Friday 31 May 2013

Hikayat Penasihat Yang Bijaksana

Penulis sebenarnya enggan menambah ‘luka’ di hati kita semua dengan membuka isu prestasi BN dalam PRU yang lalu.  Namun, isu ini bagai terlekat di kepala dan tak dapat dibuang selagi tidak diluahkan di sini.  Penulis sedih membaca kritikan pedas Tun Daim, Dato’ Zam, Dato’ Kadir Jasin, Sy. Akbar Ali dan berbagai-bagai pihak lagi mengenai prestasi BN.   Semuanya merujuk kepada kegagalan ‘penasihat’ PM.   

Suka diingatkan bahawa kritikan mereka bukan perkara baru, malah telah pun disuarakan sebelum PRU, namun tidak begitu lantang ketika itu.  Tidak lantang, kerana kita tidak mahu BN tumbang sebelum berjuang. 

Jangankan sebelum PRU, sebelum Dato’ Seri Najib menduduki takhta lagi, iaitu di era pemerintahan Tun Abdullah lagi, kritikan yang sama terhadap orang yang sama iaitu para penasihat PM, telah jenuh disuarakan dengan keras.  Akhirnya suara rakyat tetap menjadi suara keramat dan peralihan kuasa pun berlaku.   Malangnya, yang dibuang hanyalah PM Dollah, dan bukan penasihatnya.   Sedangkan PM itu hanyalah masalah permukaan, akarnya adalah penasihat yang gagal dan tidak berguna selain menghabiskan ‘boreh’. 

Tidak apa jika Dato’ Seri Najib tidak mendengar nasihat penasihat yang gagal itu dan mentadbir mengikut acuan dan cara sendiri bersandarkan kredibiliti dan wawasan sendiri. 

Malangnya, itu tidak berlaku, entah kenapa beliau seolah-olah hanyut dan hilang arah dibawa oleh penasihat-penasihat itu. 

Terus terang penulis katakan, penulis merasa kasihan ketika melihat Dato’ Seri Najib memakai cheong sam demi menarik hati masyarakat Cina.  Malah, penulis juga malu melihat bagaimana ada pihak cuba menonjolkan anak Dato’ Seri Najib yang fasih berbahasa Cina sebagai ‘modal pilihanraya’.   

Kita tahu bahawa strategi mencari publisiti murah sebegini adalah strategi yang sama dipakai oleh Obama yang membawa kepada kemenangannya.  Namun, takkanlah kita perlu mengingatkan Perdana Menteri bahawa bukan semua dari Amerika itu bagus dan baik atau sesuai dengan kita. 

Kita tahu bahawa penasihat-penasihat PM ramai yang berkelulusan luar negara dan amat tipis jati diri Malaysianya.   Golongan ini seringkali masih lagi mempunyai mentaliti dijajah di mana apa saja yang dari barat itulah yang menjadi pujaan dan apa saja yang asalnya tempatan pastinya kurang baik, terkebelakang dan memalukan.   Mereka ini punya satu sikap syok sendiri yang menyangka diri sendiri sudah cukup bijak mengatasi sesiapa sahaja terutama yang bukan dari golongan mereka.  Oleh kerana itu, mereka mempunyai keyakinan diri yang tinggi, serta berpenampilan karismatik dengan slanga Mat Saleh habis, kata orang. 

Kita juga tahu bahawa PM turut mempunyai penasihat dari golongan lain selain mereka ini, iaitu yang sepatutnya mewakili suara majoriti yang lebih dekat dengan rakyat marhaen dan tahu keadaan sebenar di akar umbi. 

Namun, golongan ini mempunyai sikap rendah diri bila berhadapan dengan golongan Mat Saleh celup tadi.  Mereka tidak mampu  menyanggah atau menolak nasihat golongan syok sendiri tadi secara keras. 

Sikap Melayu yang menebal yang gemar menyembah ‘bos’ juga menyebabkan mereka tidak mampu menyatakan apa yang terbuku di hati.  Justeru, mereka hanya merungut di belakang tetapi mengangguk-angguk bila bersama dengan penasihat-penasihat lain dalam mengatur strategi.   Mungkin kebolehan berbahasa Inggeris yang terbatas menjadi halangan, tidak lah pula diketahui. 

Selain itu, dengan pendedahan yang terhad, tidak membaca dan hanya gemar menonton filem-filem dan drama Melayu, maka pembentangan Mat Saleh celup tadi tentang strategi pilihanraya ala Amerika mungkin kelihatan begitu mengkagumkan bagi golongan Melayu tulen ini.  Maka ngangalah melayu tulen ini dan percayalah dia bahawa pastinya geng syok sendiri itu lebih mengetahui akan apa yang mereka strategikan.   

Di celah-celah itu, ada pula perasaan cemburu dan dendam dalam diri sebahagian dari penasihat ini dari kedua-dua golongan terhadap Tun Mahathir yang masih memukau rakyat dan dunia.  Maka secara tak langsung mereka mempunyai niat untuk membuktikan bahawa PM sekarang adalah lebih baik dari Tun Mahathir sekadar untuk memuaskan hati.  Kerana itu, mereka enggan meminta pandangan atau mendengar apa-apa jua nasihat dari sesiapa sahaja yang dikaitkan dengan Tun Mahathir. 

Dari situ lahirlah sebuah pasukan panasihat dari neraka iaitu yang terdiri dari manusia yang mindanya masih dijajah, manusia yang kurang keyakinan diri dan manusia yang penuh dengan benci serta dendam kesumat. 

Mereka inilah yang membawa PM ke kedudukannya hari ini. 

Apabila keputusan PRU membuktikan strategi mereka silap, kumpulan Mat Saleh celup dan syok sendiri yang sememangnya kurang cerdik walaupun lulusan oversea itu langsung tidak sedar bahawa mereka telah tersilap.  Dengan muka tebal mereka terus cuba memberi nasihat lagi kepada PM. 

Kumpulan penasihat Melayu tulen pula meletakkan seluruh kesalahan ke atas Mat Saleh celup kerana bagi mereka mereka tidak pernah melontarkan apa-apa idea dan hanya bersetuju sahaja, oleh itu, ini semua bukan salah mereka. 

Manakala yang mendendami Tun Mahathir pula pantas bersedia dengan senjata untuk menangkis dan menyerang sesiapa sahaja yang mengkritik Perdana Menteri, sekadar tidak mahu rakyat melihat Tun Mahathir sebagai masih lagi PM yang terbaik. 

Jika begini jadinya, maka kesalahan bukan lagi sekadar ke atas penasihat, tetapi ke atas pemimpin yang tidak tahu memimpin.  Beliau jelas sekali telah gagal mengenalpasti penasihat yang baik apatah lagi nasihat yang baik.  Malah setelah mendapat keputusan PRU yang begitu memalukan juga beliau masih lagi gagal memahami punca kesilapan dan masih merujuk dan meminta nasihat dari pasukan yang sama. 

Tidakkah beliau tahu, bahawa negara atau mana-mana organisasi yang maju tidak pernah mengabaikan pandangan pemimpin sebelumnya yang telah membawa kejayaan.  Seringkali, pemimpin-pemimpin lama akan dirunding atau dijemput sebagai panel penasihat rasmi.  Syarikat Honda, misalnya sanggup membayar kepada orang lama RM120,000 sebulan sekadar untuk meminta nasihat beliau sekiranya perlu.   Dan untuk pengetahuan, beliau adalah seorang Melayu. 

Apabila Malaysia terjebak dalam krisis kewangan dunia 1997/98, Tun Mahathir juga diserang kiri dan kanan.  Dasar beliau dipersoal dan diragui.   Apa yang beliau lakukan?  Beliau mengumpul semula semua individu yang telah terbukti berkredibiliti untuk membantu beliau menangani krisis tersebut termasuklah mereka yang kurang senang dengannya.  Yang mengkritiknya adalah lebih baik kerana mereka pasti punya idea untuk dikongsi.   Tun Daim adalah antara yang terlibat dalam pasukan Tun Mahathir dan bukan rahsia bahawa kedua-dua mereka menghabiskan beratus-ratus jam bersama berbincang, berfikir malah bertengkar demi mencari penyelesaian terbaik. 

Sekali lagi diingatkan bahawa, belajarlah dari mereka yang telah berjaya, iaitu kalaupun terlalu ego untuk meminta nasihat orang lama, sekurang-kurangnya pilihlah penasihat yang telah terbukti kebolehannya dan bukan di kalangan kaki bodek, tiada keyakinan diri, syok sendiri atau punya agenda dendam peribadi. 

Pilihlah penasihat yang mampu menyanggah idea yang salah, mampu mempertikai strategi yang kurang mantap dan mampu memberi idea bernas dan ikhlas berdasarkan realiti, bukan fantasi. 

Jika asyik menerima nasihat yang salah, adalah lebih baik tidak menerima nasihat langsung.  Bergantunglah saja kepada laporan SB, pihak keselamatan dan pertahanan negara dan buatlah keputusan sendiri sebelum mengeluarkan arahan.  Ini lebih baik dari memakai cheong sam atau berkungfu mengiklan diri sendiri. 

Ingatlah rakyat ingin mengundi parti pemerintah, bukan mengundi artis realiti TV.