Tulisan ini penulis mulakan dengan meluahkan kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana mengurniakan kepada manusia, beberapa orang manusia yang mampu menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya ke tahap yang tinggi, sehingga mampu menemui rahsia yang disebut di dalam AlQuran mengenai zarah-zarah, kadar, tanah, gunung-ganang, bulan bintang, langit dan sebagainya yang membawa kepada penciptaan penjana dan penyalur elektrik, gelombang bunyi, seterusnya lampu, kereta, software dan hardware, teknologi telekomunikasi, infrared, nano…dan lain-lain lagi.
Bill Gates, Steve Jobs, Mark Zuckerberg adalah antara nama-nama yang layak menerima penghormatan tertinggi di kalangan manusia kerana telah membantu memudahkan urusan harian, bertukar-tukar maklumat, serta mendekatkan hubungan sesama kita. Tanpa manusia-manusia seperti mereka yang berhempas pulas memerah akal untuk memecahkan persoalan-persoalan yang tidak mampu difikirkan oleh manusia lain, maka penulis mungkin tidak punya blog hari ini, tidak dapat berkongsi pemikiran dan tidak dapat berhubung dengan rakan-rakan lama melalui facebook.
Malah, para pendakwah juga sukar untuk menyampaikan dakwahnya serta sukarlah juga bagi sesetengah dari kita untuk berkongsi atau menyebar gambar Nik Aziz sedang berdoa atau bersolat atau sedang menangis untuk meraih simpati atau sokongan undi di kalangan rakyat Malaysia.
Justeru, Nik Aziz juga wajar berterima-kasih dan menghormati para bijakpandai ini dan kesemua bijakpandai lain yang menjadikan hidup kita begitu mudah dan selesa walaupun ada di antara mereka, atau kebanyakan dari mereka adalah dari kaum Yahudi.
Terdapat 14juta Yahudi di dunia. 7 juta daripadanya berada di Amerika, 5 juta di Asia, 2 juta di Eropah dan 100,000 di Afrika. Nisbah Yahudi berbanding Muslim ialah 1:100. Tetapi nisbah kekuatan Yahudi berbanding Muslim pula ialah 1000:1.
Albert Einstein (tidak perlu dikenalkan lagi), Benjamin Rubin (mencipta jarum suntikan), Jonas Salk (mencipta pelalian polio) George Wald (yang memecahkan rahsia fungsi dan operasi mata), Willem Kolff (mencipta mesin dialysis), Stanley Mezor (mencipta chip pemrosesan mikro), Peter Schultz (fiber optic), Charles Ginsburg (perakam video)…semuanya berbangsa Yahudi dan senarai ini berterusan....
Dan tahukah anda siapakah antara manusia yang paling banyak menderma untuk kebajikan dan untuk kebaikan manusia sejagat iaitu hampir USD4 billion untuk membantu para saintis dan universiti di seluruh dunia mengkaji dan mencari penemuan baru bagi faedah semua? Dia adalah juga manusia yang paling banyak membunuh manusia lain, iaitu George Soros. Di tangga kedua selepas Soros ialah Walter Annenberg yang mengabdikan dirinya untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dengan membina beratus-ratus perpustakaan di seluruh dunia yang bernilai hampir USD2 billion. Mereka berdua juga berbangsa Yahudi.
Sehingga kini, saintis-saintis Amerika terutamanya, Yahudi tidak pernah jemu menimba ilmu, meneroka ke ruang-ruang baru, mencari sesuatu yang melangkaui akal manusia biasa serta terus berlumba-lumba mencari penawar kanser.
Justeru, apakah ertinya semua ini? Ertinya, Umat Islam yang angkanya 100 kali ganda lebih ramai dari Yahudi, terpaksa bergantung kepada Yahudi untuk hidup dan meneruskan kehidupan.
Apabila perkara ini dibangkitkan, Umat Islam pantas menepis dengan berkata, biarlah mereka (orang-orang kafir) bergembira dan berkuasa di dunia kerana ia hanya sementara, kerana kita, umat Islam, akan bergembira selama-lamanya di akhirat.
Persoalannya, apakah benar bahawa Allah SWT mencipta dunia ini untuk kaum Yahudi sementara akhirat untuk umat Islam?
Bukankah Allah SWT mempertanggungjawabkan manusia, khasnya umat Islam, melalui Al-Quran, bahawa kita sepatutnya menjadi Khalifah di dunia? Jika kita hanya dihidupkan untuk beribadah sahaja untuk akhirat, kenapa pula kita ditugaskan untuk menjadi Khalifah di dunia? Untuk menjadi Khalifah di dunia, kita perlu beriman dan juga berilmu, bukannya “beriman sahaja” atau “berilmu sahaja”.
Bercakap tentang ilmu, seorang saintis Amerika pernah merumuskan bahawa purata IQ seorang Yahudi di Amerika ialah 120, seorang Amerika kulit putih bukan Yahudi ialah 115, Amerika berkulit hitam adalah rendah sedikit dari Amerika berbangsa Asia. Rumusan ini ditempelak oleh beberapa saintis lain sebagai tidak berasas. Namun, manusia dengan IQ tertinggi antara 250-300, iaitu William James Sidis juga adalah seorang Yahudi.
Agak-agaknya berapakah purata IQ orang Melayu? Berapakah IQ sesetengah Ulama yang kita sanjung sebagai ‘berilmu’ itu? Dan apakah benar, ‘ilmu’ yang dimaksudkan AlQuran itu adalah ilmu agama iaitu yang merangkumi hukum hakam dan ibadah serta sejarah Islam semata-mata?
Merujuk kata-kata para Ulama, jika kita ragu-ragu, maka kembalilah kita kepada AlQuran. Maka, apakah kata AlQuran mengenai ilmu?
Allah SWT telah menyatakan bahawa ilmu itu perlu diteroka dari alam semesta. Perkataan zarah, kadar, bintang di langit, gunung ganang, pembentukan awan, getaran, zat, lautan dan berbagai-bagai lagi yang disebut di dalam AlQuran, semuanya menggambarkan alam semesta.
Justeru, apakah ilmu yang paling dituntut untuk dikuasai oleh manusia di dalam AlQuran?
Sudah pasti, ia adalah ilmu sains dan matematik. Oleh itu, dalam keadaan di mana rakyat Malaysia kononnya begitu ghairah mencari agama, bercakap tentang agama, berbahas dan berbalah kerana agama, berdakwah dan tidak jemu-jemu berpesan-pesan dan menyindir serta mengumpat dan mengutuk orang lain konon kerana ingin merebut tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, kenapakah rekod pendidikan negara menunjukkan jumlah pelajar yang memilih bidang sains-matematik semakin berkurangan setiap tahun sehingga tidak sampai 20% pada tahun 2012?
Umat Islam perlu menerima hakikat bahawa tidak ada satu bangsa pun yang mampu menjadi kuat dan hebat tanpa menguasai ilmu sains dan matematik. Dengan hanya beriman, tetapi tiada ilmu, belum tentu lagi kita akan mampu menempah ‘hotel’ yang baik di akhirat kerana dengan mengenepikan ilmu ini, kita sebenarnya telah engkar dengan perintah Allah SWT.
Berdakwahlah sehingga berbuih mulut sekalipun, laksanakanlah hukum hudud dengan begitu tegas sekali pun, kurunglah semua wanita di dalam kain selubung dan di dalam rumah sekalipun jika benar-benar percaya yang itulah yang Islam sarankan, TETAPI selagi tidak menguasai ilmu sains dan matematik, umat Islam akan tetap melukut di kaki kaum Yahudi untuk hidup sepertimana hari ini.
Kerana tanpa penciptaan dan penemuan mereka, bagaimana kita mengesan dan mengubati penyakit atau menyelamatkan nyawa seperti dalam kejadian runtuhan, bencana alam ataupun bayi dalam kandungan yang bermasalah..dan berbagai-bagai lagi krisis, jika tidak mempunyai teknologi dan alat yang sesuai.
Iman tanpa ilmu memudahkan kita menjadi sesat dan disesatkan, menjadikan kita tidak mampu bersaing, seterusnya ketinggalan, mundur dan miskin. Sedangkan kita cukup maklum akan pesanan AlQuran bahawa kemiskinan cenderung membawa kepada kekufuran.
Kesimpulannya, iman tanpa ilmu akan membawa kepada kekufuran juga akhirnya.
Hakikatnya juga, manusia berilmu selalunya mempunyai sikap atau akhlak yang lebih baik dari segi pertuturan dan penampilan. Ini kerana pemikirannya diisi dengan banyak perkara-perkara lain yang lebih bermanfaat serta meninggalkan sedikit sahaja ruang untuk melayan nafsu. Contohnya, seorang yang berilmu dan beriman melihat seorang pekerja wanita di salon yang sedang mencuci rambut pelanggan lelaki sebagai satu pekerjaan semata-mata tanpa ada pemikiran nakal atau jahat di sebaliknya. Tetapi, seorang yang beriman tetapi tidak berilmu, cenderung mengaitkan segala-galanya dengan nafsu kerana otak yang hampir kosong memberi ruang yang banyak untuk bisikan-bisikan iblis mengambil-alih.
Dan iblis jugalah yang membisikkan perasaan selesa dan gemar kepada imej mundur, miskin, selekeh dan daif yang mana memudahkannya menjalankan kerjanya untuk membawa manusia ke arah kekufuran. Lihat saja bagaimana apabila ada rakan di facebook berkongsi gambar-gambar ‘ulama’ yang berselipar buruk atau duduk bersila makan nasi di atas tikar mengkuang dalam keadaan serba kekurangan, maka berduyun-duyunlah menghantar komen memuji-muja gambaran itu sebagai mulia, Islamik, sederhana dan tawadduk, kononnya.
Kemudian dibandingkan pula dengan gambar-gambar pemimpin Islam lain yang berkot dan makan di hotel lalu dikatakan sebagai mencintai dunia.
Persoalannya, siapakah yang meletakkan piawaian Islam itu sebagai daif dan selekeh? Siapakah yang memberi ilham bahawa Muslim yang baik tidak seharusnya kaya, canggih, moden dan bergaya?
Di masa yang sama, umat Islam tidak habis-habis mengenangkan kegemilangan lalu, berbangga dengan Ulama silam dari kalangan saintis, pakar matematik, pakar perubatan, pakar astronomi, jurubina dan sebagainya. Setiap kali kita dihina, kita menepis dengan membangkitkan sejarah kegemilangan Islam dan kehebatan Ulama silam ini. Tetapi, kenapa hari ini kita berbangga dengan Ulama yang daif? selekeh? mundur dan tidak berilmu?
Malah, kita juga menyanjung ‘Ulama’ yang tidak pernah mengkaji walau satu kitab pun, tidak pernah menghasilkan walau satupun buku-buku ilmiah yang boleh diperbahaskan dan dijadikan rujukan. Kita juga gemar menyanjung seseorang sebagai Ulama besar dan menjadikannya sebagai ‘ikon’ hanya kerana beliau petah bercakap dan bergurau.
Kita mudah sekali mengangkat seseorang itu sebagai ulama hanya kerana beliau mampu menunjukkan salah orang lain, menyindirnya, menegurnya malah mengumpatnya. Sedangkan ini semua bukan ukuran ilmu apatah lagi ukuran iman!
Orang berilmu tidak akan menghabiskan masanya melihat keburukan manusia lain dan orang beriman tidak akan sekali-kali menjadi hakim jauh sekali mengumpat manusia lain tetapi akan sentiasa mengajak dan menyeru agar kita melihat kebaikan dan keindahan dari segala-galanya serta bersyukur sentiasa. Mereka juga tidak akan sekali-kali menyebarkan kebencian atau membangkitkan keraguan, tetapi sentiasa meniupkan kasih sayang dan keharmonian tanpa menilai sesiapa dari segi luaran.
Begitu taksubnya masyarakat kita dengan ‘ulama’ tidak berilmu ini, sehingga sanggup menidakkan pendapat Ulama yang telah berbelas dan berpuluh tahun mengkaji Islam, hanya kerana pendapat mereka mengenai Islam lebih terbuka dan tidak menepati pendapat kita dan Ulama yang kita sanjung tadi. Yakin sungguh yang kita lebih pandai dari Ulama yang mengkaji, yakin sungguh bahawa yang tertutup dan ekstrem pasti lebih Islam dan benar, berbanding yang terbuka dan sederhana. Semuanya gara-gara taksub kepada Ulama yang tidak berilmu.
Fikirlah sendiri, jika kita, umat Islam sendiri, menggambarkan Islam itu sebagai tidak berilmu, selekeh, mundur dan daif, maka salah siapakah jika orang bukan Islam melihat Islam sebagai lebih teruk lagi?
Sesungguhnya benarlah bahawa apa yang terjadi kepada umat Islam hari ini adalah berpunca dari diri kita sendiri. Justeru, sudah sampai masanya kita berhenti menyanjung yang hina sebagai mulia, yang bodoh sebagai pandai dan buruk sebagai cantik atau yang jahat sebagai baik. Jika benar kita percaya yang Islam itu indah, hebat dan canggih melangkaui akal manusia, maka buktikanlah apa yang kita percaya.
Ingatlah bahawa ilmu yang diwajibkan adalah sains dan matematik, bukan ilmu agama semata-mata dan menjalankan tugas di dunia itu bermakna menjadi Khalifah dengan menguasai dunia, bukannya dengan beribadah semata-mata.
Ini adalah ajaran AlQuran, dan menidakkannya bermakna engkar dan jika kita mengingkarinya, bagaimana kita yakin kita boleh menempah tempat yang baik di akhirat? Ketahuilah bahawa kita tidak akan mampu menempahnya hanya dengan saban hari berusaha memastikan manusia lain tidak melakukan maksiat, kerana kita diadili atas niat dan pemikiran yang membawa kepada perbuatan sendiri, bukan perbuatan orang lain.
Salam tuan, saya amat tertarik dengan huraian berkenaan ilmu yang wajib dipelajari. saya berpendapat yang pertama kita wajib memahami apa tugas Dan tanggungjawab kita sebagai Muslim. Dalam Islam kita di ajar berkenaan Fardu ain Dan Fardu kifayah- kedua2nya kita tak boleh abaikan. contohnya mempelajari ilmu adalah dikategorikan sebagai fardu ain kepada setiap orang Dan apabila telah berilmu, kita gunakan ilmu ini untuk memberi faedah kepada masyarakat melalui konsep fardu kifayah. Kita juga telah belajar ilmu hukum hakam dalam Islam (halal, haram, harus, wajib, sunat dan sebagainya). kita juga seringkali diingatkan untuk berhikmah dalam menyampaikan sesuatu perkara..dalam tulisan tuan ini dan topik yang lain2 saya amat bersetuju yang kita hendaklah melipatgandakan usaha kita mencari ilmu dan mengamalkan dalam pelbagai bidang terutamanya ilmu dalam bidang ekonomi, teknologi dan pentadbiran. kita mesti Cuba untuk jadi yang terkedepan didalam ilmu2 yang banyak memberi manafaat ini..tapi kita tak boleh sekali tiada ilmu yang akan mengawasi kita atau yang memastikan kita menjalankan amanah kita bertepatan dengan kehendak Islam. Rasanya kita boleh menegur seseorang ustaz atau pendakwah yang mengatakan ilmu dunia tidak penting ataupun tuk2 imam yang menghisap rokok Di khalayak ramai ataupun pemimpin yang tidak amanah.Adalah tidak wajar kalau kita menegur ustaz yang mengajak kita Beriman kepada Allah dgn melakukan ibadat, menjauhi yang haram dan sebagainya tetapi ustaz tak sebut untuk pergi belajar science dan teknologi. seelok2nya orang yang pakar sains dan teknologi lah yang mempromosikannya ia adalah penting dan menunjukkan cara2 untuk membuat sesuatu Tanpa menidakkan ilmu agama adalah penting. biar kita mempunyai ramai yang pakar dalam bidang ilmu masing2 tapi kasih berlandaskan Islam. Tuan mungkin pakar atau lebih ilmu dalam bidang sesuatu..disamping berdakwah tuan boleh berkongsi kepakaran tuan supaya orang lain pun dapat menafaat. jangan jadikan kepakaran kita hanya boleh dikongsi atau diamalkwn apabila dibayar gaji. marilah kita sama2 beramal untuk meningkatkan diri kita dan masyarakat kita kearah yang lebih cemerlang..saya sedang berusaha.
ReplyDeleteilmu sains juga ilmu fardu ain.. dalm quran ada disuruh kita melakukan perjalanan dan memerhati sifat kejadiaan makhluk Allah...
Delete