Tuesday, 12 June 2012

Melayu Jangan Sampai Dipariahkan..

Mat Saleh sering dikaitkan dengan keyakinan dan kebijaksanaan tetapi angkuh dan tidak berpijak di bumi nyata.  Kaum Cina dikatakan rajin bekerja dan pandai berniaga tetapi mempunyai semangat perkauman yang terlalu tebal dan tidak punya hati perut.  Kaum India pula adalah pekerja yang setia, bijak berbicara tetapi sering dituduh sebagai kaki belit dan kaki bodek.  Orang Melayu pula dikatakan sopan santun, halus berseni tetapi terlalu malas sehingga menjadi bodoh. 
Semua ini adalah deskripsi bangsa secara umum dan tidak semestinya tepat.  Penulis tidak berminat untuk membincangkan soal bangsa lain.  Yang menjadi tajuk perbincangan di sini, hanyalah mengenai bangsa penulis sendiri, iaitu Melayu. 
Benarkah Melayu hari ini masih bersopan santun?   Benarkah kita masih halus berseni? 
Jika benar, ke manakah hilangnya pantun-pantun, dondang sayang atau tarian Melayu asli kita yang hampir lupus ditelan zaman dan diganti dengan tarian caca-marba berpakaian campuran Arab-Melayu-India-Cina-Gypsy, dengan gerak tari kontemporari-asli dan ntah apa-apa lagi dengan diiringi lagu bercorak ‘Asia’? 
Jika benar, kenapa sukar sekali kita menerima senyuman sesama saudara Melayu kita di jalanan?  Kenapa peniaga Melayu terkenal dengan layanan yang buruk terhadap pelanggan berbanding peniaga kaum lain?  Kenapa anak-anak Melayu yang rata-ratanya berimej Islam, bertudung, berkopiah tetapi begitu janggal untuk menyebut ‘maaf’ atau ‘terima kasih’ walaupun pandai memberi salam?   
Apakah kerana salam itu dalam bahasa Arab, maka ia menampakkan kealiman , tetapi maaf dan terima kasih adalah bahasa Melayu dan tidak mampu memberi imej alim kepada sipenyebut? 
Mengaku atau tidak atau sedar atau tidak, bangsa Melayu sering melakukan sesuatu untuk ditonton atau dinilai oleh orang lain.  Dalam ertikata lain, menunjuk-nunjuk atau gila glamour.    
Jika Melayu menjadi pelakon, maka matlamatnya ialah untuk glamour bukan untuk menyampaikan cerita.  Dalam fikirannya, dia terbayangkan dirinya diwawancara, gambarnya memenuhi majalah dan peminat-peminat mengerumuninya.    Tidak ada cita-cita pun untuk mengkaji watak dan memperbaiki diri demi memberi hasil yang terbaik.  Jika menulis skrip juga begitu, yang penting adalah untuk menjadi orang terkenal dan bukannya untuk menulis skrip yang baik. 
Kerana itu, kita sering melihat filem Melayu dengan skrip separuh masak – tiada kajian langsung walaupun kisahnya memerlukan sedikit perbualan berbentuk teknikal. 
Filem Cicakman misalnya, nampak benar penulis skrip malas untuk membuat kajian mendalam mengenai DNA dan hanya menyebut perkara-perkara teknikal atau saintifik secara rambang dan umum malah hampir tidak menyentuh mengenainya langsung. 
Bandingkan dengan filem Invincible Man, yang mana skrip banyak tertumpu mengenai masalah saintifik yang menjadi punca kemunculan Invincible Man.  Begitu juga dengan siri House atau CSI yang mana skripnya dibuat dengan kajian yang menyeluruh sehingga mampu memberi pengetahuan dan maklumat yang bukan sedikit kepada penonton.  Kita boleh belajar mempelajari fakta dan terma-terma sains serta perubatan dari siri-siri ini yang mana boleh digunakan untuk membantu kita dalam kehidupan. 
Begitu juga dengan filem-filem barat yang berkisar mengenai teknologi maklumat atau IT.  Semua terma-terma IT yang kompleks dan complicated diolah menjadi skrip yang baik yang bukan seratus-peratus berdasarkan imaginasi tetapi juga fakta yang boleh dipelajari.   
Novel-novel dari barat juga begitu, ia mampu memberi banyak pengetahuan saintifik, budaya masyarakat dan sejarah seluruh dunia walaupun kisahnya hanya berkisar mengenai pembunuhan.   Ini kerana ia dibuat dengan kajian mendalam dan bukan angan-angan atau imaginasi kosong penulis terbabit.   Melalui filem James Bond atau Indiana Jones, kita boleh merantau seluruh dunia dan terdedah kepada maklumat mengenai masyarakat Mayan, Mesir purba, malah budaya mafia. 
Tetapi penulis skrip dan pelakon atau pengarah Melayu tidak berminat dengan semua ilmu dan pengetahuan ini malah penceritaan itu sendiri.  Yang mereka berminat ialah menonjolkan pelakon cantik, glamour, dan pakat-pakat syok sendiri.  
Kemudiannya, mereka akan menyalahkan semua orang kerana tidak membantu menjayakan filem Melayu.  Alasan mereka, jika inginkan filem setaraf Hollywood maka mereka perlukan bajet setaraf Hollywood.   Untuk makluman, penulis bukan bercakap mengenai sound effect atau lighting system atau set penggambaran, tetapi hanya bercakap tentang skrip yang tidak memerlukan modal beratus-juta ringgit pun.
Begitu juga apabila seorang Melayu sudah kaya, beliau perlu pastikan orang tahu betapa kayanya dia.  Ini dilakukan dengan bercakap besar dan kuat di tengah orang ramai dengan menyebut mengenai kontrak atau projek jutaan ringgit atau sekadar menunjuk lagak sombong dengan orang sekeliling.  
Dalam beribadat juga, matlamat orang Melayu adalah agar orang tahu betapa alimnya dia.  Kerana itu, Melayu meletakkan pakaian, terutamanya tudung kepala di kalangan wanita sebagai lebih tinggi dari kebersihan, adab dan ibadah lain dalam Islam.  Ramai yang mengambil sikap seolah-olah dosa tidak bertudung sebagai jauh lebih teruk dari dosa syirik. 
Kenapa?  Kalau dia syirik kepada Allah, orang tak tahu, tetapi kalau dia tidak bertudung orang tahu.  Kerana tudung boleh diperlihatkan, tetapi budi dan ibadah lain sukar untuk dipertontonkan.   Takkanlah hendak menunjuk alim dengan bersolat di kaki lima seperti orang Arab sedangkan cukup mudah untuk mencari tempat untuk bersolat tidak kira di mana saja di Malaysia.    Takkanlah nak diumumkan derma yang baru disumbangkan, nanti nampak sangat tidak ikhlasnya. 
Justeru,  memandangkan ‘tudung’ adalah ibadah yang paling mudah untuk dipertontonkan, maka tudunglah yang dijadikan kunci Islam bagi umat Melayu. 
Penulis tidak menghukum semua Melayu sebagai gila glamour, jika semua Melayu begitu, bermakna penulis pun sama saja.   
Namun, bagi penulis, masalah gila glamour di kalangan Melayu hari ini sudah semakin kronik terutamanya apabila ibadah juga dilakukan secara berpilih-pilih untuk menunjuk-nunjuk. 
Maka penulis ingin mengajak saudara sebangsa semua agar mengambil sedikit masa melihat kehidupan dari sudut yang lain selain dari sudut pandangan orang lain terhadap kita. 
Persetankan kata orang, jadilah diri sendiri yang sebenar-benarnya.   Bebaskan diri dari hipokrasi.   Jika ditakdirkan menjadi pelakon, maka berlakonlah dengan sebaiknya, bukan mencari glamour.  Jika menjadi penulis, tulislah perkara yang mampu memberi pengetahuan untuk diri sendiri dan orang lain. 
Jika menjadi kaya, tahniahlah, tetapi tidak perlulah menunjuk-nunjuk atau terasa hebat sangat.  Sesungguhnya, orang kaya yang berlagak sombong diketawakan sebagai ‘kaduk naik junjung’ baru keluar kampung dari keluarga tidak cukup diajar yang tidak pernah merasa kesenangan.  Ini kerana orang yang sedia kaya sedari kecil dari kalangan keturunan yang baik tidak mungkin akan bersikap seperti kaduk. 
Jika anda hanyalah manusia biasa, maka tidak perlulah cuba meningkatkan ‘kasta’ anda dengan menunjuk alim kepada orang yang anda hukum sebagai jahil. 
Bersikap tenanglah dalam menghadapi kehidupan.  Sesungguhnya hidup dalam keadaan menilai dan dinilai orang adalah memenatkan.   Tiada apa yang perlu dikejar dan sikap menunjuk-nunjuk dan gila glamour itu tidak akan membawa kita ke mana selain dari perasan sendiri. 
Katanya, Melayu ingin berubah dan sudah berubah.   Tetapi malangnya, walaupun ramai yang berubah dari segi taraf hidup yang semakin meningkat tetapi kita juga berubah menjadi manusia yang lebih buruk.  
Pernahkah kita bertanya, kenapakah semakin tinggi taraf ekonomi Melayu, semakin bangsa kita dihina setaraf pariah?  Mungkinkah kerana bangsa kita sememangnya bersikap seperti pariah?