Friday, 31 May 2013

Hikayat Penasihat Yang Bijaksana

Penulis sebenarnya enggan menambah ‘luka’ di hati kita semua dengan membuka isu prestasi BN dalam PRU yang lalu.  Namun, isu ini bagai terlekat di kepala dan tak dapat dibuang selagi tidak diluahkan di sini.  Penulis sedih membaca kritikan pedas Tun Daim, Dato’ Zam, Dato’ Kadir Jasin, Sy. Akbar Ali dan berbagai-bagai pihak lagi mengenai prestasi BN.   Semuanya merujuk kepada kegagalan ‘penasihat’ PM.   

Suka diingatkan bahawa kritikan mereka bukan perkara baru, malah telah pun disuarakan sebelum PRU, namun tidak begitu lantang ketika itu.  Tidak lantang, kerana kita tidak mahu BN tumbang sebelum berjuang. 

Jangankan sebelum PRU, sebelum Dato’ Seri Najib menduduki takhta lagi, iaitu di era pemerintahan Tun Abdullah lagi, kritikan yang sama terhadap orang yang sama iaitu para penasihat PM, telah jenuh disuarakan dengan keras.  Akhirnya suara rakyat tetap menjadi suara keramat dan peralihan kuasa pun berlaku.   Malangnya, yang dibuang hanyalah PM Dollah, dan bukan penasihatnya.   Sedangkan PM itu hanyalah masalah permukaan, akarnya adalah penasihat yang gagal dan tidak berguna selain menghabiskan ‘boreh’. 

Tidak apa jika Dato’ Seri Najib tidak mendengar nasihat penasihat yang gagal itu dan mentadbir mengikut acuan dan cara sendiri bersandarkan kredibiliti dan wawasan sendiri. 

Malangnya, itu tidak berlaku, entah kenapa beliau seolah-olah hanyut dan hilang arah dibawa oleh penasihat-penasihat itu. 

Terus terang penulis katakan, penulis merasa kasihan ketika melihat Dato’ Seri Najib memakai cheong sam demi menarik hati masyarakat Cina.  Malah, penulis juga malu melihat bagaimana ada pihak cuba menonjolkan anak Dato’ Seri Najib yang fasih berbahasa Cina sebagai ‘modal pilihanraya’.   

Kita tahu bahawa strategi mencari publisiti murah sebegini adalah strategi yang sama dipakai oleh Obama yang membawa kepada kemenangannya.  Namun, takkanlah kita perlu mengingatkan Perdana Menteri bahawa bukan semua dari Amerika itu bagus dan baik atau sesuai dengan kita. 

Kita tahu bahawa penasihat-penasihat PM ramai yang berkelulusan luar negara dan amat tipis jati diri Malaysianya.   Golongan ini seringkali masih lagi mempunyai mentaliti dijajah di mana apa saja yang dari barat itulah yang menjadi pujaan dan apa saja yang asalnya tempatan pastinya kurang baik, terkebelakang dan memalukan.   Mereka ini punya satu sikap syok sendiri yang menyangka diri sendiri sudah cukup bijak mengatasi sesiapa sahaja terutama yang bukan dari golongan mereka.  Oleh kerana itu, mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi, serta berpenampilan karismatik dengan slanga Mat Saleh habis, kata orang. 

Kita juga tahu bahawa PM turut mempunyai penasihat dari golongan lain selain mereka ini, iaitu yang sepatutnya mewakili suara majoriti yang lebih dekat dengan rakyat marhaen dan tahu keadaan sebenar di akar umbi. 

Namun, golongan ini mempunyai sikap rendah diri bila berhadapan dengan golongan Mat Saleh celup tadi.  Mereka tidak mampu  menyanggah atau menolak nasihat golongan syok sendiri tadi secara keras. 

Sikap Melayu yang menebal yang gemar menyembah ‘bos’ juga menyebabkan mereka tidak mampu menyatakan apa yang terbuku di hati.  Justeru, mereka hanya merungut di belakang tetapi mengangguk-angguk bila bersama dengan penasihat-penasihat lain dalam mengatur strategi.   Mungkin kebolehan berbahasa Inggeris yang terbatas menjadi halangan, tidak lah pula diketahui. 

Selain itu, dengan pendedahan yang terhad, tidak membaca dan hanya gemar menonton filem-filem dan drama Melayu, maka pembentangan Mat Saleh celup tadi tentang strategi pilihanraya ala Amerika mungkin kelihatan begitu mengkagumkan bagi golongan Melayu tulen ini.  Maka ngangalah melayu tulen ini dan percayalah dia bahawa pastinya geng syok sendiri itu lebih mengetahui akan apa yang mereka strategikan.   

Di celah-celah itu, ada pula perasaan cemburu dan dendam dalam diri sebahagian dari penasihat ini dari kedua-dua golongan terhadap Tun Mahathir yang masih memukau rakyat dan dunia.  Maka secara tak langsung mereka mempunyai niat untuk membuktikan bahawa PM sekarang adalah lebih baik dari Tun Mahathir sekadar untuk memuaskan hati.  Kerana itu, mereka enggan meminta pandangan atau mendengar apa-apa jua nasihat dari sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan Tun Mahathir. 

Dari situ lahirlah sebuah pasukan panasihat dari neraka iaitu yang terdiri dari manusia yang mindanya masih dijajah, manusia yang kurang keyakinan diri dan manusia yang penuh dengan benci serta dendam kesumat. 

Mereka inilah yang membawa PM ke kedudukannya hari ini. 

Apabila keputusan PRU membuktikan strategi mereka silap, kumpulan Mat Saleh celup dan syok sendiri yang sememangnya kurang cerdik walaupun lulusan oversea itu langsung tidak sedar bahawa mereka telah tersilap.  Dengan muka tebal mereka terus cuba memberi nasihat lagi kepada PM. 

Kumpulan penasihat Melayu tulen pula meletakkan seluruh kesalahan ke atas Mat Saleh celup kerana bagi mereka mereka tidak pernah melontarkan apa-apa idea dan hanya bersetuju sahaja, oleh itu, ini semua bukan salah mereka. 

Manakala yang mendendami Tun Mahathir pula pantas bersedia dengan senjata untuk menangkis dan menyerang sesiapa sahaja yang mengkritik Perdana Menteri, sekadar tidak mahu rakyat melihat Tun Mahathir sebagai masih lagi PM yang terbaik. 

Jika begini jadinya, maka kesalahan bukan lagi sekadar ke atas penasihat, tetapi ke atas pemimpin yang tidak tahu memimpin.  Beliau jelas sekali telah gagal mengenalpasti penasihat yang baik apatah lagi nasihat yang baik.  Malah setelah mendapat keputusan PRU yang begitu memalukan juga beliau masih lagi gagal memahami punca kesilapan dan masih merujuk dan meminta nasihat dari pasukan yang sama. 

Tidakkah beliau tahu, bahawa negara atau mana-mana organisasi yang maju tidak pernah mengabaikan pandangan pemimpin sebelumnya yang telah membawa kejayaan.  Seringkali, pemimpin-pemimpin lama akan dirunding atau dijemput sebagai panel penasihat rasmi.  Syarikat Honda, misalnya sanggup membayar kepada orang lama RM120,000 sebulan sekadar untuk meminta nasihat beliau sekiranya perlu.   Dan untuk pengetahuan, beliau adalah seorang Melayu. 

Apabila Malaysia terjebak dalam krisis kewangan dunia 1997/98, Tun Mahathir juga diserang kiri dan kanan.  Dasar beliau dipersoal dan diragui.   Apa yang beliau lakukan?  Beliau mengumpul semula semua individu yang telah terbukti berkredibiliti untuk membantu beliau menangani krisis tersebut termasuklah mereka yang kurang senang dengannya.  Yang mengkritiknya adalah lebih baik kerana mereka pasti punya idea untuk dikongsi.   Tun Daim adalah antara yang terlibat dalam pasukan Tun Mahathir dan bukan rahsia bahawa kedua-dua mereka menghabiskan beratus-ratus jam bersama berbincang, berfikir malah bertengkar demi mencari penyelesaian terbaik. 

Sekali lagi diingatkan bahawa, belajarlah dari mereka yang telah berjaya, iaitu kalaupun terlalu ego untuk meminta nasihat orang lama, sekurang-kurangnya pilihlah penasihat yang telah terbukti kebolehannya dan bukan di kalangan kaki bodek, tiada keyakinan diri, syok sendiri atau punya agenda dendam peribadi. 

Pilihlah penasihat yang mampu menyanggah idea yang salah, mampu mempertikai strategi yang kurang mantap dan mampu memberi idea bernas dan ikhlas berdasarkan realiti, bukan fantasi. 

Jika asyik menerima nasihat yang salah, adalah lebih baik tidak menerima nasihat langsung.  Bergantunglah saja kepada laporan SB, pihak keselamatan dan pertahanan negara dan buatlah keputusan sendiri sebelum mengeluarkan arahan.  Ini lebih baik dari memakai cheong sam atau berkungfu mengiklan diri sendiri. 

Ingatlah rakyat ingin mengundi parti pemerintah, bukan mengundi artis realiti TV. 

Thursday, 28 March 2013

Lahad Datu: Ilmu Sains Tetap Mengatasi Ilmu Hitam

Sudah terlalu banyak yang diperkatakan tentang Insiden Lahad Datu dari sudut dalang, pengkhianatan, keuntungan politik, keperwiraan anggota PDRM, kehebatan anggota tentera, kesan kepada pilihanraya, hubungan dengan Filipina, kedudukan syahid mereka yang telah terkorban sehinggalah kepada penggunaan ilmu hitam oleh pihak Sulu atau Bajau, atau MNLF atau apa-apa sajalah. 
Dari segi sejarah, puak Sulu terkenal dengan sifat lemah lembut sepertimana rumpun Melayu yang lain.   Ini tidak mengejutkan memandangkan Sultan Sulu juga mempunyai ‘kecenderungan’ yang sama seperti Sultan-sultan Melayu di zaman silam, iaitu mudah menyerahkan tanah air kepada orang asing dengan beberapa syarat mudah atau dengan sejumlah bayaran tanpa mengambil kira kesan jangka panjang.  
Perkataan Sulu katanya berasal dari ‘suluk’ iaitu satu aktiviti kesufian dalam Islam.  Ia juga membawa makna ‘orang baik’ dalam bahawa pedagang Cina dahulu kala. Namun, apa yang berlaku di Lahad Datu menyaksikan sifat yang seratus peratus bertentangan dengan apa yang dirujuk sebagai asal usul nama Sulu itu.
Kita sedia maklum bahawa Insiden Lahad Datu bukanlah satu peperangan konvensyenal tetapi ia juga bukan satu peperangan gerila yang biasa.  Sebaliknya ia adalah satu insiden keganasan kejam lagi gila di mana pihak pengganas tidak cukup sekadar membunuh dengan menembak anggota keselamatan kita tetapi mengorek biji mata, menyembelih, memotong tangan dan bermacam-macam lagi tidak kira yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.  Seolah-olah tidak cukup bagi mereka untuk sekadar membunuh tetapi mesti memuaskan hati dengan berlaku sadis. 
Kegilaan mereka terjawab apabila pengganas yang ditangkap dan yang terbunuh ditemui memakai tangkal, malah ada di antara mereka yang mengaku kebal.   Mereka juga tidak segan silu memberitahu yang mereka menyeru bantuan jin untuk merampas Sabah.   Malah, mereka turut meminta bantuan asing melalui PBB atau lebih tepat, kuasa besar Amerika, atau lebih tepat lagi, Yahudi. 
Dalam ertikata lain, pengganas Sulu bukan sahaja meminta bantuan syaitan tetapi juga turut menerima bantuan kuasa besar berdasarkan kelengkapan senjata canggih dalam jumlah yang banyak di mana pasti memakan jutaan dollar Amerika.  Pendek kata, syaitan dan yahudi bergabung menentang Malaysia. 
Walaupun begitu yakin dengan ilmu hitam dan ilmu kebal mereka, ditambah dengan senjata canggih, namun, dunia kini menyaksikan bagaimana pengganas Sulu kalah juga. 
Ternyata, Ilmu syaitan tidak mampu melawan ilmu sains dan teknologi manusia dan kuasa besar juga tidak mampu melawan kuasa Allah SWT. 
Dan inilah yang penulis ingin bincangkan di sini iaitu mengenai ilmu hitam VS ilmu sains. 
Bagi mereka yang berfikir, insiden Lahad Datu adalah lebih dari sekadar pengajaran bahawa keamanan itu bukan sesuatu yang semulajadi atau automatik dan ia pada bila-bila masa boleh ditarik balik jika kita tersalah langkah atau tidak bersyukur.   Lebih dari itu, insiden Lahad Datu adalah bukti kejadian manusia sebagai makhluk paling mulia dan bahawa akal merupakan setinggi-tinggi kurniaan Allah SWT kepada makhlukNya.   
Akal manusia yang meneroka ilmu sains, matematik, kimia dan mencipta bom, M16, GPMG, LMG, RPG, mortar, kereta kebal, kapal perang, alat telekomunikasi dan bermacam-macam lagi.   Dan hari ini sudah terbukti bahawa walaupun dikatakan bahawa syaitan itu mampu membaca isi hati manusia, mampu terbang dan menjelma tetapi si hamba syaitan pengganas Sulu terkorban juga terkena serpihan peluru sehingga berulatlah mayat mereka dalam masa sejam cuma.  
Masyarakat kita juga telah biasa mendengar bagaimana ‘pendamping’ dalam ilmu hitam tidak mampu melintasi sungai.   Malah pengganas Sulu yang konon begitu hebat ilmu hitamnya juga tidak boleh terbang dari Filipina ke Malaysia tetapi tetap perlu menaiki bot atau kapal terbang juga. 
Jelas, bahawa ilmu syaitan itu terhad dan rendah berbanding akal manusia yang mampu meneroka sejauh-jauh dan sedalam-dalam ilmu selagi ada kemahuan dan usaha.  
Akal adalah segala-galanya iaitu cerminan kewujudan Allah SWT yang tidak boleh dilihat, tetapi berkuasa tanpa had.   Ada ilmuan Islam yang menyatakan bahawa tiada apa yang wujud secara nyata melainkan di dalam fikiran kita semata-mata, iaitu akal.  Yang wujud sebenarnya hanyalah Allah SWT yang merangkumi segala-galanya yang kemudiannya berpusat di dalam akal. 
Mungkin sukar bagi sesetengah orang kita untuk memahami konsep pemikiran yang mendalam sebegini dan pemahaman itu sendiri merujuk kepada tinggi atau rendahnya penggunaan akal kita.     
Sekiranya semua umat Islam tahu menghargai kurniaan tertinggi Allah SWT ini, dan mengendalikannya sebaik mungkin, maka tidak ada sebab kenapa negara Islam tidak mampu menjadi kuasa besar dunia. 
Malangnya, Umat Islam hari ini terlalu obses kepada akhirat sehingga terlupa akan hakikat bahawa untuk mendapat akhirat yang baik, kita harus berusaha melalui kehidupan dunia yang baik dan mencapai matlamat menjadi ‘Khalifah di dunia’ dengan menguasai segala bidang ilmu. 
Dalam kata lain, kita perlu menyaingi ilmuan barat dalam bidang penerokaan bumi, laut dan seluruh  cakerawala.  Rebutlah peluang menjadi pencipta, pengkaji dan pemikir.  Jadilah manusia yang berguna kepada manusia lain dan alam semesta, bukannya yang menghabiskan masa memikir dosa dan pahala sahaja.  Dan bukannya menghabiskan masa meneroka ilmu ghaib yang menjadi rahsia Allah SWT? 
Manusia adalah kejadian yang jauh lebih tinggi dari syaitan, kenapa kita perlu tunduk mempelajari ilmu syaitan?  Bomoh-membomoh, santau-menyantau, pukau-memukau? 
Jika ilmu ini lebih tinggi, kenapa bukan Indonesia atau Thailand atau Afrika yang menjadi kuasa besar dunia sedangkan merekalah yang paling hebat dalam bidang ilmu hitam?  Bukankah negara-negara ini terus bergelut untuk maju? 
Justeru, insiden Lahad Datu telah memperlihatkan betapa Malaysia dirahmati kerana kerajaan memahami kepentingan ilmu sains dan juga ilmu agama.  Askar-askar dan polis-polis kita berjaya mematahkan serangan syaitan atas nama keikhlasan dan semangat cintakan negara yang suci murni.  
Tetapi, apakah jaminan yang kita akan mampu mematahkan serangan senjata canggih puak Yahudi jika mereka mereka benar-benar melancarkan serangan secara langsung tanpa melalui pengganas yang berdamping dengan syaitan itu?   Kita mungkin boleh mengalahkan pengganas yang menggunakan ilmu hitam, tetapi adalah hampir mustahil  untuk kita mengalahkan musuh yang menjadi juara ilmu sains.
Tidak boleh tidak, kita harus akur bahawa senjata canggih hasil ciptaan akal manusia adalah jauh lebih hebat dari ilmu hitam ajaran syaitan.  
Maka, kenapakah umat Islam masih membelakangkan akal dalam menjalani kehidupan?  Kenapa kita membiarkan generasi kita menjauhi bidang sains dan matematik?   Kenapa kita menolak ajaran AlQuran yang utama ini sedangkan kita juga yang menyeru agar kembali kepada AlQuran? 
Lahad Datu memberi pengajaran bahawa akal dan iman yang berjalan seiring, pasti akan mampu mengalahkan apa saja, Insya-Allah! 

Sunday, 6 January 2013

Apabila Ulama Tidak Faham Erti Ilmu

Tulisan ini penulis mulakan dengan meluahkan kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana mengurniakan kepada manusia, beberapa orang manusia yang mampu menggunakan akal yang dianugerahkan kepadanya ke tahap yang tinggi, sehingga mampu menemui rahsia yang disebut di dalam AlQuran mengenai zarah-zarah, kadar, tanah, gunung-ganang, bulan bintang, langit dan sebagainya yang membawa kepada penciptaan penjana dan penyalur elektrik, gelombang bunyi, seterusnya lampu, kereta, software dan hardware, teknologi telekomunikasi, infrared, nano…dan lain-lain lagi.

Bill Gates, Steve Jobs, Mark Zuckerberg adalah antara nama-nama yang layak menerima penghormatan tertinggi di kalangan manusia kerana telah membantu memudahkan urusan harian, bertukar-tukar maklumat, serta mendekatkan hubungan sesama kita.   Tanpa manusia-manusia seperti mereka yang berhempas pulas memerah akal untuk memecahkan persoalan-persoalan yang tidak mampu difikirkan oleh manusia lain, maka penulis mungkin tidak punya blog hari ini, tidak dapat berkongsi pemikiran dan tidak dapat berhubung dengan rakan-rakan lama melalui facebook.

Malah, para pendakwah juga sukar untuk menyampaikan dakwahnya serta sukarlah juga bagi sesetengah dari kita untuk berkongsi atau menyebar gambar Nik Aziz sedang berdoa atau bersolat atau sedang menangis untuk meraih simpati atau sokongan undi di kalangan rakyat Malaysia.

Justeru, Nik Aziz juga wajar berterima-kasih dan menghormati para bijakpandai ini dan kesemua bijakpandai lain yang menjadikan hidup kita begitu mudah dan selesa walaupun ada di antara mereka, atau kebanyakan dari mereka adalah dari kaum Yahudi.

Terdapat 14juta Yahudi di dunia.  7 juta daripadanya berada di Amerika, 5 juta di Asia, 2 juta di Eropah dan 100,000 di Afrika.  Nisbah Yahudi berbanding Muslim ialah 1:100.  Tetapi nisbah kekuatan Yahudi berbanding Muslim pula ialah 1000:1.

Albert Einstein (tidak perlu dikenalkan lagi), Benjamin Rubin (mencipta jarum suntikan), Jonas Salk (mencipta pelalian polio) George Wald (yang memecahkan rahsia fungsi dan operasi mata), Willem Kolff (mencipta mesin dialysis), Stanley Mezor (mencipta chip pemrosesan mikro), Peter Schultz (fiber optic), Charles Ginsburg (perakam video)…semuanya berbangsa Yahudi dan senarai ini berterusan....

Dan tahukah anda siapakah antara manusia yang paling banyak menderma untuk kebajikan dan untuk kebaikan manusia sejagat iaitu hampir USD4 billion untuk membantu para saintis dan universiti di seluruh dunia mengkaji dan mencari penemuan baru bagi faedah semua?  Dia adalah juga manusia yang paling banyak membunuh manusia lain, iaitu George Soros.   Di tangga kedua selepas Soros ialah Walter Annenberg yang mengabdikan dirinya untuk mengembangkan ilmu pengetahuan dengan membina beratus-ratus perpustakaan di seluruh dunia yang bernilai hampir USD2 billion.  Mereka berdua juga berbangsa Yahudi.

Sehingga kini, saintis-saintis Amerika terutamanya, Yahudi tidak pernah jemu menimba ilmu, meneroka ke ruang-ruang baru, mencari sesuatu yang melangkaui akal manusia biasa serta terus berlumba-lumba mencari penawar kanser.

Justeru, apakah ertinya semua ini?   Ertinya, Umat Islam yang angkanya 100 kali ganda lebih ramai dari Yahudi, terpaksa bergantung kepada Yahudi untuk hidup dan meneruskan kehidupan.

Apabila perkara ini dibangkitkan, Umat Islam pantas menepis dengan berkata, biarlah mereka (orang-orang kafir) bergembira dan berkuasa di dunia kerana ia hanya sementara, kerana kita, umat Islam, akan bergembira selama-lamanya di akhirat.

Persoalannya, apakah benar bahawa Allah SWT mencipta dunia ini untuk kaum Yahudi sementara  akhirat untuk umat Islam?

Bukankah Allah SWT mempertanggungjawabkan manusia, khasnya umat Islam, melalui Al-Quran, bahawa kita sepatutnya menjadi Khalifah di dunia? Jika kita hanya dihidupkan untuk beribadah sahaja untuk akhirat, kenapa pula kita ditugaskan untuk menjadi Khalifah di dunia?  Untuk menjadi Khalifah di dunia, kita perlu beriman dan juga berilmu, bukannya “beriman sahaja” atau “berilmu sahaja”.  

Bercakap tentang ilmu, seorang saintis Amerika pernah merumuskan bahawa purata IQ seorang Yahudi di Amerika ialah 120, seorang Amerika kulit putih bukan Yahudi ialah 115, Amerika berkulit hitam adalah rendah sedikit dari Amerika berbangsa Asia.  Rumusan ini ditempelak oleh beberapa saintis lain sebagai tidak berasas.  Namun, manusia dengan IQ tertinggi antara 250-300, iaitu William James Sidis juga adalah seorang Yahudi.

Agak-agaknya berapakah purata IQ orang Melayu?  Berapakah IQ sesetengah Ulama yang kita sanjung sebagai ‘berilmu’ itu?  Dan apakah benar, ‘ilmu’ yang dimaksudkan AlQuran itu adalah ilmu agama iaitu yang merangkumi hukum hakam dan ibadah serta sejarah Islam semata-mata?

Merujuk kata-kata para Ulama, jika kita ragu-ragu, maka kembalilah kita kepada AlQuran. Maka, apakah kata AlQuran mengenai ilmu?

Allah SWT telah menyatakan bahawa ilmu itu perlu diteroka dari alam semesta.  Perkataan zarah, kadar, bintang di langit, gunung ganang, pembentukan awan, getaran, zat, lautan dan berbagai-bagai lagi yang disebut di dalam AlQuran, semuanya menggambarkan alam semesta.

Justeru, apakah ilmu yang paling dituntut untuk dikuasai oleh manusia di dalam AlQuran? 

Sudah pasti, ia adalah ilmu sains dan matematik. Oleh itu, dalam keadaan di mana rakyat Malaysia kononnya begitu ghairah mencari agama, bercakap tentang agama, berbahas dan berbalah kerana agama, berdakwah dan tidak jemu-jemu berpesan-pesan dan menyindir serta mengumpat dan mengutuk orang lain konon kerana ingin merebut tempat yang tinggi di sisi Allah SWT, kenapakah rekod pendidikan negara menunjukkan jumlah pelajar yang memilih bidang sains-matematik semakin berkurangan setiap tahun sehingga tidak sampai 20% pada tahun 2012?

Umat Islam perlu menerima hakikat bahawa tidak ada satu bangsa pun yang mampu menjadi kuat dan hebat tanpa menguasai ilmu sains dan matematik. Dengan hanya beriman, tetapi tiada ilmu, belum tentu lagi kita akan mampu menempah ‘hotel’ yang baik di akhirat kerana dengan mengenepikan ilmu ini, kita sebenarnya telah engkar dengan perintah Allah SWT.

Berdakwahlah sehingga berbuih mulut sekalipun, laksanakanlah hukum hudud dengan begitu tegas sekali pun, kurunglah semua wanita di dalam kain selubung dan di dalam rumah sekalipun jika benar-benar percaya yang itulah yang Islam sarankan, TETAPI selagi tidak menguasai ilmu sains dan matematik, umat Islam akan tetap melukut di kaki kaum Yahudi untuk hidup sepertimana hari ini.

Kerana tanpa penciptaan dan penemuan mereka, bagaimana kita mengesan dan mengubati penyakit atau menyelamatkan nyawa seperti dalam kejadian runtuhan, bencana alam ataupun bayi dalam kandungan yang bermasalah..dan berbagai-bagai lagi krisis, jika tidak mempunyai teknologi dan alat yang sesuai.

Iman tanpa ilmu memudahkan kita menjadi sesat dan disesatkan, menjadikan kita tidak mampu bersaing, seterusnya ketinggalan, mundur dan miskin.  Sedangkan kita cukup maklum akan pesanan AlQuran bahawa kemiskinan cenderung membawa kepada kekufuran.

Kesimpulannya, iman tanpa ilmu akan membawa kepada kekufuran juga akhirnya.

Hakikatnya juga, manusia berilmu selalunya mempunyai sikap atau akhlak yang lebih baik dari segi pertuturan dan penampilan.  Ini kerana pemikirannya diisi dengan banyak perkara-perkara lain yang lebih bermanfaat serta meninggalkan sedikit sahaja ruang untuk melayan nafsu. Contohnya, seorang yang berilmu dan beriman melihat seorang pekerja wanita di salon yang sedang mencuci rambut pelanggan lelaki sebagai satu pekerjaan semata-mata tanpa ada pemikiran nakal atau jahat di sebaliknya.   Tetapi, seorang yang beriman tetapi tidak berilmu, cenderung mengaitkan segala-galanya dengan nafsu kerana otak yang hampir kosong memberi ruang yang banyak untuk bisikan-bisikan iblis mengambil-alih.

Dan iblis jugalah yang membisikkan perasaan selesa dan gemar kepada imej mundur, miskin, selekeh dan daif yang mana memudahkannya menjalankan kerjanya untuk membawa manusia ke arah kekufuran. Lihat saja bagaimana apabila ada rakan di facebook berkongsi gambar-gambar ‘ulama’ yang berselipar buruk atau duduk bersila makan nasi di atas tikar mengkuang dalam keadaan serba kekurangan, maka berduyun-duyunlah menghantar komen memuji-muja gambaran itu sebagai mulia, Islamik, sederhana dan tawadduk, kononnya.

Kemudian dibandingkan pula dengan gambar-gambar pemimpin Islam lain yang berkot dan makan di hotel lalu dikatakan sebagai mencintai dunia.

Persoalannya, siapakah yang meletakkan piawaian Islam itu sebagai daif dan selekeh?  Siapakah yang memberi ilham bahawa Muslim yang baik tidak seharusnya kaya, canggih, moden dan bergaya?

Di masa yang sama, umat Islam tidak habis-habis mengenangkan kegemilangan lalu, berbangga dengan Ulama silam dari kalangan saintis, pakar matematik, pakar perubatan, pakar astronomi, jurubina dan sebagainya.  Setiap kali kita dihina, kita menepis dengan membangkitkan sejarah kegemilangan Islam dan kehebatan Ulama silam ini. Tetapi, kenapa hari ini kita berbangga dengan Ulama yang daif?  selekeh?  mundur dan  tidak berilmu?

Malah, kita juga menyanjung ‘Ulama’ yang tidak pernah mengkaji walau satu kitab pun, tidak pernah menghasilkan walau satupun buku-buku ilmiah yang boleh diperbahaskan dan dijadikan rujukan.  Kita juga gemar menyanjung seseorang sebagai Ulama besar dan menjadikannya sebagai ‘ikon’ hanya kerana beliau petah bercakap dan bergurau.

Kita mudah sekali mengangkat seseorang itu sebagai ulama hanya kerana beliau mampu menunjukkan salah orang lain, menyindirnya, menegurnya malah mengumpatnya.  Sedangkan ini semua bukan ukuran ilmu apatah lagi ukuran iman!

Orang berilmu tidak akan menghabiskan masanya melihat keburukan manusia lain dan orang beriman tidak akan sekali-kali menjadi hakim jauh sekali mengumpat manusia lain tetapi akan sentiasa mengajak dan menyeru agar kita melihat kebaikan dan keindahan dari segala-galanya serta bersyukur sentiasa.   Mereka juga tidak akan sekali-kali menyebarkan kebencian atau membangkitkan keraguan, tetapi sentiasa meniupkan kasih sayang dan keharmonian tanpa menilai sesiapa dari segi luaran.

Begitu taksubnya masyarakat kita dengan ‘ulama’ tidak berilmu ini, sehingga sanggup menidakkan pendapat Ulama yang telah berbelas dan berpuluh tahun mengkaji Islam, hanya kerana pendapat mereka mengenai Islam lebih terbuka dan tidak menepati pendapat kita dan Ulama yang kita sanjung tadi. Yakin sungguh yang kita lebih pandai dari Ulama yang mengkaji, yakin sungguh bahawa yang tertutup dan ekstrem pasti lebih Islam dan benar, berbanding yang terbuka dan sederhana. Semuanya gara-gara taksub kepada Ulama yang tidak berilmu.

Fikirlah sendiri, jika kita, umat Islam sendiri, menggambarkan Islam itu sebagai tidak berilmu, selekeh, mundur dan daif, maka salah siapakah jika orang bukan Islam melihat Islam sebagai lebih teruk lagi?

Sesungguhnya benarlah bahawa apa yang terjadi kepada umat Islam hari ini adalah berpunca dari diri kita sendiri.  Justeru, sudah sampai masanya kita berhenti menyanjung yang hina sebagai mulia, yang bodoh sebagai pandai dan buruk sebagai cantik atau yang jahat sebagai baik.  Jika benar kita percaya yang Islam itu indah, hebat dan canggih melangkaui akal manusia, maka buktikanlah apa yang kita percaya.

Ingatlah bahawa ilmu yang diwajibkan adalah sains dan matematik, bukan ilmu agama semata-mata dan menjalankan tugas di dunia itu bermakna menjadi Khalifah dengan menguasai dunia, bukannya dengan beribadah semata-mata.

Ini adalah ajaran AlQuran, dan menidakkannya bermakna engkar dan jika kita mengingkarinya, bagaimana kita yakin kita boleh menempah tempat yang baik di akhirat?   Ketahuilah bahawa kita tidak  akan mampu menempahnya hanya dengan saban hari berusaha memastikan manusia lain tidak melakukan maksiat, kerana kita diadili atas niat dan pemikiran yang membawa kepada perbuatan sendiri, bukan perbuatan  orang lain.