anas ibn Malik and `A'ishah. Sometimes Ibn `Abbas would add to "kohl and rings" "henna with which hands are tinted, bracelets, earrings, and necklaces." He might even refer to zeenah as the places where ornaments are worn, by saying "the face and palms of the hands."
4.    This was also reported to have been the opinion of Sa`id ibn Jubair, `Atta', and others.
5.    Ibn `Attiyah explained these words by saying that they refer to the parts of the woman's body that are unintentionally unveiled by means of wind and the like. (See the exegesis of the verse as explained by Ibn Jarir, Ibn Kathir, and Al-Qurtubi; and see also its explanation in Ad-Dur Al-Manthur, vol. 5, pp. 41-42.)
Ini hanya sedikit contoh, jika dikorek, dikumpul , dikaji dan ditulis semula pasti artikel ini akan sepanjang sebuah novel.
Apapun, soalan penulis, siapakah kita untuk menghukum ulama mana yang benar dan salah? 
Dan kenapakah sebaik sahaja ada Ulama yang berpendirian lebih terbuka terhadap isu tudung, beliau akan secara automatik dihukum sebagai salah walaupun beliau memegang jawatan Sheikh Al-Azhar dan bertaraf pemikir ulung dan pengkaji Al-Quran?  Jika isu tudung disentuh, kita yang hanya belajar agama beberapa tahun di sekolah dan baru akhir-akhir ini menyertai usrah atau berjinak-jinak dengan parti yang membawa slogan agama, tiba-tiba saja menjadi jauh lebih hebat ilmunya dari Sheikh Al-Azhar atau pemikir ulung dan pengkaji Al-Quran itu tadi semata-mata kerana Sheikh tersebut tidak sependapat dengan Ustaz/ustazah dan ulama yang mengajar kita dalam isu itu?
Benar juga hujah ramai bahawa hadith juga perlu diambil kira dalam memperkatakan soal tudung. 
Namun, Ulama juga menyatakan bahawa dalam keadaan di  mana terdapat percanggahan atau ketidakpastian seperti di dalam Al-Quran tidak meletakkan rambut sebagai aurat berdasarkan kajian ayat-ayat oleh para Ulama, tetapi hadith pula menyatakan sebaliknya, maka kita wajib memastikan kita tidak berpegang kepada hadith melebihi Al-Quran.    
Apa yang penulis faham dari sini ialah hujah Ulama-ulama ini adalah berdasarkan hakikat hadith dicatat berdasarkan zaman, keadaan semasa dan kejadian yang berlaku pada waktu tersebut secara khas yang mana tidak mungkin mana-mana Ulama hari ini yang mentafsirnya dapat menggambarkan situasi sebenar di kala Rasulullah S.A.W bersabda sedemikian melainkan dengan mengagak-agak dan meneka berdasarkan pemahaman mereka ke atas ayat  yang dicatat tersebut sahaja. 
Namun begitu, seperti kata-kata Sheikh Qardawi sendiri, kita tidak boleh sekali-kali menghukum salah satu tafsiran ke atas perkara-perkara yang boleh diperdebatkan itu sebagai salah.   Tidak ada siapa yang boleh menghukum tafsiran Ulama ini benar dan tafsiran Ulama ini salah selagi tiada satu ayat muhkamat mengenainya. 
Sekadar renungan, moyang penulis pernah menuntut ilmu agama di Mekah selama lebih 10 tahun dan kembali menjadi Ulama penasihat Raja serta menubuhkan sekolah-sekolah yang paling moden waktu itu.  Anak kepada beliau juga mengikut jejak langkah beliau menuntut ilmu agama di Mekah yang kemudiannya mengahwinkan anak perempuannya dengan anak kepada Ulama keturunan diRaja dari Sumatera.   Kebetulan, anak  kepada pasangan ini pula mengahwinkan anaknya, iaitu ibu penulis dengan bapa penulis yang juga berkelulusan agama. 
Sejarah moyang-moyang penulis direkodkan di dalam muzium negeri manakala sejarah yang tidak direkodkan yang menjadi perbualan masyarakat sekeliling pula ialah bagaimana moyang penulis dianggap keramat atau bertaraf wali di mana segala kata-kata beliau menjadi nyata. 
Moyang-moyang dan datuk penulis terkenal dengan kelembutan budi bahasa, sebagai lelaki budiman, pantas membela dan mendahulukan wanita, jarang bercakap, banyak tersenyum, tidak pernah marah, suka membaca dan mengkaji dan menulis buku-buku agama di masa terluang mereka. 
Datuk penulis diketahui telah mengIslamkan begitu ramai orang asli dengan masuk ke perkampungan mereka, malah membawa pulang  beberapa orang dari mereka untuk bekerja di rumah di samping memberi didikan agama sebelum dicarikan pasangan yang baik untuk mereka memulakan hidup sebagai Muslim.  Selain itu, ada juga askar British yang diIslamkan oleh datuk dan penulis masih menghubungi beliau sebagai seorang ahli keluarga sehingga kini. 
Datuk juga disegani oleh kaum lain termasuklah penjajah Jepun yang tunduk hormat apabila bertembung dengan beliau. 
Begitulah hebatnya Ulama dahulu kala. 
Penulis tidak tahu sama ada sejarah yang tidak direkod mengenai ‘keramatnya’ moyang penulis itu benar dan penulis sebenarnya bimbang menjadi riak dan takbur dengan keturunan apabila bercakap soal ini.  Namun, penulis terpaksa menyebutnya bagi menyuarakan persoalan ini:-
Dengan rendah hatinya, penulis ingin bertanya kepada semua iaitu memandangkan moyang dan datuk penulis tidak pernah menyuruh isteri, anak-anak dan cucu perempuan mereka bertudung apakah ini bermakna ilmu agama mereka cetek dan pendekatan Islam mereka salah? 
Bukan hanya Ulama dari susur galur keluarga penulis, tetapi semua ulama-ulama silam juga sependapat dengan mereka kerana itulah kita tidak melihat orang dahulu kala bertudung litup, tetapi sekadar berselendang memandangkan selendang adalah pakaian budaya Melayu. 
Siapa yang pernah belajar di Universiti Al-Azhar pada tahun 60an dan sebelumnya tentu cukup maklum bahawa pensyarah dan penuntut universiti tersebut waktu itu juga tiada yang bertudung. 
Justeru, penulis amat mendambakan jawapan yang mudah dan pasti iaitu  YA, atau TIDAK bagi soalan “apakah anda menyatakan yang ulama dahulu yang menuntut ilmu agama bertahun-tahun di Mekah telah tersilap mengkaji ayat-ayat Al-Quran dan hadith mengenai tudung atau dengan sengaja telah mengabaikan soal tudung?”  (Jika tidak dapat menjawab soalan mudah ini, tidak perlulah bersusah payah meletakkan beratus-ratus rujukan hadith sebagai hujah kerana ia tetap tidak menjawab soalan). 
Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa di zaman jahiliah, rata-rata wanita Arab berpakaian dengan menampakkan dada, walaupun mereka memakai kain menutup kepala.  Kain penutup kepala dipakai oleh bangsa Arab tidak kira Yahudi, Kristian mahupun Islam kerana itu adalah budaya mereka dan mereka menggunakan penutup kepala ini untuk menutup muka ketika berjalan di padang pasir untuk mengelak ribut pasir dan kepanasan matahari.
Maka ayat menyuruh wanita memanjangkan tutup kepala agar menutup dada yang terdedah adalah ‘natural’ bagi wanita-wanita Arab.  Lebih-lebih lagi di mana lelaki Arab pada waktu itu terkenal dengan kerakusan dan sukar menghormati wanita.
Kerana itu, menurut sesetengah Ulama adalah memadai bagi wanita untuk berpakaian sopan sentiasa dan yang penting sakali tanpa menyimpan niat untuk menggoda atau menunjuk-nunjuk pada sesiapa.   Sopan bermaksud, tidak menjolok mata dan tidak keterlaluan dalam menghias diri serta sesuai dengan tempat dan keadaan, selaras dengan ajaran Islam agar sentiasa bersederhana.   ‘Rambut’, bukan pokoknya – pokoknya adalah ‘sopan’.  
Ini adalah pendapat Ulama yang penulis pegang dan di masa yang sama penulis tidak sama sekali menghukum mereka yang berbeza pendapat sebagai salah.  Jika anda ingin menghukum penulis sebagai salah kerana tidak sependapat dengan Ulama pilihan anda, terpulanglah….kerana  itu adalah antara anda dengan Allah S.W.T, bukan dengan penulis lagi kerana yang berhak menghukum hanyalah Allah S.W.T.    
Kenapa tudung menjadi topik pilihan penulis sedangkan penulis tidak ingin menghukum dan menilai sesiapa?   
Kerana penulis merasa terganggu mendapati masyarakat kita hari ini lebih mengutamakan ‘pemakaian tudung’ dari ‘pemakaian sopan’.  Bukan pelik melihat wanita memakai tudung tetapi tidak berpakaian sopan ataupun bersikap sopan.  Sedangkan sopan seharusnya lebih utama dari tudung.  Contohnya:
1.    Dalam satu insiden, penulis pernah melihat wanita bertudung tetapi bila dia tunduk mengambil sesuatu ternampaklah tatoo di atas lurah punggungnya kerana bajunya terlalu pendek dan seluarnya sendat serta bercawat pendek juga.  
2.    Telah beratus-ratus kali penulis melihat gadis bertudung berpelukan dan berpegangan tangan dengan teman lelaki.
3.    Telah beribu kali melihat wanita menutup rambut tetapi memperlihatkan bentuk punggung dan dada dengan jelas di sebalik baju, ataupun mendedahkan leher yang jinjang sehingga ke dada ataupun lengan bahagian atas yang gebu. 
4.    Telah berpuluh kali penulis melihat wanita bertudung yang riak dan suka menyindir, mencemuh dan mengumpat serta memulaukan mereka yang tidak bertudung.
5.    Penulis melihat ada di kalangan lelaki yang kaki rasuah tetapi begitu tegar bercakap mengenai isteri orang lain yang tidak bertudung. 
6.    Terlalu ramai ustaz/ustazah yang mengutamakan soal tudung anak-anak muridnya tetapi tidak pula menegur anaknya yang tidak sopan, tidak tahu meminta maaf ketika ingin mencelah, terlanggar orang lain ketika berjalan atau berbuat salah, gemar membuang sampah merata-rata, menipu atau membuli dalam pergaulan seharian. 
7.    Penulis juga mengenali secara peribadi ustazah yang hidupnya bergantung kepada bomoh.
8.    Ada yang sibuk bertudung litup tetapi rumahnya kotor, hanyir dan hancing. 
9.    Ada juga yang bertudung labuh tetapi kaki fitnah, melaga-lagakan orang dan enggan membayar hutang. 
Dan penulis tidak menafikan bahawa ada juga yang tidak bertudung tetapi bersikap seperti di atas. 
Penulis tidak ingin menghitung dosa pahala mereka ini kerana penulis percaya penulis jauh lebih jahil dari mereka tetapi tidak dapat tidak, ia tetap mengganggu fikiran apabila masyarakat mengtidak-apakan semua ini atas alasan ‘sekurang-kurangnya’ mereka telah memilih untuk ‘bertudung’.
Benar, ini semua adalah kelemahan manusia.   Mengumpat, riak, rasuah, syirik semuanya adalah dosa.   Bersikap angkuh, tidak sopan, pengotor semuanya adalah dilarang dalam agama Islam. 
Tetapi  yang menjadi persoalannya, kenapakah ‘tudung’ yang ayat mengenainya masih boleh diperdebatkan dianggap jauh lebih utama dari perkara-perkara di atas yang jelas dilarang dalam Islam?   Kenapakah wang rasuah yang akan sebati menjadi darah daging sehingga mati dianggap remeh?  Kenapakah syirik iaitu kesalahan paling besar tidak pula dianggap taboo?  Kenapa berkelakuan tidak senonoh dan berpakaian menjolok mata dianggap tidak apa asalkan menutup rambut? 
Kenapa ‘menutup rambut’ dijadikan kunci Islam oleh orang Melayu dan bukannya moral yang mulia, lemah lembut, sopan santun dan budi bahasa?  Kenapakah akhlak itu hanya dirujuk kepada tudung?
Lebih pelik lagi ialah ramai di antara kita yang mengambil sikap ‘menutup rambut’ sebagai lebih penting dari ‘menutup dada’ sedangkan Al-Quran menyebut dengan jelas mengenai menutup ‘dada’dan bukannya ‘rambut’?  
Mungkinkah ini hasil dari ajaran agar mengutamakan penampilan luaran sehingga menyebabkan pemberontakan dalaman yang akhirnya terserlah dari penampilan dan perbuatan yang janggal lagi pelik? 
Hari ini adalah perkara biasa bagi kita melihat anak-anak kecil begitu arif tentang hukum-hakam terutama mengenai aurat sehingga ada yang megah dan gembira menyindir-nyindir wanita dewasa yang tidak bertudung.  Tetapi dalam pada itu, anak-anak ini masih tidak mengenal Allah S.W.T dan juga Rasulullah S.A.W - iaitu tidak mengenal dan menghayati sifat-sifat mulia Rasulullah S.A.W walaupun pada zahirnya anak-anak kecil ini bertudung litup.   
Akibat tidak mengenali Allah dan Rasulullah tetapi hanya ditekankan mengenai hukum hakam maka pegangan akidah menjadi longgar.  Lalu terjadilah kes di mana remaja bertudung tetapi dengan mudah dimurtadkan oleh pihak agama lain.  Atau kes di mana seseorang yang kelihatan begitu alim tetapi dengan mudah terpedaya dengan ajaran sesat.  Atau kes anak gadis memakai tudung tetapi terlibat dalam keruntuhan akhlak yang teruk sehingga membuang bayi.   
Hari ini, Islam  tidak lagi diterapkan di hati dengan sopan santun, budi bahasa, kasih sayang, hormat-menghormati, belas kasihan, tolong menolong dan sebagainya tetapi hanya melalui hukum hakam dan penampilan serta dilengkapkan lagi dengan sindir menyindir, umpat mengumpat, menilai dan menghukum orang lain sama ada cukup atau kurang Islam dari diri sendiri.   Di celah-celah itu, kita juga secara tidak sedar menjadi riak atau takbur apabila merasakan diri sendiri sahaja yang benar dan sesiapa yang tidak sependapat semuanya salah. 
Seharusnya Islam itu dipasakkan di hati dan keIslaman itu dengan sendirinya akan terpancar melalui sifat yang mulia.  Islam bukan untuk dipamer sebagai alat solek yang mana walau sebanyak manapun dipakai akhirnya sifat dalaman juga yang menjadi penentu baik buruknya kita. 
Kesimpulannya, bertudung atau tidak, pastikanlah yang kita sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa kerana setinggi-tinggi darjat manusia ialah mereka yang berakhlak mulia.  Pendek kata, lebih elok jika kita semua berhenti mencongak iman dan dosa pahala orang berdasarkan penampilan luarannya, dan mula mencongak iman dan dosa pahala sendiri termasuk keluarga kita.  Hanya dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan ummah yang lebih kuat dan berdaya maju bukan dengan menuding jari terhadap orang lain. 
Yang baik dari Allah, dan yang buruk dari penulis.  Sekian…

No comments:

Post a Comment