Thursday, 5 July 2012

Mengumpat Itu Dakwah?

Penulis ‘terserempak’ sebuah video yang agak menarik yang di’share’ oleh seorang kenalan FB.  Video tersebut menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan dari Thailand yang digambarkan sebagai ‘bijak memberi ceramah berunsur agama’ dalam bahasa Melayu loghat Kelantan pekat.   Komen-komen yang ditulis di bawahnya kebanyakannya memuji ‘kepetahan’ kanak-kanak tersebut ‘berdakwah’. 
Lalu, atas dasar ingin tahu, penulis pun melayarinya. 
Sehabis mendengar, penulis menjadi kelu dan bingung sekejap.  Mana tidaknya, ceramah yang kononnya berunsur dakwah tersebut ternyata merupakan satu persembahan mengumpat, menyindir malah menghina orang lain dengan bahasa kesat dengan sasaran utamanya: wanita.  Dan sudah semestinya, isi ceramahnya adalah berkenaan wanita tidak tutup aurat. 
Selesai ‘berceramah’ kanak-kanak tersebut menerima tepukan gemuruh dari para hadirin yang nampaknya kagum dengan ‘kepintaran dan kealimannya’.
Amatlah malang bagi masyarakat Islam jika kita mula menerima bahawa mengumpat, menghina dan menyindir itu sebagai satu cabang dakwah.   Betapa ruginya akal yang dianugerahkan Allah jika digunakan hanya untuk memerhati, menilai dan menghukum manusia lain dan kemudian memperkatakan, mengumpat dan menghinanya pula.   Apalah erti hidup jika dihabiskan dengan mengumpat walaupun tubuh berkelubung litup dan tidak pernah lupa bersolat. 
Sedarkah kita bahawa menilai dan menghukum dosa pahala orang lain adalah hak Allah s.w.t.  semata-mata dan bukannya kerja manusia.
Sedarkah kita bahawa mengumpat akan membawa kepada fitnah dan dosa fitnah itu adalah tersangat besar iaitu seperti memakan daging saudara sendiri. 
Sedarkah kita bahawa dengan menilai, menghukum, mengumpat dan menghina orang lain itu adalah refleksi dari sifat takbur dan riak kerana merasakan diri kita lebih baik dari orang tersebut.   Sedarkah kita bahawa riak dan takbur mampu menghalang walau seorang alim ulama tersohor, dari mencium bau syurga? 
Umat Islam akhir-akhir ini sering berkata ‘kembalilah kepada Islam / AlQuran’ apabila bercakap tentang permasalahan atau bala yang dihadapi oleh masyarakat dan negara Islam.   Tetapi, kenapakah umat Islam yang kononnya sedar dan sudah kembali kepada Islam itu pula sifatnya seringkali takbur, biadap, malah hilang nilai-nilai murni kemanusiaan seperti sopan santun, hormat menghormati, rendah diri, belas kasihan, kasih sayang, berterima kasih dan bermaaf-maafan?   Dan kenapa pula negara-negara Islam yang begitu tegas melaksanakan undang-undang Islam, kekal atau semakin miskin dan porak peranda?  
Jika benar bala yang menimpa umat Islam hari ini adalah kerana kita tidak menjalankan undang-undang Islam, maka kenapakah negara yang paling ‘rigid’ melaksanakan undang-undang Islam tersebut merupakan negara yang paling mundur, bermasalah, berhadapan dengan krisis hak asasi manusia yang teruk kerana zalim terhadap wanita seolah-olah tiada tamadun atau bersifat jahiliah?  Negara-negara ini juga hancur diserang musuh Islam, dipijak-pijak dan masyarakatnya menderita?  Tidak perlu melihat jauh, lihat sahaja di Kelantan yang bergelar serambi Mekah, bukankah negeri itu yang paling miskin dan mengalami masalah moral yang paling tinggi pula?  
Bukankah jika mengikut pendapat ‘pakar-pakar’ agama yang begitu ramai di negara kita ini, maka negara-negara atau negeri ‘Islam’ tersebut seharusnya makmur dan rakyatnya hidup gembira dan sejahtera?
Tidakkah pernah kita berhenti sejenak dan berfikir apakah kita telah benar-benar kembali ke jalan yang benar ataupun sesat semakin jauh?  
Dan pernahkah kita bertanya, apakah sebenarnya maksud ‘kembali kepada Islam, AlQuran dan Sunnah’ itu?  
Apakah benar ia hanya bermaksud mula memakai jubah, tudung, kopiah dan ketayap?  Apakah dengan mengikuti tazkirah, usrah dan membaca AlQuran?   Apakah dengan menegur dan mengutuk semua orang Islam yang tidak berpakaian dan berkata-kata seperti kita di mana saban hari menghantar mesej dakwah dan menegur kerana risaukan dosa orang lain, seolah-olah yakin benar bahawa segala keburukan dan bencana yang menimpa umat Islam hari ini adalah kerana DOSA ORANG LAIN dan bukan diri sendiri? 
Walaupun kembali kepada Islam dari segi pakaian dan berpesan-pesan ke arah kebaikan adalah baik dan dituntut,  tetapi kita harus mengaku bahawa ia tidak membantu masyarakat Islam menjadi lebih baik secara jangka panjang dan menyeluruh. 
Sudahnya, apa yang berlaku ialah ada yang memakai tudung sekadar memenuhi kehendak masyarakat dan membaca AlQuran sekadar inginkan pahala.   Sedangkan dalam Islam kita tidak harus berbuat sesuatu dengan niat inginkan pahala, tetapi hanya kerana Allah, Allah dan Allah semata-mata – tanpa mengharapkan apa-apa, melainkan keredhaan.  Kerana kita bukannya berurusniaga dengan Allah iaitu satu kebaikan dibalas satu pahala. 
Jika benar kita ingin kembali kepada AlQuran, kepada Islam, maka kita harus terlebih dahulu bertanya kenapa kita dicipta?  Kita sedia maklum bahawa malaikat dicipta untuk beribadah kepada Allah sepanjang masa dan kerana itu malaikat tidak dikurniakan akal seperti manusia.  
Manusia pula dicipta lengkap dengan akal.  Dan Allah telah menyatakan dengan jelas bahawa akal adalah setinggi-tinggi kurniaan kepada makhlukNya.  Kerana adanya ‘akal’ maka manusia dilantik sebagai Khalifah di muka bumi iaitu kedudukan yang paling tinggi.   Kemudian setelah menegaskan soal kepentingan dan kehebatan akal, Allah telah mempertanggungjawabkan ke atas manusia untuk mencari ilmu.  
Apakah ilmu yang perlu dituntut menurut Islam?   
Menurut AlQuran, ilmu itu terdapat di sekeliling kita iaitu di langit, di bumi, di lautan dan di seluruh cakerawala.   
Ilmu apakah namanya itu?   Pastinya, Ilmu sains dan matematik yang mana membawa kepada pecahan ilmu- ilmu lain seperti geologi, arkitektur, aviasi dan sebagainya, untuk mencari manfaat darinya demi kebaikan seluruh hidupan di muka bumi.  Inilah tugas sebenar seorang Khalifah dan bukannya berceramah dan menegur orang saban hari.    
Soal ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya pula telah termaktub sebagai tugas peribadi masing-masing dengan Pencipta, dan bukannya di antara seorang manusia dengan manusia lain.     
Kesimpulannya, tujuan manusia dicipta ialah untuk meneroka segala ilmu di dunia dan beribadat kepada Allah.  Manusia sama sekali tidak disuruh mencongak dosa pahala orang lain dan tidak dibenarkan menuntut ilmu ghaib kerana perkara yang ghaib itu tidak termaktub dalam jangkauan akal manusia. 
Sedih sekali kerana sehingga kini, penulis tidak melihat mana-mana pihak di negara kita yang lantang menyeru agar kita kembali kepada AlQuran itu, meletakkan soal ‘tujuan’ manusia dicipta ini sebagai penting di dalam sessi-sessi ‘dakwah’ mereka.  Jarang sekali mereka menyentuh tentang pentingnya mencari ilmu dunia untuk kebaikan manusia sejagat dan juga alam maya.   Malah lebih buruk, mereka sendiri tidak melakukannya iaitu mencari ilmu dari alam semesta sepertimana yang dilakukan oleh Ulama-ulama di zaman kegemilangan Islam. 
Hampir semua dari para pendakwah yang ada hanya berminat bercakap mengenai  soal peribadi antara manusia lain dengan Allah S.W.T. 
Maka jelaslah, di kalangan Ulama yang berdakwah mengajak ummah kembali kepada Islam itu sendiri tidak memahami apa itu maksud kembali kepada Islam. 
Sementara musuh-musuh Islam menjalankan tugas ‘Khalifah’, iaitu menyelidik dan meneroka setiap zarah di muka bumi mencari jawapan dan penawar bagi segala penyakit, umat islam pula menumpukan sepenuh perhatian kepada soal panjang pendek pakaian seseorang, soal tinggi rendah bentuk tudung seseorang, soal hak kaum lelaki untuk mengikut hawa nafsunya untuk berkahwin ramai dan segala macam soal yang tidak signifikan kepada penciptaan dunia dan manusia.  
Percayalah, jika kita penuhkan otak kita dengan ilmu maka kita tidak lagi akan berfikir mengenai panjang pendek skirt wanita di hadapan kita atau sama ada kita berjaya menggoda wanita lain untuk menjadi isteri kedua.   Otak yang penuh dengan ilmu akan secara automatik menghormati orang lain dan diri sendiri juga, serta tidak akan melihat perkara-perkara berkaitan ‘nafsu’ sebagai penting. 
Lalu, apabila kita tidak terlalu obsess kepada soal ‘nafsu’, secara automatik juga, kebersihan hati dan minda akan terpelihara dan lahirlah generasi yang lebih baik moralnya. 
Jika kita hanya membaca dan merujuk kepada AlQuran, tetapi tidak mempelajari ilmu dunia maka hasilnya adalah seperti yang kita lihat hari ini iaitu masyarakat yang keliru, buntu, celaru, sesat, kabur dan kosong.    Kerana itu kita melihat ramai ustaz-ustaz dan tok-tok guru agama yang menjadi hamba nafsu walaupun mampu menghafal dan mengajar AlQuran.   
Sebenarnya, masalah gay, zina, buang bayi, dadah, rokok semuanya berakar umbi dari masyarakat Islam yang keliru dalam mencari jalan kembali kepada Islam.  
Masyarakat menyangka, jalan kembali itu ialah dengan mendengar ceramah agama, membaca AlQuran dan berzikir seharian.  Sedangkan ini adalah penyelesaian sementara kerana jalan sebenar untuk kembali kepada Islam adalah dengan mempraktikkan tuntutan AlQuran untuk mencari ilmu dunia bagi menjadikan kita manusia berguna. 

No comments:

Post a Comment